Home » » Pengantin kanak-kanak Afghanistan

Pengantin kanak-kanak Afghanistan


BADAKHSHAN, satu wilayah pedalaman Afghanistan kini berdepan satu fenomena yang semakin ketara dan membimbangkan - meningkatnya bilangan pengantin kanak-kanak dan ibu muda seawal 10 tahun berikutan kesempitan hidup ibu bapa mereka.

Fenomena sedih yang menyebabkan Badakhshan disenaraikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai antara kawasan mencatatkan kematian wanita ketika bersalin yang tertinggi di dunia, majoritinya membabitkan mereka berusia bawah 15 tahun.

Statistik Tabung Penduduk PBB (UNFPA) mendakwa sejumlah 6,500 kematian dicatatkan bagi setiap 100,000 kelahiran di sini, setiap tahun.

Tubuh mereka yang masih kecil, baru akil baligh dan kemudian dipaksa menjadi ibu muda terbukti mendatangkan kesengsaraan dan seterusnya mengundang maut.

Akibatnya, Badakhshan, wilayah yang terletak jauh di pedalaman sehinggakan untuk ke sana memakan masa dua minggu dengan menaiki keldai, menjadi antara lubuk yang menyaksikan ramai wanitanya meninggal dunia pada usia muda.

Tidak ramai daripada kita yang dapat menyelami jauh sekali dapat memahami atau menerima trend yang semakin membimbangkan di Badakhshan ini.

Hakikatnya, inilah bukti kitaran ganas kemiskinan. Kesempitan hidup yang menyebabkan ramai pasangan suami isteri yang begitu sukar mendapatkan makanan akibat kemiskinan, memilih jalan pintas dengan menjual anak perempuan mereka - satu fenomena yang tidak disangka masih boleh berlaku pada zaman moden hari ini.

Bayangkan anak kecil, terutama perempuan berumur seawal 10 tahun yang belum puas menikmati zaman penuh kegembiraan, jauh sekali mengenali erti percintaan, tiba-tiba dijual dan dipaksa menjadi dewasa sebagai isteri dan seterusnya bergelar ibu muda.

Lebih sedih lagi, ibu bapa mereka sendiri yang sepatutnya menjadi pelindung, tergamak berbuat demikian atas alasan mahukan wang demi mengisi perut dan menangani kemiskinan yang terus melingkari ramai penghuni bumi Afghanistan yang terus bergolak.

Merujuk statistik PBB, lebih 40 peratus wanita Badakhshan berkahwin sebelum mencecah usia 15 tahun dan hanya 3.3 peratus yang bersalin di pusat kesihatan manakala selebihnya sama ada bersalin dengan bantuan bidan atau secara sendirian yang menyebabkan mereka terdedah kepada risiko mati awal.

Tidak hairanlah, deretan ibu muda yang sebahagian besarnya berkahwin ketika baru akil baligh memenuhi pusat kesihatan, adalah pemandangan yang biasa di sini. Biarpun berselindung di sebalik burqa yang menutupi wajah, ia tidak mungkin dapat melenyapkan penderitaan mereka sebagai ibu muda yang menjadi mangsa kemiskinan. Cuma, bagaimana mungkin seorang ibu atau bapa tergamak menjual anaknya sendiri?

Seorang daripada mereka ialah Farida, yang mengakui dibayar kira-kira 40,000 Afghani (RM2,800) untuk mengahwinkan anaknya yang berusia 13 tahun dengan sepupu suaminya yang berusia 20 tahun.

Anak malang yang tidak dinyatakan namanya, mengakui yang dia tidak sukakan suaminya dan mula menangis.

"Saya tidak mahu berkahwin. Ibu bapa saya yang paksa. Saya mahu tamatkan sekolah dulu," kata anak gadis itu.

Farida pula ketika ditanya tujuan mengatur perjalanan hidup anak perempuannya yang masih kecil, sekadar berkata: "Itulah kehidupan dan takdir hidupnya."

Seorang bidan di perkampungan Khordakhan, juga di Badakshan, Hanufa Mah, mengakui punca masalah itu disebabkan kemiskinan.

Hanufa mendakwa dia sendiri pernah cuba mendidik ibu bapa supaya tidak mengahwinkan anak mereka pada usia

terlalu muda, tetapi ada di antara pasangan suami isteri berkenaan memberi alasan mereka tiada pilihan lain.

Hanufa sendiri pernah menyambut kelahiran seorang budak perempuan yang berusia 10 tahun - antara usia awal budak perempuan yang mencapai akil baligh.

Budak itu bertubuh kecil dan cuma terbaring lemah sewaktu melahirkan bayinya.

Ahli Parlimen bebas Badakshan, Fauzia Kofi mendakwa beliau melihat semakin ramai pengantin kanak-kanak sejak dua tahun lalu.

"Saya tidak menganggapnya satu perkahwinan. Ini perbuatan menjual anak namanya. Tidak kiralah yang berusia 9 atau 10 tahun sekali pun, tetapi mereka adalah manusia yang diperdagangkan untuk membeli gandum dan dua ekor lembu."

Lebih menyukarkan keadaan, sebanyak 60 kematian dilaporkan akibat cuaca sejuk yang melanda kawasan itu selain 7,000 haiwan ternakan turut mati akibat faktor sama, sejak lima bulan lalu. Harga makanan pula meningkat dua kali ganda di pasar tempatan berikutan faktor kedudukan Badakhshan yang jauh di pedalaman.

Ini semua hanya memburukkan lagi kesempitan hidup penduduk Badakhshan dan seterusnya menggalakkan lagi fenomena pengantin kanak-kanak dan ibu muda ini.

Biarpun dikatakan berakar umbi sejak dua tahun lalu, apa yang pasti fenomena ini tidak mungkin dapat ditamatkan dalam sekelip mata selagi kemiskinan terus bertakhta dan melenyapkan perasaan sayangkan anak. Andai ini berterusan, tidak hairanlah Badakhshan akan terus kekal tersenarai sebagai 'lubuk' kematian ibu muda yang dipaksa menjadi pengantin kanak-kanak oleh ibu bapa sendiri.

Info Afghanistan

Antara negara termiskin di dunia.

Kira-kira separuh daripada 25 juta penduduknya hidup di bawah garis kemiskinan.

Harga gandum meningkat lebih 60 - 80 peratus sejak tahun lalu

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa rakyat Afghanistan memerlukan 100,000 tan bantuan makanan.


Susunan Nurul Adlina Kamaludin



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom