Home » » Waspada ancaman internet

Waspada ancaman internet

Oleh KHAIRUL ANUAR ABD. RAHMAN

Bagaimana untuk melindungi diri dan keluarga daripada ancaman yang dibawa internet?

INTERNET telah membuka sebuah dunia dengan peluang baru. Ia begitu sebati dengan kehidupan seharian kita sehinggakan mustahil untuk dibayangkan sebuah kehidupan tanpanya.

Pergantungan manusia terhadap komputer, peranti komunikasi dan perkhidmatan yang menghubungkannya memang tidak dapat dipersoalkan lagi. Angka komputer tempat kerja di dunia hari ini telah mencecah lebih 100 juta. Organisasi dan pekerja memerlukan komputer bagi tujuan integrasi bagi memudahkan akses kepada informasi.

Di Malaysia secara khususnya, statistik menunjukkan peningkatan pengguna internet yang drastik sejak tahun 2000. Pada tahun 2007, pertumbuhan penggunaan internet telah meningkat sebanyak 303.9 peratus dari tahun 2000.

Dengan peningkatan ini, tidak hairanlah jika kes berprofil tinggi seperti kecurian identiti dan virus komputer telah membawa kepada kebimbangan orang ramai terhadap tahap keselamatan dunia internet.

Bagi memastikan pengalaman melayari internet yang lebih selamat, ibu bapa dan anak-anak perlu memahami risiko dan ancaman yang wujud di internet sentiasa berubah dan berevolusi selari dengan perubahan teknologi.

Perkhabaran baiknya ialah kebanyakan ancaman yang wujud boleh dielakkan. Malah, terdapat juga penyelesaian secara teknologi dan perilaku untuk pelbagai jenis risiko dan ancaman.

Selepas semua ini difahami, langkah seterusnya ialah untuk menyiapkan diri dengan kaedah pertahanan yang tepat dan mencukupi terhadap ancaman yang wujud. Tiga pecahan kaedah yang boleh diguna pakai ialah:

Lindungi diri

Sebelum anda memuat turun sebarang fail, sama ada dengan cara mengklik pada pautan daripada emel atau daripada laman web, pastikan ia daripada sumber yang dipercayai. Fail yang dimuat turun boleh menjadi medium kepada kandungan berbahaya seperti malware dan spyware.

Seperti yang pernah diingatkan sebelum ini, penting untuk menggunakan kata laluan yang sukar diteka. Gunakan kata laluan yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan aksara dan mempunyai kombinasi huruf kecil, huruf besar, nombor dan simbol.

Elakkan daripada membuka emel daripada penghantar yang tidak dikenali, apatah jika ia mempunyai subjek yang menarik seperti , 'Tahniah!, anda baru sahaja memenangi…' atau yang meminta bantuan untuk menjadi pemegang amanah kepada harta jutaan ringgit kerana negaranya dilanda perang.

Uruskan maklumat peribadi anda dengan teliti dan berhati-hati. Apabila anda membeli-belah atau membuat pembayaran secara online, pastikan anda membaca polisi syarikat tersebut sebelum meneruskan urusniaga bagi memahami sepenuhnya bagaimana mereka akan menguruskan maklumat peribadi pelanggan.

Pastikan juga penggunaan borang dalam talian untuk sebarang pembelian dan jangan sekali-kali menghantar butiran kad kredit atau maklumat kewangan anda melalui emel. Sebelum meneruskan sebarang transaksi yang melibatkan wang, pastikan laman web yang anda lawati itu mempunyai alamat yang bermula dengan https dan ikon mangga pada bahagian bawah browser, yang menunjukkan laman tersebut selamat.

Lindungi keluarga

Adalah penting untuk ibu bapa mengetahui apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka dalam ruang internet sama ada berbual bersama teman, mempunyai jaringan sosial ataupun blog sendiri. Namun, adalah penting untuk melakukan ini tanpa menceroboh hak privasi mereka.

Kunci kepada ini semua ialah dengan mengadakan perbincangan secara terbuka dengan anak-anak bagi memahami apa yang mereka lakukan dalam talian. Ketahui laman web yang sering mereka lawati dan siapa teman mereka. Pada masa yang sama, tetapkan peraturan penggunaan internet.

Bincangkan tentang aktiviti dan tanamkan disiplin agar mereka tidak meletakkan maklumat sensitif di internet. Selain itu, sebagai langkah tambahan, penggunaan aplikasi penapisan web seperti BlueCoat K9 Web Protection boleh didapati secara percuma. Ini dapat mengelakkan anak-anak melawat laman web yang tidak sepatutnya.

Lindungi komputer

Jenayah siber semakin meningkat setiap hari. Komputer di rumah telah diambil alih bagi mencuri identiti empunyanya. Laman web yang tidak dilindungi dengan betul juga telah diubah menjadi tempat untuk melancarkan aktiviti spam dan penipuan internet.

Langkah pertama melindungi komputer ialah dengan mengaktifkan aplikasi firewall. Firewall membantu menguruskan maklumat yang memasuki dan meninggalkan komputer daripada internet.

Pastikan komputer dilengkapi dengan aplikasi antivirus terbaru dan perisian antispyware. Antivirus melindungi komputer daripada ancaman virus dan program berbahaya yang lain, manakala antispyware melindungi komputer daripada pop-up dan ancaman sekuriti lain yang sering menyebabkan kelembapan pada operasi komputer.

Akhir sekali, aplikasi perlindungan ini harus dikemaskini pada kadar yang kerap. Ini bagi memastikan komputer dilindungi dengan perlindungan terkini sekali gus mengurangkan risiko terhadap komputer kesayangan anda!



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom