Home » » » Perangsang Tekanan

Perangsang Tekanan

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

TEKANAN sudah jadi satu perkara lumrah dalam hidup kita. Malah ada yang menyifatkan tanpa tekanan hidup akan jadi bosan kerana tiada cabaran. Sememangnya setiap perkara itu ada baik dan buruknya, terpulang kepada kita untuk menilainya.

Bagi individu yang optimistik tekanan tidak dianggap sebagai masalah sebaliknya cabaran atau peluang untuk meningkatkan keupayaan dan mencapai kejayaan. Namun tidak semua orang mampu melihat tekanan sebagai perkara positif. Ia lebih dianggap satu masalah.

Bahkan ramai juga yang tidak sedar mereka sebenarnya berada dalam keadaan tertekan sehinggalah badan mula menunjukkan simptom seperti selalu resah, sedih, cepat panik, tidak selesa, emosi tidak stabil, sakit perut, pening kepala, sesak dada, alahan, sukar tidur atau merokok lebih banyak.

Setiap orang ada cara tersendiri mengatasi tekanan yang datang. Ada yang meluahkan masalah kepada rakan, berbincang bersama keluarga, bersenam, membeli belah, tidur lama, menonton, minum minuman keras, merokok mahupun mengalihkan perhatian kepada makanan.

Jika anda termasuk dalam kumpulan yang suka makan ketika berasa sedih atau tertekan, jangan risau kerana anda sebenarnya bukan bersendirian kerana ia juga diamalkan berjuta orang di seluruh dunia. Biasanya kita akan memilih makanan yang disukai kerana ia secara psikologinya boleh mententeramkan fikiran dan menyenangkan hati.

Dalam keadaan ini kita biasanya tidak lagi memikirkan kaitan antara keperluan badan dengan makanan yang diambil. Biasa juga kita kata ‘Tidak mengapa, sesekali saja’ untuk menyedapkan hati jika makanan yang dipilih itu mengandungi banyak lemak atau kolesterol dan sedar mengenainya.

Bagi orang yang memilih kaedah ini bagi menghilangkan tekanan, jarang sekali menghadapi masalah kekurangan zat kerana mereka ada kecenderungan untuk makan pelbagai jenis makanan dalam kuantiti banyak tanpa rasa bersalah.

Jika pengambilan makanan itu terkawal ia tidak akan mendatangkan masalah. Bagaimanapun ada dua perkara yang perlu ditimbangkan iaitu jenis makanan pilihan dan penghadaman. Biasanya bila tertekan kita jarang memikirkan sangat ‘kualiti’ makanan selagi ia dapat memberikan ‘kelegaan’.

Makanan yang dianggap boleh memberikan kelegaan sementara biasanya manis dan berperisa. Ada juga yang memilih makanan berlemak untuk menenangkan hati. Namun ramai yang tidak sedar ketika berada dalam keadaan tertekan, proses penghadaman menjadi lebih perlahan.

Malah dalam keadaan ini juga, penghasilan enzim penghadaman berkurang dan bekalan darah ke usus juga menurun. Secara semula jadi lebih banyak darah akan disalurkan ke otak dan otot sebagai tindak balas untuk mengurangkan tekanan. Inilah sebabnya proses penghadaman berlaku lebih perlahan dan nutrien dari makanan tidak dapat diserap sepenuhnya.

Badan pula akan mengambil protein dan lemak daripada tisu atau organ. Jika tekanan tidak cepat diatasi, proses ini lama kelamaan boleh menyebabkan kerosakan tisu dan pelbagai masalah kesihatan mudah timbul seperti selesema, pneumonia atau asma.

Justeru, pemakanan seimbang mesti diutamakan walaupun kita dalam keadaan tertekan. Tidak salah mengambil ‘makanan penenang’ tetapi mestilah secara sederhana kerana ada sesetengah makanan dan minuman boleh menjadi perangsang kepada tekanan walaupun ia dianggap dapat memberi kelegaan sementara.

Antaranya ialah:


Kafein — Dalam kopi, teh, coklat, kola dan sebagainya. Ia menyebabkan badan menghasilkan adrenalin dan meningkatkan tahap tekanan. Jika diambil secara sederhana, kopi boleh meningkatkan kepekaan, aktiviti otot, sistem saraf dan jantung. Tetapi terlalu banyak kafein boleh mendatangkan masalah lain.


Alkohol — Seperti kafein, jika diambil secara sederhana tidak mendatangkan masalah. Bagaimanapun kajian menunjukkan pengambilan alkohol boleh menjadi punca utama tekanan. Jika anda tertekan elakkan sama sekali daripada minum minuman keras kerana ia biasanya akan memburukkan keadaan.


Gula — Bahan ini sebenarnya tidak mempunyai sebarang nutrien tetapi ia memberikan tenaga. Terlalu banyak gula akan merangsang kelenjar adrenal bekerja lebih kuat supaya gula dapat dicerna. Namun berhati-hati kerana ia juga meningkatkan risiko kencing manis.


Garam — Ada orang memilih makanan yang banyak garam untuk meredakan tekanan. Awas kerana ia boleh meningkatkan tekanan darah, mengganggu fungsi kelenjar adrenal dan menyebabkan emosi menjadi tidak stabil. Sebaiknya elakkan snek yang banyak garam.


Lemak — Godaan makanan berlemak biasanya lebih enak sukar ditolak. Boleh diambil tetapi perlulah dalam kuantiti sedikit kerana ia boleh mempercepatkan masalah berat badan dan akhirnya menimbulkan tekanan lain pula khususnya kepada sistem kardiovaskular.


Rokok — Ramai orang terutama lelaki menjadikan rokok sebagai pelepas tekanan. Ia mungkin benar bagi tempoh pendek tetapi dalam jangka masa panjang rokok sebenarnya lebih banyak membawa keburukan. Lebih buruk, tabiat ini sukar dihentikan.

Sebaliknya pilihlah makanan yang:


Kaya karbohidrat. Karbohidrat akan merangsang penghasilan kimia serotonin yang berfungsi menenangkan fikiran. Sumber karbohidrat yang baik ialah nasi, roti, mi, pasta dan kentang. Ada kajian menunjukkan secawan kentang boleh menghilangkan keresahan akibat tekanan.


Makanan kaya serat. Orang yang tertekan kerap mengalami masalah sembelit. Justeru serat mampu mengatasi masalah ini. Makan empat hingga lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.


Makan banyak sayur. Otak kita sebenarnya amat sensitif dengan makanan yang masuk ke dalam perut. Sayur-sayuran boleh meningkatkan penghasilan serotonin dan penyerapan asid amino.


Jika anda mahukan kafein, minumlah teh. Kandungan kafeinnya kurang daripada kopi dan coklat.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom