Home » » Pesona senyuman

Pesona senyuman

Oleh JOHANNA A. SOBREY

Kunci gigi yang sihat dan cantik ialah keseimbangan gaya hidup yang mampu menghalang tiga tanda awal penuaan - penyakit gusi, pereputan gigi dan penyahwarnaan.

SEKIRANYA mata merupakan jendela jiwa, senyuman mesra adalah jambatan yang menghubungkan individu kepada individu yang lain.

Namun senyuman bukan sekadar melebarkan bibir, tetapi mendedahkan barisan gigi bak mutiara yang tersorok.

Kebersihan gigi perlu dianggap sebagai satu kecantikan asas yang perlu didahulukan sebelum memikirkan penggunaan alat solek.

Gigi yang tidak terjaga melambangkan bahawa seseorang itu tidak mengambil berat tentang aspek kebersihan diri, amalan kehidupan yang sihat dan penampilan dirinya.

Menurut kenyataan syarikat pakar kebersihan gigi OralB, sekiranya plak tidak ditanggalkan secara kerap, termasuk di kawasan di bawah garisan gusi, ia akan merengsakan gusi seterusnya mengakibatkan penyakit gusi.

Sekiranya dibiarkan, bakteria akan menghasilkan toksin yang akan merengsa gusi dan merosakkan gigi.

Peringkat paling awal kerosakan gusi ialah gingivitis - keradangan gusi yang boleh menyebabkan ia bengkak, lembut dan berdarah ketika memberus dan memflos.

Pemberusan dan pembersihan gigi secara kerap penting untuk mencegah penyakit gusi.

Memberus gigi dengan sempurna adalah langkah pertama dalam mengekalkan kesihatan gigi dan gusi.

Sekiranya anda merasakan bahawa membersihkan gigi sepenuhnya akan mengambil masa yang panjang, tanggapan anda itu salah.

Ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua minit dengan menggunakan teknik yang disarankan untuk memberus dengan bersih.

Sama ada anda menggunakan berus gigi biasa atau berkuasa, anda perlu memberus selama 30 saat di setiap bahagian mulut atas kanan dan kiri, bawah kanan dan kiri.

Kunci gigi yang sihat dan cantik ialah keseimbangan gaya hidup sihat dan tabiat kesihatan gigi yang baik yang mampu menghalang tiga tanda awal penuaan di mulut - penyakit gusi, pereputan gigi dan penyahwarnaan.

Tip-tip kesihatan gigi


* Berus dua kali sehari

Memberus ialah kunci kepada kesihatan gigi yang baik, memerangi penyakit gusi dan senyuman menawan sepanjang hayat. Pastikan anda memberus gigi dua kali sehari sekurang-kurangnya selama dua minit di sebelah pagi dan malam dengan memberi perhatian pada garisan gusi menerusi pergerakan membulat.


* Flos sebelum memberus

Sisa makanan di celah-celah gigi dapat dikeluarkan dengan bantuan flos. Sisa-sisa yang tertinggal akan menyebabkan masalah gigi seperti kaviti, penyakit gusi dan gingivitis. Flos gigi sebelum memberus gigi agar plak dan sisa makanan dapat dibuang dari permukaan gigi.

* Bertemu doktor gigi dua kali setahun

Berjumpa doktor gigi dua kali setahun untuk pembersihan profesional. Ia amat penting bagi wanita yang mengamalkan pil perancang keluarga atau yang hamil serta yang mengalami menopaus kerana mereka lebih cenderung mendapat masalah gigi seperti penyakit gusi, pereputan gigi dan kaviti.

* Kurangkan minuman berkarbonat, kopi dan alkohol


Walaupun minuman ini mengandungi kandungan fosforus yang tinggi untuk kesihatan gigi, terlalu banyak fosforus juga boleh mengurangkan kandungan kalsium di dalam tubuh. Ini akan membawa kepada masalah gigi seperti pereputan gigi dan penyakit gusi. Minuman yang mengandungi bahan tambahan seperti gula jagung dan pewarna makanan boleh menyahwarnakan gigi dan menjadikan gigi kelihatan pudar. Minuman seperti susu boleh meningkatkan kekuatan gigi dan membina enamel yang kuat.

* Berhenti merokok

Merokok ialah penyumbang utama kepada penuaan gigi. Selain mengotorkan gigi, tabiat merokok juga merencatkan penyerapan kalsium ke dalam tubuh dan boleh menyebabkan penyakit berbahaya seperti kanser mulut.


* Kunjungi doktor gigi sebelum hamil

Wanita hamil boleh mengalami gingivitis yang disebabkan perubahan hormon dan pertambahan aliran darah dalam tubuh. Sebelum hamil, semua wanita dinasihatkan menjalani pemeriksaan berkala untuk penyakit gusi. Mereka juga perlu melalui pemeriksaan gigi berkala sepanjang tempoh hamil.

* Menambah pengambilan kalsium

Selepas usia 30 tahun, wanita akan mengalami pengurangan kepadatan tulang sebanyak 25 peratus. Disarankan agar kandungan kalsium dalam badan dipertingkatkan dengan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan ini akan membantu mengurangkan pembentukan asid dalam air liur yang boleh menyebabkan penghakisan enamel gigi.

* Tidur sekurang-kurangnya 8 jam sehari

Yayasan Tidur Kebangsaan Amerika Syarikat melaporkan golongan wanita lebih terdedah mengalami insomnia berbanding lelaki. Kurang tidur akan menyebabkan sistem ketahanan badan wanita lemah. Ini memberi ruang kepada jangkitan bakteria di dalam mulut.

* Amalkan pengambilan vitamin C dan D

Vitamin C dan D membantu penyerapan mineral berguna untuk gigi seperti kalsium dan fosforus yang membantu kesihatan tulang dan tisu gusi.


* Memilih berus gigi yang betul

Sama ada anda kanak-kanak atau dewasa, Oral-B mempunyai pelbagai berus gigi yang memenuhi kehendak anda. Antara kriteria pemilihan berus gigi adalah memilih berus yang mampu memberikan pengguna kawalan dan keselesaan



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom