Home » » Antioksida untuk kecantikan kulit

Antioksida untuk kecantikan kulit

‘‘Saya kini berumur 40 tahun dan merupakan seorang wanita bekerjaya. Pekerjaan saya memerlukan saya berada di luar dengan kerap. Kebelakangan ini, saya mendapati muka saya kurang cerah dan kedutan menjadi semakin jelas. Apakah suplemen yang sesuai untuk memperbaiki keadaan kulit saya?’’

JAWAPAN:

Radikal bebas daripada proses pengoksidaan sering kali merupakan musuh utama bagi kecantikan kulit. Ia adalah sangat reaktif dan boleh disumbangkan oleh faktor persekitaran, makanan dan juga daripada tubuh kita sendiri. Serangan radikal bebas boleh menyebabkan kerosakan dan kematian sel-sel serta mempercepatkan proses penuaan kulit atau penuaan pramatang.

Selain itu, radiasi ultraungu (UV) daripada matahari juga boleh mengganggu penghasilan kolagen kulit dan meningkatkan kadar degradasinya. Kolagen adalah sejenis protein yang penting untuk kekuatan dan integrasi kulit. Degradasi terhadap kolagen boleh mempercepatkan proses penuaan kulit dan pembentukan kedutan pada permukaan kulit.

Bentuk antioksida yang paling baik untuk melindungi kulit anda daripada pendedahan matahari dan radikal bebas adalah pengambilan vitamin dan mineral yang secukupnya dalam diet anda. Nutrien seperti beta-karotena, vitamin B6, vitamin C, vitamin E, mineral zink dan selenium memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan dan kecantikan kulit. Pengambilan antioksida yang mencukupi ini boleh mencegah kerosakan sel-sel kulit akibat radikal bebas.

Beta-karotena juga dikenali sebagai Pro-vitamin A yang boleh diperoleh daripada buah-buahan dan sayur-sayuran berfungsi sebagai antioksida dan mampu meneutralkan radikal bebas dengan berkesan.

Vitamin C pula diperlukan dalam proses penghasilan kolagen kulit yang memegang sel bersama. Ia menyerupai fungsi vitamin E sebagai nutrien anti-radikal bebas utama yang boleh melindungi sel daripada serangan radikal bebas dalam tubuh serta melawan kesan kerosakan radikal bebas.

Mineral seperti selenium dan zink turut memainkan peranan sebagai antioksida. Selenium diperlukan dalam pembentukan enzim glutation peroksidase yang melindungi tubuh kita daripada radikal bebas. Pengambilan selenium organik adalah disarankan kerana ia semula jadi dan selamat. Manakala zink pula merupakan nutrien mikro yang diperlukan dalam jumlah yang kecil untuk fungsi imuniti, kesihatan kulit dan penyembuhan kulit atau luka. Secara luarannya, anda turut disarankan agar memakai krim pelindung sinar UV yang sesuai ketika berada di luar rumah.

- Utusan Malaysia 3 Ogos 2008



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom