Home » » Merajuk

Merajuk


Kenapa merajuk?

Seringkali orang merajuk kerana dia kecil hati orang lain tidak mengindahkannya. Sama ada orang tidak memuliakannya dengan memberikannya satu kedudukan atau tempat yang istimewa, atau tidak menerima pandangannya, atau tidak menunaikan permintaannya.

Siapa yang kena penyakit merajuk?


Penyakit merajuk ini boleh kena pada siapa-siapa sahaja. Tidak kira lelaki atau perempuan. Tidak kira tua atau pun muda. Orang yang besar atau pun kecil. Anak boleh merajuk dengan emak, emak boleh merajuk dengan anak.

Punca merajuk

Merajuk ini berpunca dari hati yang kurang ada rasa kehambaan. Bila tidak rasa diri hamba, dia akan merasakan yang dirinya itu tuan. Sebagai ‘tuan’, dia perlulah dimuliakan. Kata-katanya perlu didengar dan dikotakan.

Sebenarnya, hatinya marah kerana tidak diberi perhatian. Tetapi mungkin kerana malu atau tidak ada kuasa, ataupun mungkin kerana beranggapan yang marah-marah itu satu sikap yang lebih tidak baik, marahnya pun tidak dilepaskan. Sebaliknya, dia mengalihkan marahnya kepada merajuk. Dengan merajuk, orang akan faham yang dia sebenarnya marah walaupun dia sekadar mendiamkan diri sahaja.

Apakah merajuk lebih baik dari marah?

Kedua-duanya adalah sifat terkeji yang mesti diungkai. Kedua-duanya timbul dari rasa diri mulia yang mesti dihormati. Lebih ditakuti lagi kalau orang yang merajuk itu menyangka yang sikapnya itu tidak salah atau dirinya itu lebih baik daripada orang yang marah-marah. Dia sebenarnya sudah tertipu. Dan kalau dia tidak bertaubat atas dosanya ini, dia akan dihukum di akhirat kelak.

Bagaimana mengubati sikap merajuk?

Untuk mengubati sikap merajuk, kita perlulah tanamkan sifat berTuhan dan sifat kehambaan. Sifat berTuhan ialah merasakan yang Tuhan itu Maha Berkuasa. Dia boleh timpakan apa sahaja ke atas kita sama ada perkara yang kita suka ataupun tidak. Kalau kita membantah sama ada dengan cara marah-marah atau merajuk, kita bukan sahaja marah atau merajuk kepada orang yang “menyakiti hati” kita itu, tetapi kita juga sebenarnya menentang takdir Tuhan ke atas diri kita. Kalau Tuhan tidak izinkan perkara itu berlaku ke atas kita, tentu ia tidak akan berlaku. Berlakunya ia ke atas kita ialah kerana Tuhan memang hendakkan perkara itu berlaku.

Sifat kehambaan pula ialah merasakan yang kita ini hamba yang lemah dan tidak berkuasa. Siapalah kita yang hendak menolak takdir Tuhan. Kita harus terima apa sahaja yang Tuhan timpakan ke atas kita. Kalau orang tidak muliakan kita, memang kita pun tidak layak untuk dimuliakan.

Sebagai hamba, kita juga merasakan yang diri kita banyak berdosa. Justeru itu, layak sangatlah kalau hati kita disakiti, moga-moga dengan kita bersabar, Tuhan akan hapuskan dosa-dosa kita. Kita juga mungkin sudah lebih banyak menyakiti hati orang lain. Lantaran itu, kita patutlah bersabar bila hati kita sedikit sebanyak disakitkan pula...



1 Komen:

oli said...

opps...semalam baru saya merajuk tak ada pasal...

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom