Home » » Jaga lilit pinggang

Jaga lilit pinggang

LAGU Tiru Macam Saya yang pernah didendangkan Puan Sri Saloma mempunyai banyak maksud tersirat kerana ia bukan saja mengajak pendengar dan peminat mengekalkan bentuk badan cantik untuk memikat suami, tetapi ia juga penting bagi memastikan kesihatan sentiasa terjaga.

Selain paras rupa, saiz pinggang antara ciri yang menjadi ukuran kecantikan seseorang, terutama wanita. Malah ketika zaman kegemilangannya, Saloma pernah menjadi pencetus gaya kerana memiliki ‘potongan kerengga’ dengan saiz 36-22-34.

Bukan penggiat dunia kecantikan dan fesyen saja mementingkan ukuran pinggang, malah pakar perubatan menjadikan ia sebagai petanda aras kesihatan. Biasanya apabila ukuran pinggang bertambah, saiz badan secara keseluruhan juga semakin besar.

Ini membimbangkan kerana peningkatan ukuran pinggang menandakan risiko mendapat pelbagai penyakit semakin tinggi. Tanpa kita sedari, kegemukan akan datang bersama ‘rakannya’ seperti peningkatan tekanan darah serta paras gula dan kolesterol yang secara tidak langsung mendekatkan kita kepada penyakit jantung atau strok.


Sindrom ini berlaku pada individu yang ukuran pinggangnya melebihi 90 sentimeter (36 inci) bagi lelaki dan 80 sentimeter (32 inci) bagi wanita, tekanan darah melebihi 130/85 mmHg, paras glukos melebihi 5.6 mmol/liter serta paras kolesterol tinggi melebihi 5.2 mmol/liter.


Tekanan darah yang sihat dan normal ialah kurang daripada 120/80 mmHg. Tekanan darah anda masih dalam lingkungan normal jika dalam lingkungan 120/80 hingga 129/84 mmHg dan mula memasuki fasa pra hipertensi jika ukuran ini di antara 130/85 hingga 139/89 mmHg.

Hasil kajian Pusat Perubatan Southwestern Universiti Texas yang dilaporkan Reuters baru-baru ini menyatakan, walaupun berat badan tidak bertambah, pakar perubatan berpendapat peningkatan ukuran pinggang boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.

Kajian berkenaan dilakukan ke atas 2,744 responden dengan purata umur 45 tahun menggunakan imej resonans magnetik dan imbasan tomografi komputer bagi mengesan tanda salur darah tersumbat. Penyelidik mendapati ada kaitan langsung antara ukuran pinggang dengan petunjuk awal penyakit jantung tanpa mengira berat badan responden.

Ini bermakna walaupun seseorang individu itu tidak mengalami masalah berat badan berlebihan, memiliki ukuran pinggang besar meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung berbanding individu berpinggang ramping.

Menurut Perunding Kardiologi yang mengetuai penyelidikan itu, Dr James de Lemos, ukuran pinggang sama pentingnya dengan berat badan. Ini kerana ukuran pinggang biasanya berkadar terus dengan peningkatan berat badan dan semua individu obes mempunyai ukuran pinggang besar,” katanya.

Banyak kajian sebelum ini mengesahkan kaitan ukuran pinggang dengan serangan jantung, strok dan risiko penyakit jantung lain. Ini juga sebabnya pakar menyarankan ukuran pinggang dikekalkan kurang 90 sentimeter bagi lelaki dan 80 sentimeter bagi wanita. Ukuran ini bagaimanapun berbeza sedikit dengan penduduk Barat iaitu 100 sentimeter (40 inci) bagi lelaki dan 87.5 sentimeter (35 inci) untuk wanita.

Penjagaan ukuran pinggang ini sama penting bagi kedua-dua jantina dan perlu dimulakan sejak muda. Sebabnya mudah. Amalan gaya hidup moden yang tidak aktif, banyak makan dan kurang bersenam mendekatkan menyebabkan lebih ramai golongan muda mendapat penyakit jantung, terutama di kalangan lelaki.

Bagi wanita pula, risiko sakit jantung meningkat mendadak selepas menopaus. Tentu saja risiko ini berganda jika saiz pinggang sengaja dibiarkan terus bertambah.

Mengecil atau mengekalkan saiz pinggang ke ukuran selamat adalah tugas sepanjang hayat setiap individu. Pinggang besar juga boleh mendatangkan masalah lain kerana organ yang terletak di bahagian pinggang ada ‘tarikan’ kuat untuk mengumpul lemak.

Ada pakar berpendapat, bukan jumlah lemak yang perlu dibimbangkan, tetapi di bahagian mana lemak itu berkumpul. Simpanan lemak boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu lemak subkutaneus (yang disimpan di bawah kulit) dan viseral (lemak berkumpul pada organ).

Pengumpulan lemak bertumpu pada organ penting, terutama di abdomen (kawasan perut). Pengumpulan lemak pada abdomen lebih jelas di kalangan orang lelaki (badan bentuk epal) dan bagi wanita, kebanyakan lemak ‘turun dan mendap’ di pinggul serta paha (bentuk pir).

Lemak pada abdomen meningkatkan risiko penyakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi serta strok. Ini sebabnya lelaki lebih ramai mengalami masalah kesihatan berbanding wanita. Bagaimanapun, risiko semua penyakit itu boleh dikurangkan dengan mengembalikan ukuran pinggang ke saiz menawan.



0 Komen:

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom