Home » » Banyak lemak berkumpul

Banyak lemak berkumpul

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

JAM sudah berganjak ke jam 11.30 malam, tetapi anda masih mempunyai keinginan untuk makan. Bagai terpandang-pandang hidangan yang ada di atas meja makan.

Tidak dapat yang ‘berat’, makanan yang ringan seperti keropok atau kerepek pun jadilah. Lebih enak kalau hidangan lewat malam itu dilengkapi secawan kopi panas.

Adakah perasaan ini yang anda alami setiap malam? Jika ya, anda bukan bersendirian kerana ramai yang ada masalah sedemikian.

Malah, ada yang sanggup keluar tengah malam semata-mata mahu makan nasi lemak panas, walaupun waktu itu sepatutnya mereka di bilik tidur.

Gejala makan lewat malam seolah-olah menjadi budaya masyarakat kita. Ramai tahu makan pada lewat malam boleh menyebabkan kegemukan, tetapi ia bukan penghalang. Ramai berfikir, sekali sekala apa salahnya dan kita tidak akan menjadi gemuk dengan sekali makan.


Memang benar. Kita tidak akan gemuk semalaman, tetapi jika keinginan makan pada lewat malam tidak dibendung, ia boleh menjadi ‘budaya’ yang sukar ditinggalkan.

Kesannya bukan saja pada peningkatan berat badan, tetapi ia boleh mendekatkan kita dengan pelbagai penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dan sakit jantung.

Malah, anda juga akan kehilangan bentuk badan menawan tanpa disedari (kerana penambahan berat badan berlaku secara senyap dan perlahan-lahan).

Untuk menurunkan berat badan pula bukan mudah, khususnya bagi individu berusia 30 tahun ke atas.

Bagi lelaki, pengumpulan lemak di bahagian pinggang boleh meningkatkan risiko mendapat pelbagai masalah kesihatan kerana di sinilah terletaknya banyak organ penting. Kehadiran lemak viseral (pada organ) menjejaskan kebolehan organ untuk berfungsi dengan sempurna.

Ketua Perunding Diet Pusat Perubatan Sunway, Teng Yu Yuet, berkata beberapa faktor boleh menyumbang kepada tabiat suka makan lewat malam, iaitu:



Orang yang makan bila ada masa — Ini disebabkan kesibukan kerja (kerja dalam tempoh yang panjang), pekerjaan mengambil masa lama untuk disiapkan atau lambat balik ke rumah.


Orang yang makan atas pengaruh emosi — Bagi individu ini, mereka akan makan tidak kira masa, termasuk sejurus sebelum tidur. Bukan kerana lapar, tetapi atas desakan emosi yang sentiasa berasakan mereka lapar.

Selain itu, seseorang juga mungkin mempunyai keinginan kuat untuk makan apabila tertekan seperti mengalami masalah cinta, perkahwinan atau bosan.


Tabiat suka makan makanan ringan pada tengah malam — Ini termasuk aktiviti sosial (parti, berjumpa kawan atau rakan niaga), menonton televisyen beramai-ramai, sama ada di gerai atau rumah, atau bersembang dengan ahli keluarga di meja makan sebelum masuk tidur.


Orang yang berdiet — Biasanya keinginan untuk makan pada tengah malam menjadi semakin tinggi di kalangan individu yang mahu menguruskan badan.

Malah, budaya kita yang mesti menyediakan makanan untuk sesuatu acara juga boleh menyumbang kepada masalah ini.

Memang tidak lengkap rasanya jika sesuatu pertemuan tidak disertai dengan aktiviti makan-minum. Ia tidak salah, tetapi lebih baik jika makanan dihidangkan awal.

“Dalam keadaan gembira, kita tidak sedar makan berlebihan. Pengambilan berlebihan kalori menyebabkan penambahan berat badan, tambahan pula aktiviti fizikal dan kadar metabolisme kita rendah pada waktu malam.

“Keadaan menjadi lebih buruk di kalangan individu yang menghidap penyakit, walaupun pesakit kencing manis mungkin memerlukan snek ringan sebelum tidur bagi mengelak masalah hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah). Bagaimanapun, ini bukan bermakna mereka boleh makan sepuas hati kerana ia boleh menjejaskan kawalan paras gula darah dan merangsang peningkatan simpanan lemak di badan,” katanya.

Adakah makan lewat makan turut memberi kesan pada kanak-kanak? Ya, kanak-kanak dan remaja akan menerima kesan sama seperti orang dewasa.

Justeru, ibu bapa perlu menanamkan tabiat makan secara bersederhana, mempunyai jadual makan yang teratur dan elak makan sebelum tidur.

Selain itu, tabiat makan pada lewat malam boleh menyebabkan kita sukar tidur. Maknanya, waktu tidur kita akan dilewatkan hinggalah kita berasa selesa.

Namun, ada juga kajian menunjukkan tabiat makan pada lewat malam banyak berlaku pada individu yang mengalami masalah insomnia (sukar tidur).

Sindrom makan lewat malam juga dikaitkan dengan tekanan dan kemurungan.

Tekanan dan kemurungan membuatkan seseorang sukar melelapkan mata dan sebagai langkah untuk menenangkan fikiran, individu ini mengalihkan perhatian kepada makanan tanpa menyedari tindakan ini memberi lebih banyak masalah di kemudian hari.

Bagaimana makan lewat malam boleh menyebabkan kita menjadi gemuk? Apabila kita makan, badan menghasilkan insulin untuk membawa gula ke dalam darah supaya ia boleh digunakan sebagai tenaga. Bagaimanapun, sensitiviti insulin ini berkurang ketika kita tidur.

Jadi jika makan sebelum tidur, tenaga yang diperoleh daripadanya kurang digunakan dan sukar dibakar. Sumber tenaga yang berlebihan ini disimpan sebagai lemak. Jika tabiat ini berterusan, lama kelamaan simpanan lemak bertambah dan berat badan meningkat.

Sebenarnya, boleh dikatakan semua orang tahu makan lewat malam boleh menyebabkan kita gemuk, tetapi tabiat ini sukar dihentikan.

Beberapa langkah boleh diambil untuk mengatasi masalah ini, iaitu:


Makan malam awal. Walaupun anda sibuk atau masih di tempat kerja, luangkan masa untuk makan malam tepat pada waktunya (jam tujuh atau lapan malam).

Ada juga hadis menyarankan kita makan sebelum waktu Maghrib dan saranan ini ada rahsia di sebaliknya.

Jika kita makan sebelum jam tujuh malam, badan mempunyai waktu yang cukup antara tiga hingga empat jam untuk menggunakan tenaga daripada makanan sebelum kita tidur. Jadi, kita terhindar daripada masalah penambahan berat badan dan risiko penyakit yang berkaitan dengannya.


Jika anda ada keinginan untuk makan pada tengah malam, cuba minum dua cawan air atau satu gelas minuman panas rendah kalori seperti teh herba tanpa gula atau susu suam yang boleh mententeramkan perasaan serta mengurangkan keinginan makan.


Untuk individu yang cuba mengurangkan berat badan, mereka dinasihatkan makan mengikut jadual, tetapi pada kuantiti kecil. Sentiasa ingatkan diri sendiri bahawa lapar pada tengah malam adalah normal dan anda tidak perlu ‘mengisi’ keinginan untuk makan. Lagi pula, makan pada tengah malam hanya merosakkan program diet anda.


Jangan simpan banyak makanan ringan di rumah, terutama yang boleh dinikmati sambil menonton televisyen. Pada masa sama kurangkan masa menonton televisyen, sebaliknya alihkan perhatian pada aktiviti atau hobi, sama ada membaca, menulis, mencuba permainan yang mencabar minda seperti teka silang kata atau sudoku mahupun bermain catur bersama ahli keluarga. Iklan di televisyen secara tidak sedar merangsang keinginan anda untuk makan.


Langkah paling senang ialah berus gigi sejurus selepas makan malam.


Senaraikan makanan yang anda ambil sepanjang hari. Cara ini membolehkan anda melihat kuantiti kalori secara kasar yang masuk ke dalam badan dan bandingkan pula dengan aktiviti fizikal.

“Cara terbaik untuk mengelak terjebak dalam sindrom makan lewat malam ialah mengamalkan gaya makanan sihat, iaitu sarapan, makan tengah hari dan malam secara teratur.

“Banyakkan minum air kerana kadangkala kita silap mentafsir keperluan badan untuk air dengan makanan. Cara ini bukan saja membekalkan cukup cecair pada badan, tetapi mampu mengelak masalah kegemukan,” katanya.



1 Komen:

as@pooh said...

apakah punca masalah serta kesan jika masalah kegemukan ini tidak dibendung

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom