Home » » Kepentingan pengambilan sayur dan buah

Kepentingan pengambilan sayur dan buah

Kita semua tahu bahawa sayur-sayuran dan buah-buahan sememangnya mempunyai banyak manfaat terhadap kesihatan tubuh badan. Namun, berapa ramai daripada kita yang mengamalkan pengambilan dua bahan ini dalam pemakanan seharian malah ada juga yang tidak menyentuhnya langsung. Alasannya, sayur-sayuran dan buah-buahan ‘tiada rasa’ berbanding hidangan lain seperti nasi, daging, ayam dan makanan laut.

Biarpun berkali-kali maklumat mengenai khasiat buah-buahan dan sayur-sayuran didedahkan, kesedaran tentangnya masih rendah di kalangan masyarakat kita.

Puncanya mungkin daripada amalan pemakanan kita yang sekian lama kurang menitikberatkan pengambilan dua bahan ini. Menjadikan kita lebih selesa dengan ‘piramid’ makanan rekaan sendiri dan meminggirkan saranan oleh mereka yang pakar.

“Secara asasnya saya percaya kebanyakan penyakit berpunca daripada sel yang berfungsi secara tidak sempurna, disebabkan kekurangan nutrisi seperti vitamin, mineral, asid amino, asid lemak dan fitonutrien, sejenis bahan yang terkandung dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Ini ditambah pula dengan keracunan bahan kimia dan metal yang mempengaruhi aktiviti enzim seterusnya menjejaskan fungsi sel,” kata pakar perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan Pencegah Marin, California, Dr. Elson Haas.

Beliau berkata demikian dalam satu bengkel kempen hidup sihat anjuran Elken Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur, baru-baru ini yang turut memperkenalkan produk Fitorac, keluaran syarikat tersebut.

Dr. Haas yang menjurus kepada kepakaran perubatan nutrisi dan keluarga, serta detoksifikasi dan program kesihatan individu berkata, berdasarkan fakta rakyat Malaysia sememangnya tidak mengambil hidangan buah-

buahan segar dan sayur-sayuran yang betul iaitu antara tujuh hingga sembilan hidangan setiap hari terutama sayuran hijau.

Katanya, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2003 menunjukkan secara purata 88.3 peratus rakyat Malaysia mengambil kurang daripada saranan harian pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Peratusan ini sangatlah rendah berbanding saranan Institut Kanser Kebangsaan yang mencadangkan pengambilannya sebanyak tujuh hingga 12 hidangan setiap hari bagi mengelak masalah kesihatan kronik.

Statistik daripada Kementerian Kesihatan pula menyatakan satu daripada empat rakyat Malaysia berisiko mendapat kanser dan perkara ini disebabkan kekurangan pengambilan sayur dan buah dalam diet mereka.

Kata Dr. Haas yang pernah menulis tujuh buah buku mengenai kesihatan dan nutrisi, fitonutrien yang terkandung dalam buah-buahan dan sayur-sayuran terkenal kerana keupayaannya menggalakkan liang-liang kesihatan.

Ia mengandungi bahan antioksidan kuat yang berkesan dalam menyeimbangkan radikal bebas, menggalakkan fungsi sel imunisasi dan menyuburkan pemulihan liang-liang rongga.

“Jika kita menyeimbangkan sel dalam badan dengan mengambil makanan seperti apa yang badan perlukan, ia dapat mengelak toksin sebanyak yang mungkin. Bukankah ia mudah?” soalnya.

Menurut beliau lagi, yang menjadi masalah di kebanyakan tempat ialah sikap individu yang gemar mengambil satu atau lebih bahagian gula, nikotin, alkohol, kafein dan bahan kimia dalam pengambilan makanan harian mereka.

Seperti di Asia katanya, masyarakat di sini terlalu gemar kepada makanan dan minuman yang diproses.

“Saya bersenam dan mencari makanan terbaik untuk menyeimbangkan kesihatan tubuh badan.

``Pengambilan makanan tidak seimbang menyekat fungsi badan normal. Cara kita memasak makanan juga menyebabkan bahan berkhasiat yang terkandung di dalamnya hilang,” ujarnya.

Beliau menyarankan buah-buahan dan sayur-sayuran dimakan mentah atau dibuat salad dan juga boleh dimasak dengan cara stim, panggang, rebus tetapi jangan terlebih masak.

Jelas Dr. Haas lagi, pengambilan buah-buahan dan sayuran yang secukupnya mengurangkan risiko berkaitan kanser termasuk menghalang sesetengah jenis kanser, penyakit kardiovaskular, diabetes dan lain-lain penyakit kronik.

“Kita perlu memastikan pengambilan sayur dan buah datangnya daripada lima jenis kumpulan warna berlainan iaitu merah, kuning-jingga, putih, hijau dan biru-ungu,” saran Dr. Haas.

Fitonutrien berlainan katanya mempunyai fungsi pengoksidaan berbeza dalam sel kita, di mana lebih warna yang diambil, lagi tinggi tahap perlindungan yang kita peroleh.

Jelas beliau, mengambil makanan yang kaya antioksidan memang baik untuk kesihatan. Namun, bagaimana kita menyukat kadar antioksidan yang terkandung dalam makanan?

“Kapasiti Penyerapan Radikal Oksigen (ORAC) boleh menyukat kebolehan makanan untuk melawan radikal bebas. Kajian menunjukkan memakan makanan yang tinggi kandungan ORAC boleh meningkatkan kuasa antioksidan dalam darah manusia sebanyak 10 hingga 25 peratus,” tambah beliau.

Sebagai penggantian kepada pengambilan sayur dan buah yang secukupnya, beliau turut menyarankan pengambilan suplemen yang mengandungi bahan fitonutrien yang terdapat di pasaran.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom