Home » » Selebriti kurus kering

Selebriti kurus kering

GEJALA anoreksia dan bulimia ibarat fesyen di kalangan selebriti wanita di Hollywood. Kurang keyakinan dan harga diri, gangguan emosi dan tekanan khususnya dari media menyokong lagi gejala tidak sihat ini.

Selain mengambil ubat-ubat pelangsing, ada juga yang menjolok tekak selepas makan supaya memuntahkan semula apa yang dimakan. Dan dalam konteks hidup terkini, gejala kurus dilihat paling dipengaruhi oleh televisyen yang dengan pantasnya menjadi standard kepada selebriti. Dan idea itu telah mengelirukan fikiran terutamanya gadis muda.

Pada mereka kurus bermaksud seksi, stail dan cantik walaupun mampu meragut nyawa. Maka, bagi mencapai tahap piawaian yang ditetapkan oleh golongan selebriti, aneroksia dan bulimia menjadi pilihan. Dan jalan pintas ini bukan sahaja mengaburi mata orang biasa tetapi juga mereka yang ‘bertanggungjawab’ terhadap masalah ini.

Aktres seperti Christina Ricci, Teri Hatcher dan Lindsay Lohan pernah dikaitkan dengan masalah bulimia dan berikut adalah antara beberapa kisah mengapa artis Hollywood berdepan dengan masalah bulimia dan aneroksia.

Keira kononnya berbadan besar

Sungguhpun berbadan kurus kering, Keira Knightley pernah mengeluarkan satu kenyataan menegaskan bahawa saiz badannya adalah dua kali ganda lebih besar berbanding saiz badan kebanyakan aktres di Hollywood.

Aktres yang dilihat terlalu kurus sehingga menampakkan tulang ini mendakwa kebanyakan aktres yang bersaing dengannya dalam uji bakat filem bertubuh lebih kecil berbanding dirinya.

“Isu berat badan sangat popular di Hollywood. Dan saya memiliki saiz badan dua kali ganda daripada semua segi di kalangan aktres Hollywood lain,” katanya kepada Contactmusic.

Aktres yang pernah dikritik kerana memiliki tubuh kurus kering ini bagaimanapun menafikan dia mengalami masalah pemakanan.

“Saya sebenarnya melalui banyak pengalaman mengenai anoreksia. Nenek dan moyang saya mengalaminya. Dan saya mempunyai ramai rakan di sekolah yang pernah mengalaminya. Ia bukan isu yang boleh dipandang remeh,” akui Knightley.

Heroin filem Pirates of the Caribbean ini juga berjaya memperoleh pampasan berjumlah AS$5,965 (RM20,217) dalam satu kes saman fitnah yang mendakwa dia terlampau kurus dengan menyiarkan gambarnya sedang memakai bikini.

Dalam laporan akhbar Daily Mirror, artikel itu boleh ditafsirkan seperti mendakwa Knightley secara peribadi bertanggungjawab terhadap kematian model Sophie Mazurek, 19, yang menghidap anoreksia.

Knightley berasa amat malu dengan dakwaan palsu itu yang turut menyatakan aktres ini tidak mengamalkan pemakanan yang sihat dan bersenam secara melampau.

Kelly kurus selepas uji bakat

Menjadi tumpuan media bukannya perkara mudah yang dihadapi terutamanya bagi artis ‘segera’ seperti Kelly Clarkson selepas diangkat sebagai juara American Idol pertama.


Setiap gerak-geri diperhatikan dan dalam dunia glamor Hollywood, Clarkson tidak dapat lari daripada isu berat badan. Tampil lebih berisi, Clarkson mengaku bahawa dia pernah mengalami bulimia ketika di zaman persekolahan.

Dia menjadi bulimia selepas kecewa apabila gagal dalam satu uji bakat pementasan muzikal di sekolahnya.

“Pada masa itu saya fikir kalau saya lebih comel dan kurus, saya akan lulus uji bakat itu,” katanya kepada majalah CosmoGirl.

Clarkson bergelut dengan masalah bulimia selama enam bulan sehingga rahsianya itu diketahui oleh rakan-rakan baiknya yang kemudian merayu dia untuk bertemu doktor.

“Salah seorang rakan saya ternampak saya muntahkan semula makanan dan saya berasa sangat malu,” tambahnya.

Semenjak berjaya mengatasi masalah bulimia, Clarkson melihat tubuhnya secara positif dan menggalakkan pemakanan sihat di kalangan para peminatnya.

Tambah Clarkson, “Saya fikir adalah sesuatu yang baik untuk melihat saya normal. Memang saya suka makan.”

Mary-Kate ‘ratu’ bulimia


Bukan sahaja diserang masalah aneroksia, Mary-Kate juga pernah dikejarkan ke wad kecemasan Hospital New York akibat bulimia. Boleh dilabelkan sebagai ‘Ratu Bulimia Hollywood’, Mary-Kate juga pernah dimasukkan ke pusat pemulihan pada 2004 tetapi bukan disebabkan ketagihan alkohol ataupun dadah, tetapi masalah aneroksia yang dialaminya.

