Home » » Kiamat sudah dekat

Kiamat sudah dekat

“SESUNGGUHNYA hari kiamat itu sangat dahsyat. Pada hari itu, setiap ibu lupa pada anaknya, perempuan yang hamil gugur anaknya, engkau lihat manusia dalam keadaan mabuk, bukan kerana mabuk minuman keras, melainkan kerana seksaan Allah yang sangat pedih.” (al-Haj: 1 — 2)

Begitulah ngerinya kiamat apabila malaikat Israfil meniupkan Sangkakala, sejenis alat tiupan berbentuk sebatang tanduk sangat besar dengan lingkungan yang boleh memuatkan seluas lapangan langit dan bumi. (Abu Hurairah)

Soalnya, sejauh mana kita bersedia menghadapi hari Sangkakala ditiup? Sejak sekian lama hidup di dunia, manusia kian lupa pada janji Allah bahawa kiamat itu satu kepastian.

Banyak umat Islam terus lalai dengan urusan harian seperti mengumpul harta kekayaan, seronok dengan keluarga dan asyik bergelumang dosa.

Kita semakin lupa dengan peringatan Allah: “Masa kiamat ialah masa harta benda dan anak seseorang tidak akan memberi manfaat kepadanya, jika dia menghadap Tuhan dengan hati yang tidak bersih daripada kufur dan syirik.

“Walaupun harta benda itu dibelanjakan pada jalan kebajikan dan anak diberikan didikan agama serta berakhlak yang mulia hingga menjadi anak yang soleh.” (al-Syu’ara’: 88 — 89)

Allah juga menjanjikan bahawa: “Masa kiamat itu ialah masa di mana setiap orang melarikan diri daripada saudara, ibu bapa, isteri dan anaknya, kerana masing-masing terlalu sibuk dengan hal keselamatan diri sendiri, tidak ada masa lagi hendak mengambil tahu perihal orang lain, walaupun mereka sangat rapat, mulia dan sangat dikasihinya.” (Abasa: 34 — 37).

Percaya kepada kiamat adalah rukun iman dan ia pasti datang. Walaupun kita tidak diberi tarikh tepat bila kiamat akan berlaku, janji Allah pasti ditunaikan.

Oleh itu, sesekali ketika sibuk di pejabat, keluar bersama rakan atau berehat di rumah dengan anak dan suami atau isteri, ingatkan diri dan orang sekeliling bahawa kiamat sudah dekat.

Mungkin ingatan itu akan menyedarkan betapa selama ini kita sudah lama lalai dengan dunia.



0 Komen:

Catat Ulasan

Affiliates

 
Chatroom