Home » » » Usah sedih keterlaluan

Usah sedih keterlaluan

BERSEDIH, muram, murung, kecewa, merana, geram malah dendam, segala detik memilukan itu mungkin dialami mereka yang menempuh alam percintaan.

Kasih diharap karam di tengah jalan. Bagi yang bercinta dan ditinggalkan si dia, putus tunang atau mereka yang pernah mengalami keruntuhan rumah tangga, segala perasaan itu bersatu, malah tidak mustahil boleh menjadikan seseorang itu terus memendam rasa.

Seseorang yang putus cinta biasanya menghadapi tekanan emosi yang mendalam. Ada yang termenung dan terkenang si dia yang sudah pergi. Ada pula yang menangis kesedihan di tengah malam sunyi.

Hati pasti tidak tenteram, ingatan silam pasti kembali, kesedihan atau kemarahan datang membayangi. Sesetengah orang mengambil masa bertahun-tahun untuk melupakan kisah cinta bersama si dia, ada pula mungkin sekadar sebulan dua.

Berikut petua menghadapi kemelut perasaan berkenaan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna:

Ambil sedikit masa untuk diri sendiri


Apabila baru berpisah dengan pasangan, cari tempat menenangkan fikiran dan tarik nafas panjang-panjang. Kemudian, biasakan diri dengan suasana baru itu.

Sebolehnya bagi mereka yang baru bercerai atau berpisah, jangan terburu-buru mencari pasangan baru.


Mencari hikmah dan pengajaran daripada perpisahan

Setiap perkara yang datang ada hikmahnya. Dalam mencari pengajaran, perlu muhasabah diri atau mengkaji kelemahan diri. Memang tidak dinafikan si dia mempunyai kelemahan namun masing-masing kena reda dengan ketetapan Ilahi.


Berkongsi dan meluahkan rasa hati dengan rakan atau saudara terdekat

Sebolehnya jangan pendam perasaan seorang diri terutama bagi wanita. Ia boleh diibaratkan luka yang menjadi nanah apabila dipendam lama-lama. Carilah rakan atau saudara dekat bagi melepaskan rasa hati.

Melepaskan rasa hati ini tidak bermaksud bercerita segalanya pada mereka. Cukup dengan melakukan aktiviti baru dan menikmatinya. Itu sudah cukup untuk melepaskan rasa dalam hati dan minda.


Bersedih berpada-pada

Jangan salahkan diri ataupun sesiapa walaupun ia bukan berpunca daripada diri kita. Semua orang melakukan kesilapan.

Ada sesetengah yang berasa diri dibuang dan tidak diperlukan lagi. Cukup! Berhenti! Mungkin bagi si dia tidak diperlukan, tetapi masih ramai orang lain yang memerlukan kita. Kita mampu mencari cinta yang lain. Teruskan hidup.


Jangan serik untuk bercinta


Jangan takut atau fobia untuk bercinta lagi. Teruskan mencari cinta baru. Dapatkan pelbagai pandangan daripada rakan, saudara mara dan sesiapa yang mampu memberi pendapat.

Jangan malu dan paling penting, jangan lakukan kesilapan lalu.


Berdoa dan bertawakal kepada Tuhan

Ingat sesuatu yang baik ataupun buruk di tangan Yang Maha Kuasa. Banyakkan berdoa agar mendapat jodoh yang lebih baik.



0 Komen:

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom