Home » » Hasnat sukar lupakan Diana

Hasnat sukar lupakan Diana

Oleh Hazirah Che Sab




'Mr Wonderful' kini jauh lebih berisi berbanding dulu akan memulakan tugas sebagai ketua unit kardiak di sebuah hospital di Malaysia

LEBIH 10 tahun berlalu, bayangan Puteri Diana masih terus memburu. Walaupun sudah meninggalkan London dan kembali ke pangkuan keluarga di negara kelahirannya, Pakistan, Dr Hasnat Khan, terpaksa akur dengan satu keadaan - Diana tidak mungkin hilang daripada ingatan.

Pastinya Hasnat tidak pernah menyangka perkenalannya dengan Diana akan menyebabkan beliau terjebak menjadi tumpuan dalam peristiwa paling dikenang dalam sejarah kontemporari.

Hasnat disifatkan mendiang Puteri Diana sebagai cinta sejatinya, kini jauh lebih berisi berbanding dulu dan sesuai dengan gambaran 'Mr Wonderful' yang diberikan puteri itu.

Beliau, tidak pernah membuka mulut mencari publisiti murahan dengan menjaja kisah cinta tidak kesampaian antara beliau dan wanita paling terkenal di dunia itu.

Sebagai usaha melarikan diri daripada semua itu, Hasnat meninggalkan kerjayanya sebagai perunding kardiologi dan kembali ke pekan kecil Jhelum, 120 kilometer dari Islamabad.

Di situ beliau menemui kebahagiaan dengan memancing ikan sambil ditemani enam anak saudara yang masih muda dan berjalan-jalan di celah pokok mangga dan oren yang tumbuh di sekeliling rumahnya sebelum memulakan tugas sebagai ketua unit kardiak di sebuah hospital di Malaysia.

Namun, berikutan spekulasi rancak menyatakan beliau akan kembali ke London untuk memberi keterangan kepada siasatan berhubung punca kematian puteri itu, Hasnat akhirnya bersetuju ditemubual secara eksklusif oleh akhbar The Mail on Sunday buat pertama kali.

Di dalam temubual, Hasnat tegas menyatakan beliau tidak akan memberi keterangan seperti dinasihatkan peguamnya. Mengenai Diana, Hasnat memperincikan puteri itu dengan mesra dan bermaruah.

"Saya mendapati beliau seorang yang amat normal. Kita semua ada kelemahan tetapi beliau amat normal dengan kualiti yang hebat dan beberapa kelemahan peribadi seperti tabiat buruk. Tetapi, semua orang ada kelemahan.

"Saya rasa dia membuat kerja baik untuk negara dan penduduk di seluruh dunia - bukan hanya di United Kingdom tetapi di tempat lain juga. Saya rasa itu yang penting," katanya.

Hasnat mengahwini seorang wanita dari keluarga terhormat Afghanistan, Hadia Sher Ali, 29. Tetapi perkahwinannya cuma bertahan 18 bulan. Mereka berpisah dua bulan lalu.

Walaupun enggan memberitahu punca perkahwinan diatur itu gagal, Hasnat mengaku peristiwa 10 tahun lalu masih menguasai seluruh kehidupannya.

"Kadang-kadang saya rasa seperti hendak menjerit. Saya melalui waktu buruk. Saya mahu meneruskan hidup tetapi ia tetap datang," katanya.

Ketika kali pertama menatap puteri kegilaan ramai itu dari jarak jauh, lelaki yang kemudian menjadi tokoh penting dalam hidup Diana itu berkata, beliau langsung tidak tertarik.

Berkemungkinan sikap merendah diri Hasnat yang menarik Diana untuk mendekatinya. Pakar bedah itu mungkin satu-satunya orang yang tidak gilakan publisiti pernah ditemui Diana dan cuma selepas bertemu Hasnat, barulah sikap tenangnya terserlah.

Pertemuan mereka bermula pada 1995, dua bulan sebelum temubual kontroversi Diana di Panorama, disiarkan. Puteri itu melawat seorang rakan yang menjalani pembedahan di Hospital Royal Brompton, Barat London. Di situ, Hasnat bertugas sebagai pakar jantung.

Pada kemuncak percintaan mereka, Diana meletakkan gambar Hasnat di sebelah katilnya, memperkenalkan beliau kepada William dan Harry malah mengkaji al-Quran setiap malam. Pasangan itu merahsiakan hubungan mereka sehingga ke tahap Hasnat diseludup masuk ke Istana Kensington dalam bonet kereta pembantu peribadi Diana, Paul Burrell.

Diana meninggalkan mesej untuk Hasnat di hospital menggunakan nama Dr Armani dan memakai rambut palsu hitam dan panjang untuk memperdayakan jurugambar setiap kali bertemu Hasnat di restoran.

Di sebalik anggapan ramai keluarga pakar jantung itu tidak merestui hubungan mereka, Hasnat mendedahkan keluarganya turut mengambil bahagian menutup rahsia cinta mereka.

Bapa saudara Hasnat, Profesor Jawad Sawid Khan, yang mengetuai Institut Kardiologi Punjab di Lahore, memiliki rumah enam bilik tidur bertentangan dengan tempat kelahiran Shakespeare di Stratford.

"Diana menginap di situ dengan Hasnat dan kami semua. Kami tidak memberitahu sesiapa Diana ada di situ," kata Jawad.

Namun, sebaik hubungan mereka terbongkar, tekanan publisiti amat keterlaluan bagi Hasnat dan pada ketika itu beliau mengambil keputusan memutuskan hubungan yang amat mengecewakan Diana.

Hasnat mengaku marah dengan laporan yang ditulis mengenai hubungan mereka.

"Ia menyakitkan hati - perkara yang ditulis tidak langsung mengenai saya atau Diana. Ia ditulis oleh mereka yang tidak mengenali atau bertemu dengan saya.

"Saya berhenti membaca akhbar. Ada ketika kegilaan media mengganggu urusan saya. Orang ramai menghubungi hospital tanpa henti," katanya sambil mengakui lega apabila kembali ke Pakistan kerana Diana bukan isu besar di situ.

"Saya bertuah di sini. Tiada akhbar dan wartawan. Saya lega di rumah. Tekanan darah stabil - saya memancing, bersiar-siar. Ia begitu aman. Saya boleh keluar dan membaca buku dan menikmati ketenteraman ini. Ia tidak berlaku di United Kingdom," katanya.

FAKTA Puteri Diana

Nama penuh Puteri Diana ialah Diana Frances Spencer.

Puteri Diana mengahwini Putera Charles pada 29 Julai 1981.

Pasangan ini bercerai pada 28 Ogos 1996.

Mati ketika berusia 36 tahun dalam kemalangan ngeri pada 31 Ogos 1997.



0 Komen:

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom