Home » » Budu bantu awet muda

Budu bantu awet muda

Oleh Siti Nur Almizan Aripin

SEBUT saja budu, pasti terbayang makanan tradisional masyarakat Pantai Timur, iaitu Kelantan dan Terengganu. Budu kini bukan saja terkenal di negara ini malah sudah sampai ke luar negara.

Makanan tradisional yang diperbuat daripada ikan bilis yang diperam sehingga hancur mendapat perhatian dan dijadikan kajian ahli pemakanan berkhasiat Jepun, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Jerman.

Penemuan saintis berkenaan mendapati budu mengandungi gluthaione (bahan antioksidan), mengeluarkan sisa toksik dan mampu meningkatkan daya tahan tubuh (imun) yang dapat memerangi pelbagai penyakit berbahaya serta menghalang kanser.

Kini terbukti makanan tradisional yang sering dianggap kuno itu setanding dengan ubatan berteknologi tinggi malah menyimpan seribu satu rahsia yang selama ini tersimpan tanpa ada yang peduli.

KELEBIHAN BUDU

Sesiapa yang impikan wajah kekal tegang dan bebas daripada kedutan sebelum waktunya, anda disarankan supaya memakan budu kerana kajian mendapati ia berpotensi melawan radikal bebas sekali gus menghalang proses penuaan.
Malah, budu berupaya mencegah penyakit aterosklerosis (timbunan lemak di dinding pembuluh darah), koroner jantung, kencing manis dan kanser pada peringkat awal. Selain itu, kandungan budu mempunyai zat antibakteria cirit-birit, penurunan kolesterol darah, pencegah sakit jantung dan tekanan (hipertensi).

Pengambilan budu sebagai makanan tambahan juga mampu menggalakkan pertumbuhan berat badan bagi golongan yang menderita penyakit cirit-birit kronik dan mampu menyembuhkan dalam tempoh yang singkat. Dalam erti kata lain, budu boleh menggantikan makanan tambahan untuk sesiapa yang berhasrat untuk menambahkan berat badan.

PENCEGAH KANSER

Budu mengandungi jumlah mineral zat besi, kalsium, magnesium dan zat antioksidan dalam bentuk isoflavon yang sangat diperlukan tubuh untuk menghentikan reaksi pembentukan radikal bebas.

Radikal bebas adalah atom atau molekul yang mempunyai satu atau lebih elektron yang tidak berpasangan sehingga menjadi sangat aktif hingga menyebabkan tumor, kanser, penuaan dan kematian sel. Adanya antioksidan di dalam budu, ia akan bertindak mencegah pembentukan radikal bebas.

Ini terbukti apabila penyelidik di Universiti Carolina, Amerika Syarikat menemui unsur genestein dan phytoestrogen di dalam budu yang sememangnya terbukti dapat mencegah kanser, proses penuaan dan barah payu dara.

Selain sumber protein berkualiti tinggi di dalam ramuan budu, makanan tradisional ini turut mengandungi sumber serat yang baik. Kandungan seratnya mampu mencapai antara 8 hingga 10 peratus bagi setiap 100 gram budu. Jumlah itu lebih daripada mencukupi seperti disarankan Pusat Penyelidikan Kanser Kebangsaan iaitu sebanyak 30 peratus.

MERANGSANG SEL OTAK

Mengambil budu dalam sajian lengkap harian dikatakan boleh meningkatkan IQ. Budu mampu merangsang sel otak dan memperkukuhkan ikatan antara neuron serta menguatkan neuron yang lemah.


MERAWAT KEMBUNG PERUT

Budu turut merencatkan pertumbuhan bakteria raffinosa dan stokiosa, penyebab gejala kembung perut kalangan kanak-kanak dan remaja.


KANDUNGAN VITAMIN
Terdapat dua kumpulan vitamin pada budu iaitu vitamin larut air (B kompleks) dan vitamin larut lemak (vitamin A, D, E dan K).

Vitamin B adalah sumber vitamin utama terkandung dalam budu dan terbahagi kepada pecahan lain seperti B1 (thiamin), B2 (roboflavin), asid pantotenat, niasin, B6 dan b12 (sianokobalamin).

Secara saintifiknya, budu menjadi penyumbang utama vitamin B12 yang dihasilkan bakteria klebsiella pneumoniae dan citobacter frundiin. Ia tidak dimiliki daripada mana-mana sumber makanan laut, ikan dan daging. Ia mampu membentuk sel darah merah dan mencegah penyakit anemia, sakit perut dan berat badan menurun.



0 Komen:

Catat Ulasan

Affiliates

 
Chatroom