Home » » Diet seimbang di bulan Ramadan

Diet seimbang di bulan Ramadan

Jangan sesekali mengubah corak pemakanan anda semasa di bulan Ramadan. Individu dinasihatkan membuat pilihan yang tepat dan bijak dalam memastikan pengambilan semua zat yang diperlukan oleh tubuh untuk berpuasa pada keesokan harinya.

Tetapi jika anda mengubahnya, anda akan kehilangan tenaga dan tidak mendapat diet yang seimbang sehingga boleh memudaratkan kesihatan.

Tujuan berpuasa bukan setakat menahan lapar dan dahaga tetapi turut mengandungi pelbagai hikmah tersembunyi yang menyihatkan tubuh badan.

Pakar pemakanan klinikal, Pusat Perubahan Gaya Kehidupan, Pusat Perubatan Prince Court, Tan Yen Sing berkata, walaupun berpuasa dan hanya makan sekali sehari, namun begitu, cuba untuk mengambil makanan yang sama seperti biasa dan sekali gus mengekalkan berat badan yang normal.

Menurutnya, amalan diet seimbang penting dalam memastikan pengambilan semua zat yang diperlukan oleh badan bagi keesokan harinya.

‘‘Individu disyorkan mengambil makanan yang sama seperti biasa di bulan puasa walaupun mungkin kategori makanannya berbeza bagi mengekalkan berat badan dan sekali gus menjadikan tubuh cergas dan kesihatan tidak terjejas,’’ katanya ketika menyampaikan ceramah umum bertajuk ‘Kekal Sihat di Bulan Ramadan’ baru-baru ini.

Menurut Yen Sing, pengambilan makanan seimbang mestilah mengandungi pelbagai zat seperti karbohidrat, protein, vitamin dan garam mineral.

Keperluan makanan individu itu menjadi lengkap apabila bekalan kalori, vitamin, mineral dan serat cukup untuk tubuh badannya.

‘‘Semasa berpuasa, cuba rancang jenis makanan yang akan diambil semasa berbuka dan bersahur.

“Ambil makanan yang membekalkan karbohidrat seperti nasi, roti, mi dan ubi kerana ia akan melepaskan tenaga secara perlahan dan anda akan bertahan lapar lebih lama.

‘‘Jika boleh warna-warnikan jenis makanan yang diambil terutama sayur-sayuran dan buah-buahan kerana lebih banyak makanan berwarna yang diambil, maka lebih banyak zat diperoleh oleh badan,’’ jelasnya.

Tambah beliau, ramai di kalangan masyarakat Islam di negara ini yang lebih senang berbuka di luar, mungkin hendak mengelakkan kesesakan lalu lintas, maka memilih gerai, restoran atau hotel sebagai tempat menjamu juadah berbuka.

“Walau apa pun alasan, pilihlah makanan seperti mi sup, nasi putih, lauk berstim, asam pedas dan buah-buahan.

‘‘Elakkan mengambil kuetiau goreng, mihun goreng, nasi lemak, nasi beriani, nasi ayam, kentang goreng, makanan bersantan, aiskrim dan cendol,’’ jelasnya.

Tetapi, katanya, jika makan di rumah, ambil makanan seimbang bagi mengelakkan ketandusan minyak pada tisu otot.

‘‘Antara makanan yang dicadangkan untuk bersahur dan berbuka ialah telur dadar, semangkuk bijirin tinggi serat dengan buah-buahan segar, roti tinggi serat dengan kacang panggang dan sehiris avocado, segelas susu rendah lemak dan semangkuk bubur dengan daging tanpa lemak dan sayur-sayuran,’’ katanya.

Di samping itu juga, ujarnya, jangan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak semasa berbuka.

Tinggi serat

‘‘Jika boleh ambil makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks yang mengandungi tinggi serat dan boleh bertahan selama lapan jam semasa bersahur, kurma semasa berbuka dan minum sekurang-kurangnya lapan gelas air atau jus buah-buahan,’’ ujarnya.

Kata Yen Sing, pengambilan air amat penting semasa berbuka kerana air memberi kesegaran kepada tubuh setelah lama berpuasa, mengelakkan dehidrasi berlanjutan, mengganti semula air yang hilang semasa berpuasa, kekurangan air akan menjadikan metabolisme rendah.

‘‘Sebaik-baiknya sediakan minuman daripada bahan semula jadi seperti gula merah, madu lebah dan jus buah. Elakkan atau kurangkan pengambilan gula putih, sirap dan pewarna tiruan,’’ jelasnya.

Yen Sing turut mencadangkan gantian bahan bagi mendapatkan makanan yang seimbang dan sihat seperti susu atau yogurt, susu rendah lemak, bijirin, puri epal dan prun, telur putih dan gunakan gula pada jumlah sedikit.

‘‘Sehubungan itu, untuk kekal sihat, sepanjang Ramadan, makanlah makanan secara sederhana dan seimbang,’’ katanya.

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI



1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

thanks kongsi info pasal makan seimbang.. sahur kang tak tau nk makan ape nih...hehe

Catat Ulasan

 
Chatroom