Home » » Friendster Dalam Bahasa Malaysia

Friendster Dalam Bahasa Malaysia

Selaku perintis rangkaian sosial yang juga merupakan rangkaian sosial No.1 di Asia, Friendster baru-baru ini telah menawarkan perkhidmatan dalam bahasa Malaysia. Ia juga kini boleh dilayari dalam bahasa Thai.

Sebelum ini, Friendster terdapat dalam bahasa Inggeris, Vietnam, Indonesia, bahasa Cina yang dipermudah, bahasa Cina tradisional, Jepun, Korea dan Sepanyol. Bahasa-bahasa ini mewakili lebih 70 peratus pengguna Internet dunia.

Didapati dalam satu domain tunggal, pengguna boleh memilih bahasa-bahasa yang ditawarkan pada bahagian atas kanan laman Friendster sama ada secara tetap atau sementara. Ia akan secara automatik menterjemah butiran web.

Dengan pelancaran Friendster dalam bahasa Malaysia, seramai 15 juta pengguna Internet di Malaysia dan rakyat Malaysia di seluruh dunia kini boleh menikmati Friendster dalam bahasa rasmi negara.

“Hari ini, negara seperti Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain mewakili peratusan terbesar Friendster.

“Dengan pelancaran Friendster dalam bahasa Malaysia, ia membolehkan lebih banyak capaian kepada mereka di negara ini yang lebih selesa berbahasa Melayu dan tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama,” kata Pengarah Pemasaran dan Perhubungan Awam Friendster, Jeff Roberto ketika mengumumkan perkhidmatan terbaru itu kepada media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di Malaysia, Friendster mempunyai lebih empat juta pelawat setiap bulan sehingga April 2008.

Biasanya, seorang pengguna menghabiskan masa 30 minit sehari melayari Friendster, beberapa kali seminggu.

Bahasa Malaysia sebagai bahasa pilihan di Friendster boleh didapati dalam bentuk beta bermula Mei lalu, tetapi ia hanya dilancarkan baru-baru ini.

Menurut Roberto, dalam masa beberapa minggu sahaja, dilaporkan kira-kira 100,000 pengguna kini menggunakan Friendster dalam bahasa Malaysia setiap hari.

Mereka melayari laman-laman di Friendster dalam bahasa Malaysia pada kadar melebihi 40 juta halaman sebulan.

“Kami sangat bangga dengan tahap penggunaannya dalam tempoh awal pelancaran,” kata Roberto.

“Friendster mempunyai sebilangan besar pengguna pelbagai bahasa yang mahukan pilihan untuk memasukkan kandungan mereka dan menggunakan laman itu sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia.

“Ada ramai pengguna tidak sabar lagi untuk mengajak rakan-rakan dan anggota keluarga masing-masing yang bertutur dalam bahasa Malaysia untuk menyertai Friendster,” ujarnya.

Pada majlis yang sama, Friendster mengumumkan bahawa ia kini sudah boleh didapati dalam telefon bimbit. Dengan melayari alamat m.friendster.com, pengguna Friendster kini boleh melayari laman itu walaupun tidak berada di hadapan komputer.

Menerusi Friendster mudah alih (m.friendster.com), pengguna boleh menerima mengemas kini aktiviti rakan, memeriksa mesej, melihat permohonan berkawan, rebiu dan mengesahkan komen rakan, menulis shoutout, memuat naik gambar, melayari profil pengguna dan peminat, menulis buletin dan banyak lagi.

Di Asia, pada masa ini, terdapat lebih 1.2 bilion pengguna telefon bimbit dan lebih 315 juta pengguna Internet berasaskan web. Pengenalan Friendster mudah alih dapat menarik mereka yang tidak mempunyai komputer untuk menggunakan laman tersebut.

Lebih menarik buat pengguna negara ini, Friendster mudah alih turut sudah boleh didapati dalam bahasa Malaysia, iaitu bahasa ketiga yang diberikan penghormatan dalam perkhidmatan ini selepas bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia.

“Dengan menyokong bahasa Malaysia pada Friendster mudah alih, kami terus komited untuk membuatkan pengalaman bertelefon bimbit lebih baik bagi pengguna Friendster Malaysia,” katanya.

Friendster yang memiliki 70 juta pengguna di seluruh dunia, mempunyai pencapaian yang begitu baik di Asia Tenggara terutamanya di Filipina. Friendster merupakan laman web No. 1 di Filipina mengalahkan Google dan Yahoo! Ia juga laman web ‘top 5’ di Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Berdasarkan kepada laman web Facebook, difahamkan ia juga telah mempunyai perkhidmatan Facebook mudah alih.

Anda boleh menggunakan Facebook mudah alih untuk memuat naik foto dan nota daripada kamera telefon terus ke laman Facebook anda atau memasuki pelayan mudah alih m.facebook.com.

– ADHAM SHADAN



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom