Home » » Memilih Diet Sihat

Memilih Diet Sihat

Golongan dewasa bijak menilai makanan berkhasiat, tetapi tidak bagi kanak-kanak. Pada usia yang masih mentah, mereka belum mampu menentukan jenis pemakanan yang baik.

Justeru, ibu bapa seharusnya bertanggungjawab menyediakan sajian makanan yang memberi nutrisi baik kepada anak-anak. Ini penting bagi membantu anak-anak membesar dengan badan yang sihat, cergas dan aktif.

Menurut pakar pediatrik, Dr. Paul Roumeliotis, nutrisi yang teratur boleh membentuk tumbesaran normal kanak-kanak lebih sempurna, khususnya beberapa bulan sebelum kanak-kanak melangkah ke alam remaja.

"Pemilihan makanan berkhasiat perlu diamalkan sejak usia muda. Ia bertujuan melahirkan tabiat pemakanan yang betul.

"Masih belum terlambat mendidik anak-anak agar mengelakkan makanan berlemak, sebaliknya mengambil makanan berserat, kalsium, iron (besi) dan mineral dalam diet seharian," jelasnya mengenai kepentingan diet seimbang untuk jangka masa panjang menerusi laman web dr.paul.com

Beliau turut menyarankan ibu bapa supaya menitikberatkan pengambilan kalori dan diet seimbang dalam sajian harian anak-anak.

Kalori diperlukan untuk mengelakkan rasa lapar manakala jumlah pengambilan kalori bergantung pada saiz, tahap aktif dan kadar pembesaran kanak-kanak.

Selain itu, pastikan juga pemakanan anak-anak mengandungi vitamin dan mineral, terutamanya bayi yang masih menyusu badan. Ini kerana mereka memerlukan vitamin D tambahan seminggu selepas dilahirkan.

Namun begitu bayi (menyusu badan) tidak memerlukan vitamin tambahan itu, sekiranya si ibu mengambil makanan seimbang dan berkhasiat. Tetapi, perlu diingatkan bahawa sebarang vitamin dan makanan tambahan kepada anak-anak perlu mendapat pengesahan doktor.

Pengambilan sayuran dan buah-buahan

Selain makanan berserat dan karbohidrat (nasi, biskut atau roti), kanak-kanak juga perlu menikmati sayur-sayuran dan buah-buahan.

Hakikatnya pada hari ini, kanak-kanak lebih menggemari makanan ringan dan segera berbanding sayuran. Oleh itu, untuk menarik minat terhadap sajian sayuran, hidangkan ia mengikut selera anak-anak seperti goreng atau rebus.

Antara jenis sayur dan buah seperti yang disarankan laman web www.freshforkids.com ialah :

Brokoli

Pakar mendapati brokoli mengandungi sulforafen yang mencegah kanser. Sayur brokoli memberikan 100 gram vitamin C (sekiranya tidak dimasak terlalu lama), serat, besi, kalium, vitamin E, beta karotena. Ia tidak mengandungi sebarang lemak.

Bunga kobis

Terdapat banyak vitamin C, diet serat dan folat (salah satu vitamin B). Pakar menyatakan bunga kobis juga mampu melindungi diri daripada serangan kanser. Ia boleh dimakan mentah kerana dipercayai kandungan vitaminnya lebih banyak.

Lobak merah

Mengandungi beta karotena yang bertukar menjadi vitamin A sebaik sahaja masuk ke dalam badan. Lebih pekat warna jingga maka lebih tinggi kandungan vitamin A. Vitamin ini membantu meningkatkan penglihatan pada waktu malam.

Kacang buncis

Kaya dengan serat, vitamin C dan vitamin A yang membantu kanak-kanak melihat dengan terang pada waktu malam dan menguatkan otot-otot tulang.

Juga mengandungi vitamin B yang membantu sistem perjalanan darah dan tumbesaran kanak-kanak. Bagus dimakan oleh ibu mengandung kerana kandungan folat membantu mencegah kecacatan.

Epal

Membantu mengekalkan kekuatan tulang supaya kanak-kanak aktif bersukan dan bergerak serta mencantikkan kulit dan menyihatkan rambut.

Mengandungi serat (pektin) yang memudahkan proses penghadaman, mineral (boron) menguatkan tulang, antioksida yang melindungi serangan jantung dan kanser serta vitamin C.

Pisang

Pisang antara buah yang tepat untuk menyihatkan tubuh kanak-kanak. Biasanya, golongan atlet mengamalkan pemakanan pisang, kerana ia memiliki karbohidrat.

Turut diperkaya dengan serat, kalium (membantu menjaga jantung, sistem gementar dan kesihatan buah pinggang) serta vitamin C, vitamin B6 (mencantikkan kulit dan memberi tenaga).

Oren

Terkenal dengan zat vitamin C, dua kali ganda diperlukan badan setiap hari. Mengandungi serat jenis larut dalam air yang tinggi. Menikmati buah oren juga mampu mengurangkan selera makanan karbohidrat.

Tembikai

Lebih merah warnanya maka lebih banyak jumlah karotenoid (bertukar vitamin A) di dalam badan. Turut mengandungi sumber vitamin C, diet serat dan bebas lemak. Selain itu, tembikai membantu mengurangkan risiko kanser.

Sementara itu, Ketua Pemakanan Pusat Perubatan Prince Court, Farah Diba Khan memberitahu, kanak-kanak juga perlu minum susu sehingga mereka dewasa.

Ibu bapa gemar memberi susu penuh krim kerana berpendapat anak-anak cepat membesar dan sihat. Tetapi, Farah menjelaskan, kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun sudah memadai menikmati susu krim rendah lemak. Mengambil 500 mililiter susu sehari juga baik bagi kesihatan tulang dan tumbesaran kanak-kanak.

"Saya sarankan ibu bapa menyajikan segelas susu bersama sajian (bijirin, biskut, atau roti). Langkah ini penting supaya kanak-kanak mendapat pemakanan yang seimbang.

"Bagi kanak-kanak yang tidak menggemari susu, kita boleh memberi mereka makan produk tenusu seperti dadih atau keju. Paling tidak pun, campurkan sedikit serbuk koko atau minum susu coklat atau strawberi," jelas Farah yang menasihatkan supaya mengurangkan pengambilan susu berperisa coklat atau strawberi kerana kandungan gulanya yang tinggi. - IZYAN LIYANA MOHD DARIF



0 Komen:

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom