Home » » Tahajud penjana rohaniah

Tahajud penjana rohaniah

SOLAT tahajud yang dilakukan pada malam hari memberi kesan yang amat besar kepada individu terbabit. Waktu untuk mendirikannya ialah selepas solat Isyak hingga Subuh.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan bangunlah pada sebahagian malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji." - surah al-Isra': 79.

Kelebihan solat tahajud turut ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. seperti dalam hadis baginda yang bermaksud: "Apabila seseorang itu terjaga daripada tidurnya pada waktu malam dan membangkitkan isterinya, lalu kedua-duanya menunaikan solat dua rakaat, nescaya mereka ditulis dalam golongan manusia yang banyak menyintai dan menyebut Allah." - hadis riwayat Ibn Hibban daripada Abi Sa'id.

Dalam sebuah hadis yang lain daripada Aisyah r.a: Bahawa Rasulullah bangun sebahagian daripada waktu malam untuk bersembahyang hingga bengkak kedua kakinya, maka aku (Aisyah) berkata kepada Baginda, mengapa kamu lakukan ini semua, bukankah dosa tuan telah diampunkan oleh Allah sama ada yang terdahulu mahupun yang terkemudian?

Baginda menjawab: "Bukankah aku ini hamba yang bersyukur." - Muttafaq A'laih.

Solat tahajud merupakan amalan para nabi dan sahabat. Sememangnya suatu yang amat berat bagi seseorang untuk bangun ketika orang lain tidur nyenyak.

Namun demi Allah, patutlah kita bersusah payah untuk mencari rahmat mendapatkan keredaan-Nya. Bangun malam untuk merebut rahmat Allah adalah suatu kekuatan yang sangat luar biasa.

Dengan ketenangan dan keheningan malam, hamba yang beriman akan mengambil kesempatan untuk mengukuhkan hubungannya dengan Allah. Mereka bangun dengan penuh harapan, pujian dan permintaan agar dosa-dosa diampunkan dan rezeki diluaskan.

Ketika mengangkat tangan untuk menyatakan kebesaran dan keagungan Allah sambil menghadap kiblat, terasa suatu kedamaian yang sangat luar biasa apatah lagi dihayati satu persatu makna ayat-ayat yang dibaca perlahan dan penuh tertib.

Bagi yang memahami maksud ayat yang dibaca, terasa gerun, gembira dan sedih dengan janji-janji Allah.

Mohonlah apa sahaja supaya hidup diberkati. Solat tahajud mampu menguatkan hati kerana hamba dapat meluahkan isi hati tanpa ada sekatan terhadap Tuhannya. Menyesali dosa-dosa yang dilakukan dan mengharapkan rahmat Allah.

Perkara yang boleh dilakukan dengan sebanyak-banyaknya ialah beristighfar memohon keampunan selain berzikir dengan khusyuk. Bermunajat dan berdoa supaya Allah memberi ehsan dan bimbinganNya kepada kita.

Rasulullah telah memberikan contoh terbaik untuk tidur lengkap dengan doanya sekali. Antaranya ialah:

* Makan malam yang sedikit sebagai mengalas perut.

* Menunaikan solat Isyak sebelum tidur.

* Membersihkan tempat tidur daripada habuk dan kotoran.

* Membaca doa sebelum dan selepas bangun tidur.

Oleh Dr Amaluddin (Kosmo!)



0 Komen:

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom