Home » » Mengatasi masalah sembelit

Mengatasi masalah sembelit

RAMAI individu bimbang jika mereka tidak membuang air besar antara dua hingga tiga hari. Malah, perasaan cemas akan memuncak jika senario ini berlanjutan sehingga hari yang seterusnya.

Dalam kebanyakan kes, jika inilah senario yang anda alami, anda tidak perlu bimbang.

Sesetengah individu mempunyai rutinnya yang tersendiri seperti membuang air besar dua kali sehari, manakala bagi sebahagian yang lain mereka hanya membuang air besar dua kali seminggu.

Bagi kedua-dua contoh tersebut, tidak ada apa yang perlu anda bimbangkan.

Bagaimanapun, mereka yang hanya membuang air besar dua kali seminggu perlu meneliti dan memberi perhatian kemungkinan ada sesuatu yang tidak kena dalam diet yang diambil atau gaya hidup mereka.

Jika anda berdepan dengan masalah sembelit, jangan bimbang kerana anda sebenarnya tidak keseorangan.

Kerana bimbang dengan keadaan ini, tidak kurang pesakit yang membuat keputusan merawat sendiri masalah ini dengan pelbagai penawar yang terdapat di pasaran.

Namun, amalan mengambil penawar tertentu tanpa nasihat doktor sebenarnya boleh mendatangkan risiko.

Makanan yang masuk ke perut hanya akan disalurkan ke usus kecil apabila ia telah berubah menjadi cecair setelah diuli dan sebati dengan air liur dan jus perut.

Ia kemudiannya bergerak sepanjang usus kecil mengikut pergerakan otot-otot usus.

Pada masa yang sama, zat-zat makanan terpenting akan diuraikan oleh semua jenis jus usus kepada komponen-komponen kecil dan diserapkan melalui dinding usus untuk keperluan tubuh.

Selain bahan-bahan yang tidak dapat dihadamkan, jus penghadaman dan bakteria usus kandungan yang terdapat dalam usus menjadi keras apabila air dikumuhkan dari usus besar.

Dalam kebanyakan kes, masalah sembelit adalah satu aduan yang tidak begitu berbahaya.

Bagaimanapun, bagi sebilangan kecil kes, sesetengah masalah sembelit kemungkinan disebabkan oleh penyakit-penyakit tertentu.

Bagi masalah ini, biasanya perubahan tabiat membuang air besar yang normal berlaku secara tiba-tiba.

Sebaik-baiknya, elakkan daripada mengambil ubat-ubatan yang tidak dipreskripsi oleh doktor, sebaliknya dapatkan nasihat doktor.

Salah satu cara untuk menangani masalah sembelit ini dengan menggunakan gula berzat.

Gula yang mempunyai bentuk tersendiri ini tidak akan diuraikan ke dalam usus kecil, sekali gus tidak diserap ke dalam darah.

Bagaimanapun, rasa tidak puas hati dengan pergerakan usus menyebabkan ramai yang memilih untuk menggunakan ubat-ubatan yang terdapat di pasaran.

Julap yang biasanya diambil untuk menyelesaikan masalah ini tanpa disedari boleh meningkatkan risiko tabiat yang menyukarkan pembuangan air besar.

Kini terdapat banyak julap di pasaran. Ini termasuklah julap rangsangan yang biasanya diperbuat daripada sayur-sayuran.

Namun julap jenis ini boleh menyebabkan seseorang mengalami kekejangan dan cirit-birit.

Bagi jenis julap garam pula, walaupun ia boleh menyimpan air dalam tubuh, namun ia boleh menembusi ke dinding usus.

Selain penggunaan julap, penggunaan cecair pelincir untuk memudahkan dan meningkatkan produktiviti usus juga digunakan untuk menangani masalah sembelit.

Satu hakikat yang tidak disedari oleh banyak pihak ialah kesemua bahan-bahan ini sebenarnya mempunyai kesan sampingan tersendiri.

Selain masalah kekejangan dan cirit-birit, pengambilan julap yang tidak mendapat nasihat daripada doktor boleh menyebabkan tubuh kehilangan banyak air dan garam galian.

Malah, penggunaan julap boleh menimbulkan risiko yang paling serius iaitu usus akan menjadi malas.

Usus yang malas ini tidak akan bekerja kecuali jika individu terbabit meneruskan amalan mengambil julap.

Dalam erti kata lain, pengambilan julap secara berterusan sebenarnya bukanlah jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah sembelit.

Malah, pakar-pakar perubatan turut menyatakan bahawa pengambilan julap berterusan tidak akan dapat menyelesaikan masalah sembelit.

Sehubungan itu, sebelum membuat keputusan melakukan rawatan alternatif, sebaik-baiknya tabiat usus perlulah dipulihkan. Ini boleh dilakukan dengan diet betul dan beberapa amalan yang sesuai. Bagaimanapun, jika ubat-ubatan diperlukan untuk menangani masalah ini, ia haruslah memenuhi beberapa kriteria iaitu:

* Ia tidak menimbulkan masalah yang boleh menyebabkan kekejangan atau cirit-birit atau lain-lain kesan sampingan.

* Ia mestilah selamat diamalkan dalam apa juga

keadaan dan golongan termasuk kanak-kanak, wanita hamil dan orang tua.

* Ia tidak berfungsi di luar usus dan tindakannya mestilah di sekitar usus besar di mana terdapatnya najis yang keras.

* Ia mestilah tidak menyebabkan usus menjadi malas.

Oleh: NAJIBAH HASSAN



3 Komen:

Mama Nadira said...

ada jln penyelesaian tak bila usus dah jd malas dan sudah tidak membuang air besar selama berhari-hari? seperti ada rasa nak membuang air tapi tiada gesaan. mungkin disebabkan pernah memakai julap. tolong bantu saya..tq

Anonymous said...

Tidak dinafikan pengambilan serat memang membantu pembuangan najis. Bagi diri saya pengambilan kurma pada waktu pagi (3 biji sudah memadai)sangat membantu. Sekarang tiada lagi masalah sembelit untuk saya. Alhamdulillah. Mungkin anda juga boleh mencubanya. :)

Jelly Gamat said...

ternyata mengatasinya cukup mudah juga yah

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom