Home » » » Elak kecederaan semasa bersukan

Elak kecederaan semasa bersukan

Bermain dan bersukan merupakan salah satu daripada cara kanak-kanak menerokai kehidupan keliling mereka di samping membina kemahiran bersosial di kalangan rakan sebaya.

Dengan bersukan mereka bukan saja dapat bergaul, bahkan berkomunikasi dengan rakan-rakan sekali gus mampu meningkatkan keyakinan diri.

Begitupun, bagi kebanyakan kanak-kanak yang aktif mereka lazim memilih aktiviti atau sukai lasak yang mendedahkan mereka dengan kecederaan.

Kecederaan semasa melakukan aktiviti lasak dan bersukan sedikit sebanyak akan membataskan pergerakan kanak-kanak.

Walaupun impaknya mungkin kecil, namun kecederaan semasa bersukan tidak boleh dipandang sebelah mata kerana sesetengah keadaan ia mungkin boleh menyebabkan kanak-kanak menderita seumur hidup.

Di Amerika Syarikat contohnya lebih 30 juta kanak-kanak terbabit dalam kejohanan sukan dan hampir 1.9 juta daripada mereka yang berumur di bawah 15 tahun telah dimasukkan ke wad kecemasan kerana kecederaan semasa bersukan.

Selalunya kecederaan melibatkan keadaan seperti terseliuh, ligamen dan tisu yang menyambungkan dua atau lebih tulang terkoyak dan kejang iaitu kecederaan sama ada pada otot atau tendon.

Antara sukan yang biasanya boleh menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak ialah bola keranjang, bola sepak, hoki dan sebagainya.

Mereka mungkin mengalami kecederaan pada wajah, kaki, lengan dan kepala kerana pergerakan yang tidak dapat dikawal semasa bermain.

Semasa berada di padang, kanak-kanak biasanya lincah melakukan pelbagai bentuk pergerakan. Ini sudah pastinya membuatkan mereka terdedah dengan pelbagai kecederaan fizikal seperti calar pada wajah, luka pada kaki dan terjatuh semasa bermain.

Cara paling selamat untuk bersukan ini ialah dengan memakai alat yang boleh melindungi mata, siku, lutut dan mulut. Ia penting bagi mengelakkan kecederaan terutama pada anggota tubuh yang sensitif.

Pemakaian kasut yang sesuai seperti kasut sukan boleh menanganinya.

Kecederaan semasa bermain bola sepak boleh mengakibatkan kecederaan yang serius dari segi fizikal seperti kaki, kepala dan wajah.

Kanak-kanak yang meminati bola sepak mestilah peka kepada keadaan ini kerana kecederaan dalam permainan bola sepak boleh menyebabkan lebam-lebam kepada kaki, wajah dan mungkin peredaran darah dalam otak kerana kepala yang sering digunakan dalam menanduk bola.

Permainan bola lisut pula boleh mengakibatkan kecederaan dalaman seperti kecederaan tisu dan ligamen. Ia juga boleh menyebabkan tulang patah.

Untuk mengelakkan daripada kecederaan ini, pemakaian topi keselamatan, pad siku dan mouth guard adalah wajib digunakan dalam permainan ini.

Gimnastik juga mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan sama ada tergeliat atau ketegangan pada tisu.

Pergerakan dan cara lenggokan badan yang salah akan mengakibatkan kecederaan berlaku. Latihan senaman dan panduan jurulatih yang betul mengurangkan risiko kecederaan dalam sukan gimnastik.

Kecederaan boleh dirawat dengan menggunakan kaedah RICE. R bermaksud Rest atau rehat. Kanak-kanak yang meminati aktiviti bersukan mestilah mempunyai rehat yang secukupnya.

I untuk Ice adalah ais iaitu menyejukkan badan seperti kaki yang lebam dengan ais. Ia boleh mengurangkan tekanan kepada kanak-kanak, selain mengurangkan calar-calar di sekitar kaki dan tangan.

C untuk Compression atau tekanan lebih yang menyebabkan bengkak. Jika ini berlaku, kanak-kanak haruslah mendapat rawatan daripada pakar perubatan daripada mengelakkan kecederaan parah.

E untuk Elevation atau ketinggian bermaksud kecederaan yang berkaitan dengan ketinggian seperti sukan gimnastik yang tidak dapat mengawal keseimbangan badan. Jurulatih harus memberikan panduan dalam menangani kecederaan ini.

Bagi melakukan aktiviti sukan tanpa kecederaan yang serius, kanak-kanak haruslah peka dengan keadaan sekeliling. Selain itu, ibu bapa juga mestilah sentiasa memantau perkembangan aktiviti sukan anak-anak mereka.


Tip kurangkan kecederaan:

*Pakai pakaian sesuai

*Patuhi peraturan

*Panaskan badan sebelum bersukan

*Tentukan tahu menggunakan peralatan sukan

*Elakkan bermain semasa keletihan atau kecederaan

Susunan SARI HERMAWATI MASRUL



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom