Home » » Bergaya ikut tubuh, warna kulit

Bergaya ikut tubuh, warna kulit

Oleh Siti Nur Almizan Aripin

Penampilan diri punyai pengaruh dalam membentuk sikap, imej positif seseorang

APAKAH yang menyebabkan seseorang itu kelihatan menarik walaupun pakaian dan aksesori yang dipakainya bukan jenis mewah.

Sebaliknya ada orang yang memakai pakaian dan aksesori berharga ribuan ringgit, tetapi penampilan yang cuba ditonjolkan tidak kena langsung.

Ramai orang ingin mempamerkan imej menarik dan bergaya, tetapi tidak mengetahui caranya sedangkan penampilan diri mempunyai pengaruh yang besar hingga mampu membentuk sikap dan emosi positif dalam diri seseorang.

Penasihat imej di Bollywood Starz Glizz Beauty Studio, Pamela Wathy, berkata masih ramai individu yang tersilap bergaya.

Katanya, antara punca utama keadaan itu berlaku adalah kerana terlalu terikut dengan gaya orang lain yang sebenarnya tidak sesuai dengan tubuh sendiri.

"Hanya tubuh kita yang tahu apa yang boleh dan tidak boleh apabila bergaya. Paling penting ialah mengenali bentuk tubuh dan nada warna yang sesuai dengan kulit," katanya.

Beliau berkata, ini yang menyebabkan kelas dandanan penting bagi meningkatkan kefahaman terhadap bentuk dan anatomi tubuh.

"Apabila kita memahami keadaan tubuh, kesedaran terhadap kepentingan menjaga penampilan diri akan wujud sendiri," katanya.

Sementara itu, katanya warna kulit terbahagi kepada dua, iaitu sejuk dan panas dengan kebanyakan wanita Asia memiliki warna kulit kategori panas.

Oleh itu, warna yang sesuai bagi kategori ini adalah warna tanah seperti pastel, kuning, hijau, coklat dan krim. Warna rambut yang disarankan untuk wanita Asia ialah coklat terang dan coklat gelap. Bagaimanapun, mereka boleh mencuba merah gelap (maroon) atau burgundy (wain perang).

Bagaimanapun, Pamela menasihat supaya tidak mewarnakan keseluruhan rambut dengan warna merah atau kelabu.

Memperjelaskan cara mengenal pasti warna yang sesuai mengikut kulit, katanya kaedah itu dilakukan oleh penasihat terlatih di bawah cahaya semula jadi tanpa pantulan cahaya lampu. Kemudian kain atau kertas dalam kategori warna berlainan diacukan ke wajah untuk melihat kesesuaiannya.

Selain itu, katanya perkara yang perlu diutamakan untuk membentuk penampilan diri adalah potongan dan warna rambut. Bagi yang bertudung, warna dan cara ikatan yang sesuai tidak harus diabaikan.

Pamela berkata, aspek lain yang penting ialah pemilihan aksesori, kesihatan diri, cara bergaul, senyuman dan cara berjalan.

"Menyedari kepentingan menjaga ketrampilan diri, terutama wanita, kami menyediakan kelas untuk tujuan itu.

"Kelas terbahagi kepada beberapa kategori, iaitu remaja berusia antara sembilan hingga 13 tahun dan wanita 18 tahun ke atas. Kelas wanita korporat sesuai untuk wanita yang baru memasuki dunia pekerjaan," katanya.

Keistimewaan di Bollywood Starz Glizz Beauty Studio ialah kelas dandanan bagi kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 13 tahun adalah percuma.

Pamela juga sempat menitipkan beberapa petua memilih pakaian dalam yang turut diajar dalam kelas dandanan, iaitu remaja yang sedang membesar harus peka memilih pakaian dalam, terutama coli.

"Selepas akil baligh, badan akan membesar termasuk payudara. Oleh itu, pemakaian bra dengan span tebal adalah tidak digalakkan. Elakkan juga membeli seluar dalam saiz bebas," katanya.

INFO: Solekan mata natural

Kulit putih

Bagi yang berkulit putih, warna paling sesuai untuk dioles ke kelopak mata adalah rangkaian warna coklat. Supaya tidak kelihatan pucat, calit sedikit pembayang mata berwarna merah jambu pada tulang kening supaya kulit kelihatan lebih cerah dan segar.

Kulit sawo matang

Gadis berkulit sawo matang, gunakan pembayang mata berwarna coklat keperangan (taupe). Boleh juga digunakan pilihan warna tanah atau oren kecoklatan. Pilihan warna itu akan membuatkan solekan mata kelihatan lebih moden dan tidak terlalu polos.

Kulit kuning langsat

Oleskan warna karamel, perang kekuningan (tan) atau kuning gangsa (bronze) bagi mendapatkan kelainan. Boleh juga pilih pembayang mata berwarna sedikit keemasan bagi solekan di sebelah malam.

Kulit gelap

Tidak perlu khuatir kerana untuk yang berkulit gelap, solekan nude masih berkesan. Pilih rangkaian pembayang mata dari warna tembaga (copper) dan coklat bata kerana ia sangat sesuai serta dapat memberikan hasil berkilau di kulit gelap anda. Boleh juga pilih warna dari nuasa coklat gelap untuk kelihatan lebih segar.



5 Komen:

Aida Koh Rich 2769 berkata...

nk copy tip boleh?

Tanpa Nama berkata...

HEBAT2 . NNTI SYE NK CUBE ....

Tanpa Nama berkata...

HEBAT ....

Unknown berkata...

Akak ! Sy kulit sy gelp jgk lha.. Wrne tudg ape yg ssuai tuk sy erk ?

Tanpa Nama berkata...

Sya pun nk treiy.x cuba maka x tahu

Catat Ulasan

 
Chatroom