“Mary-Kate pernah menjalani rawatan di pusat pemulihan bagi mereka yang mempunyai masalah pemakanan di Cirque Lodgem di Utah,” kata wakil Mary-Kate, Nicole Caruso.

Sering menyarungkan pakaian longgar bagi melindungi tubuh kurusnya daripada dirakam paparazzi, Mary-Kate akhirnya didiagnos mengidap jangkitan pada buah pinggang. Jangkitan ini dikatakan mempunyai kaitan dengan masalah bulimia yang dihadapinya.

Ini kerana Lindsay Lohan juga menghadapi masalah dengan buah pinggangnya ketika mengidap bulimia.

Mary-Kate dan kembarnya, Ashley yang memperolehi pendapatan sebanyak AS$40 juta (RM128 juta) pada tahun 2006 sebelum ini pernah mengakui tubuhnya terlalu kurus sehingga dia malu untuk memakai bikini.

Nicole Richie ikon kurus





Turut dilemparkan dengan pelbagai tohmahan akibat terlalu kurus sehingga mempengaruhi remaja masa kini, Nicole Richie bagaimanapun mendakwa kekurusannya itu secara natural

Pelakon The Simple Life membuat pengakuan kepada majalah Vanity Fair bahawa dia berasa takut apabila ramai remaja kini menjadikan dirinya contoh untuk kelihatan kurus.

Mengaku menghadapi masalah berat badan, Richie bagaimanapun memberitahu ia tidak mempunyai kaitan dengan masalah pemakanan dan sedang cuba memperbaiki kesihatan dirinya.

“Saya tahu saya sangat kurus sekarang dan tidak mahu remaja untuk mengikuti jejak saya. Kini saya sudah mula berjumpa dengan pakar pemakanan dan doktor.

“Saya sedar saya mempunyai masalah dan mahu bertanggungjawab dengan masalah ini. Jadi jangan cuba menilai lagi kerana ini akan menyebabkan saya tertekan dan semakin kurus,” katanya.

Namun, pihak doktor sendiri tidak yakin sama ada aktres ini tidak menghadapi masalah aneroksia.

“Jika dia bukan aneroksia, berat badannya sepatutnya boleh meningkat,” kata salah seorang doktornya, Jeffrey Wilkins.

Richie sebelum ini juga pernah merayu kepada pihak media supaya berhenti menyindir dirinya kerana memiliki badan kurus kerana tekanan yang dihadapi membuatkan dia kelihatan seperti pesakit aneroksia.

Calista dan masalah pemakanan

Pelakon drama popular Ally McBeal, Calista Flockhart mengakui bahawa dia sengsara dengan masalah aneroksia semasa menjalankan penggambaran drama bersiri popular itu.

Selepas setahun mendakwa bentuk badan yang kurus adalah disebabkan rangka tulang, aktres ini akhirnya membuat pengakuan jadual kerja ketat serta tekanan telah menjadikan dia hilang selera makan.

“Pada masa itu saya amat tertekan. Saya bekerja 15 jam sehari di lokasi penggambaran dan kemudian terpaksa berdepan dengan penghujung drama ini yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya.

“Pada masa itu saya mula kurangkan makanan, melakukan senaman berlebihan dan menyeksa sistem badan saya. Rasanya saya tidak dapat mencari masa untuk makan. Namun, saya kini sudah sihat,” katanya.

Malu punca bulimia Thandie

Sementara artis lain mencuba sedaya upaya untuk berdiet supaya kelihatan kurus, Thandie Newton gembira dengan bentuk badannya yang sihat.


Aktres Mission Impossible 2 ini bagaimanapun mendedahkan bahawa dia pernah berdepan dengan masalah bulimia. Newton yang kini merupakan ibu kepada dua orang anak memberitahu majalah Easy Living bahawa dia pernah mengalami masalah pemakanan.

“Saya masih mempunyai kesan parut di bahagian tekak kerana saya meletakkan jari ke bahagian tekak untuk muntah.”

Menurut Newton, dia memuntahkan makanan kerana masalah cintanya yang gagal. “Saya bercinta dengan seorang lelaki untuk jangkamasa yang panjang. Dia lebih tua daripada saya dan berasa malu kerana terlibat dengannya.

“Saya akan makan malam bersama dia dan kemudian kembali ke rumah untuk muntah. Ditambah pula saya selalu keluar dengan kawan yang mendera saya dari segi emosi dan mengkritik sepanjang masa,” katanya.

Newton kemudian berpindah ke Los Angeles dan menjadi sihat selepas berjumpa dengan ahli terapi untuk meninggalkan tabiat buruk itu.

“Hanya dengan satu perjumpaan sahaja saya tidak muntah lagi. Saya telah memahami maksud malu dan penderaan diri,” jelasnya lagi.

Newton menimbulkan spekulasi pada tahun 2006 kerana terlalu kurus selepas melahirkan anak keduanya. Namun, dia kini kelihatan gembira dengan bentuk badannya.



0 Komen:

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom