Home » » Definisi obesiti abdomen

Definisi obesiti abdomen

Oleh YEO LI SHIAN

Bilakah kali terakhir anda memperoleh bacaan ukuran keliling pinggang anda? Soalan ini mungkin kedengaran tipikal tetapi masih relevan.

Bacaan ukur lilit pinggang biarpun memberi penilaian yang ringkas tetapi ia ada hubung kait dengan risiko kardiometabolik (CMR).

Dalam satu pertemuan bersama Kosmo! di ibu negara baru-baru ini, Profesor Perubatan dari Universiti Antwerp, Belgium, Profesor Luc Van Gaal berkata, ukur lilit pinggang adalah kayu ukur yang tepat untuk menilai CMR jika dibandingkan dengan kaedah konvensional menggunakan indeks jisim tubuh (BMI).

"Sama ada bacaan BMI seseorang itu rendah atau sebaliknya, tetapi jika ukuran pinggangnya tinggi, maka ini bermakna risiko kardiometaboliknya turut meningkat," katanya.

Biarpun kebanyakan individu obes lebih cenderung mengalami masalah kesihatan seperti penyakit kardiovaskular dan hipertensi, Profesor Luc memberitahu, pertambahan berat badan bukanlah satu-satunya isu yang perlu diberi perhatian.

"Apa yang lebih signifikan adalah di mana terkumpulnya lemak dalaman itu. Terdapat dua bentuk obesiti iaitu obesiti pada abdomen yang dikenali sebagai android (bentuk epal) dan obesiti pada bahagian bawah tubuh atau digelar gynoid (bentuk pir).

"Tubuh berbentuk epal lebih tinggi risikonya dibebani penyakit kardiovaskular. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan amaun lemak yang terkumpul di sekitar organ-organ abdominal utama," jelas Ketua Jabatan Diabetologi, Metabolisme dan Nutrisi Klinikal Hospital Universiti negara tersebut.

Bagi yang masih kurang faham tentang definisi obesiti abdomen dalam konteks ukuran lilitan pinggang, seseorang lelaki sihat biasanya memiliki ukuran keliling pinggang kurang daripada 90 sentimeter (cm) manakala 80 cm pula untuk kaum wanita.

Menurut Profesor Luc, akumulasi kuantiti lemak berisiko tinggi yang berlebihan pada bahagian perut turut dikaitkan dengan faktor CMR yang lain seperti pemusnahan keupayaan tisu-tisu tertentu untuk bertindak balas terhadap insulin.

"Kajian mendedahkan tisu-tisu adipos tidak hanya bertindak sebagai 'stesen penyimpanan lemak'. Tetapi, ia juga satu organ endokrin yang aktif dan mampu membebaskan bahan-bahan kimia yang berpotensi menjejaskan sistem kardiovaskular dan metabolisme ke dalam tubuh," katanya dalam temuramah yang diaturkan oleh syarikat farmaseutikal, Sanofi-aventis.

Pembebasan bahan-bahan kimia ini boleh menyumbang kepada perkembangan faktor-faktor CMR seperti paras trigliserid iaitu lemak dalam badan yang tinggi dan peningkatan tahap glukos dalam darah.

Di Malaysia, kaji selidik Malaysian Shape of the Nation (MySon) yang dijalankan pada tahun lalu mendapati, 47.1 peratus lelaki dan 60.2 peratus wanita daripada sejumlah 1,893 peserta yang dikaji, mempunyai masalah obesiti dan berdepan dengan peningkatan CMR.

Perubahan gaya hidup, gaya pemakanan tidak sihat dan kurang bersenam adalah antara faktor penyumbang kepada masalah CMR.

Tambahnya, kajian terperinci turut mengaitkan sistem endocannabinoid (sistem EC) yang terlampau aktif dengan obesiti abdomen. Sistem EC merupakan satu sistem yang mengawal selera dan keseimbangan penggunaan tenaga seseorang.

Badan membebaskan sejenis bahan kimia yang dikenali sebagai cannabinoid dan apabila berhubung dengan reseptor CB1 yang terletak dalam sel-sel lemak dan hipotalamus otak, akan menghasilkan isyarat bahawa tubuh mahukan makanan dan terasa lapar.

Berita baiknya ialah perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan boleh menyelaraskan semula sistem EC yang terlampau aktif.

Namun, jika ada di kalangan anda yang menyangka pengurangan berat badan menerusi program melangsingkan tubuh boleh mengurangkan risiko kardiometabolik, anda silap.

"Pelangsingan tidak akan membantu mengurangkan lemak badan. Begitu juga dengan pembuangan lemak menerusi kaedah liposuction. Liposuction hanya menyingkirkan lemak-lemak superfisial di bawah kulit tetapi bukan lemak dalaman yang lebih solid. Pendekatan pengurusan berat badan seharusnya dipantau oleh pakar," katanya.

Amalan gaya hidup sihat yang ringkas seperti berhenti merokok dan kekerapan melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu sudah memadai untuk mengurangkan kuantiti lemak dalaman pada tubuh.

"Jika sel-sel lemak dalaman mula berkembang pada usia yang muda dan tiada usaha untuk membendungnya maka, ini bermakna risiko kardiometabolik termasuklah masalah obesiti abdomen juga meningkat," ujarnya.

Ketua Jabatan Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Rosli Mohd. Ali berkata, kadar kelaziman faktor CMR di Malaysia kian meningkat.

Dr. Rosli dalam majlis pelancaran pil terbaru, Acomplia, baru-baru ini memberitahu, pada amnya lelaki di negara ini mencatatkan ukuran lilitan pinggang sekitar 87.8 sm manakala kaum wanita pula 83 sm.

"Berbanding masyarakat Barat, penduduk Asia lebih cenderung mengalami pengumpulan lemak pada bahagian abdomen.

"Masalahnya, paras adiponectin yang rendah sering ditemui di kalangan mereka yang obes dan berisiko tinggi mendapat serangan jantung. Adiponectin merupakan sejenis hormon protein yang dihasilkan dan dibebaskan oleh sel-sel lemak yang berfungsi menyelaraskan metabolisme lipid dan glukos selain mempengaruhi tindak balas tubuh terhadap insulin," kata pakar endokrinologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Chan Siew Pheng.

Adiponectin turut memberi kesan antiradang terhadap sel-sel yang melapisi dinding saluran darah.

Dianggarkan sekitar 17 juta orang di serata dunia meninggal dunia akibat penyakit jantung setiap tahun manakala jumlah kes kematian yang melibatkan diabetes pula menjangkau 4 juta kes.

"Pemeriksaan secara kerap dan susulan terhadap faktor-faktor risiko kardiometabolik boleh membantu doktor menguruskan individu yang berisiko," kata pakar kardiologi dari Perancis, Profesor Dr. Jean-Pierre Bassand yang hadir pada majlis itu.



0 Komen:

Catat Ulasan

Affiliates

 
Chatroom