Home » » `Kebuluran diri’ …penyakit wanita kini

`Kebuluran diri’ …penyakit wanita kini

Oleh Siti Norshafinaz Sheikh Maznan

SUDAH menjadi lumrah kaum wanita untuk sentiasa kelihatan cantik dan menarik sepanjang masa apatah lagi buat santapan mata suami tercinta. Kalau ibu-ibu kita dahulu, cukup mengikat kasih cik abang dengan `air tangan’ selain penampilan diri yang bersih dan kemas atau sekali sekala, menyapu bedak sejuk di muka.

Namun kini, semua amalan lama itu nampak seperti `tidak menjadi’ lagi. Isu kecantikan seolah menjadi kegilaan sebahagian besar wanita hari ini dan ia sedikit sebanyak dikatakan didorong sikap segelintir lelaki yang mudah tergoda dengan keindahan luaran semata-mata.

Fenomena itu menyebabkan kaum Hawa tegar mengambil pendekatan di luar jangkaan sehingga akhirnya terbawa-bawa dengan beberapa gangguan seperti `Anorexia Nervosa’ dan `Bulimia Nervosa’.

Anorexia merupakan satu bentuk `kebuluran diri’ disebabkan oleh amalan diet fanatik yang popular di kalangan remaja perempuan agak terpelajar khususnya di negara-negara membangun.

Penghidap Anorexia, mengikut klasifikasi yang diberikan oleh Persatuan Psikologi Amerika mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

Seseorang wanita itu mempunyai berat badan yang kurang 15 peratus berbanding berat badan yang ideal untuk umur serta ketinggiannya.

Menunjukkan ketakutan yang teramat sangat terhadap penambahan berat badan.

Menunjukkan gangguan dalam cara menghadapi berat dan bentuk badannya.

Lewat datang bulan sekurang-kurangnya selama tiga kali berturut-turut.

Bentuk badan wanita Anorexia pula adalah menyerupai rangka manusia dengan tulang rusuk yang tersembul keluar, kepala yang menyamai tengkorak dan tangan seperti pencakar.

Dalam kebanyakan kes, penghidap akan merasa sangat gembira walaupun kehilangan hanya sedikit berat badannya dan menafikan bahawa dia sebenarnya jatuh dalam kategori yang teramat kurus.

Pemakanannya menjadi terlalu tidak seimbang dan perlu dimasukkan ke hospital sehingga `dipaksa’ untuk makan. Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, Anorexia boleh bertukar menjadi satu bentuk gangguan yang amat bahaya sehingga mengundang maut.

Sementara itu, penghidap Bulimia pula akan mengikuti satu episod makan berulang-ulang dan tidak terkawal. Apabila nafsu makannya memuncak-muncak, penghidap akan mengambil makanan berkalori tinggi dalam kuantiti yang banyak seperti beberapa paun coklat atau kepingan pizza yang besar dalam tempoh satu atau dua jam.

Dalam usaha menyeimbangkan berat badannya semula, wanita berkenaan akan melakukan sesuatu untuk memuntahkan balik makanan itu dan melatih dirinya berbuat demikian setiap kali selepas makan.

Selain muntah, sesetengah penghidap Bulimia juga menggunakan julap dalam dos yang berlebihan untuk menyebabkan cirit-birit. Kedua-dua jenis `penyingkiran’ (muntah dan membuang air besar) itu mendatangkan bahaya seperti kerosakan saliran penghadaman dan gangguan terhadap imbangan bahan kimia dalam badan.

Tidak seperti Anorexia, para penghidap Bulimia menyedari bahawa nafsu makan mereka adalah tidak normal. Ahli Psikologi (Psikodinamik) berpendapat, tekanan sosial bukanlah satu-satunya penyebab kepada gangguan pemakanan ini. Mereka melihat Aneroxia sebagai satu bentuk kebuluran yang sengaja dilakukan dalam perjuangan untuk mencari identiti diri.

Dalam kes Bulimia pula, ahli psikologi Craig Johnson dan Karen Maddi percaya, percampuran gen berlainan yang cenderung menjadikan seseorang `angin’, personaliti dan latar belakang keluarga yang berpecah belah turut menjadi punca gejala ini.

Bagaimanapun, perlu ditekankan, walau apa sekalipun bentuk badan yang dimiliki, ia tidakkan mampu menandingi keluhuran hati seseorang, terutamanya dengan menjauhi niat tidak elok terhadap orang lain. Tanpa perlu dicari-cari, kecantikan itu akan datang sendiri dan terpancar pada wajah. Justeru, belajarlah yakin pada diri sendiri.



0 Komen:

Catat Ulasan

Affiliates

 
Chatroom