Home » » Pemegang rekod paling gemuk mula keluar rumah

Pemegang rekod paling gemuk mula keluar rumah



MONTERREY, Mexico: Manuel Uribe, yang direkodkan oleh Guinness Book of Records sebagai lelaki tergemuk di dunia, kini boleh bersiar-siar selepas lima tahun tetapi dengan berbaring di atas katil berikutan kejayaan mengurangkan berat badannya dengan bantuan doktor dan pakar pemakanan diikuti diet 'Zone.'

Selepas beratnya mencecah 560 kilogram, pada Mac 2007 Uribe menetapkan matlamat untuk mencapai berat 120 kilogram dan menjelang Februari lalu, dia kehilangan 258 kilogram - kejayaan yang dilihat mengatasi jangkaan perubatan terdahulu.

Uribe pernah muncul dalam dokumentari televisyen mengenai kehidupannya yang terpaksa menghabiskan masa terbaring di atas katil dan cubaan menghilangkan berat badan.

Pihak berkuasa kesihatan Mexico berkata, Uribe memiliki berat badan 560 kilogram ketika meluahkan rayuan terdesak di televisyen dan mekanik berusia 41 tahun itu menarik minat doktor dan pakar pemakanan yang menggariskan diet tinggi protein untuk diikutinya.

Setiausaha Kesihatan Negeri, Nuevo Leon, Gilberto Montiel, berkata pegawai perubatan memantau berat Uribe.

"Saya kini berasa lebih baik, saya boleh melakukan regangan dan sudah dapat bergerak sedikit," katanya.

Uribe memang montel ketika kanak-kanak dan memiliki berat lebih 112 kilogram ketika remaja. Bermula pada tahun 1992, beratnya semakin bertambah.

Uribe menjadi tumpuan dunia selepas muncul dalam stesen televisyen Televisa pada Januari 2006 untuk meminta bantuan untuk mengurangkan beratnya.

Ketika dia cuma mampu terlantar di atas katil, Uribe memastikan televisyen dan komputer yang digunakan untuk mengemas kini laman webnya berada berhampiran.

"Orang ramai menyangka saya boleh makan seekor lembu tetapi ia bukan sekadar terlebih makan, ia juga masalah hormon. Buat masa ini, saya mengamalkan diet dan jika tidak berjaya, saya akan mempertimbangkan pembedahan," katanya.

Dengan kini kehidupannya kembali berada di landasan yang betul, Uribe sudah memiliki teman wanita dan mahu memiliki anak. – Agensi



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom