Home » » Elak Makanan Tercemar

Elak Makanan Tercemar

Masih ramai di antara kita mengambil mudah soal pengurusan makanan. Jika difikirkan semula, maklumat tentang pengendalian makanan yang bersih dan bebas dari pencemaran tidak banyak diambil berat oleh pengguna, lebih-lebih lagi bagi golongan yang terlibat secara langsung dalam tugas penyediaan makanan.

Sama ada chef yang bekerja di restoran dan hotel, atau suri rumah yang memasak untuk ahli keluarga, tanggungjawab mereka tetap sama.

Mereka perlu memastikan makanan yang bakal mereka hidangkan itu bukan sahaja menyelerakan, malah bebas dari bakteria dan bahan cemar yang boleh mengakibatkan keracunan makanan.

Ruang kerja mereka iaitu dapur juga berisiko untuk menjadi kawasan perebakan bakteria jika aspek kebersihan dan tertib pengendalian bahan mentah tidak dijaga dengan baik.

Walaupun menurut banyak kajian, dapur kekal menjadi habitat paling ideal untuk pembiakan ribuan bakteria, namun itu bukan bermakna usaha menghindarkan faktor pembiakan itu perlu dipandang ringan.

Sumber makanan, baik yang sudah dituai atau disembelih sentiasa terdedah pada risiko pembiakan bakteria berbahaya. Begitu juga apabila bahan makanan itu disimpan di dalam peti sejuk, dikeluarkan untuk dimasak, hinggalah ke saat ia hendak dihidangkan ke meja makan.

Pencemaran yang dimaksudkan merujuk kepada pemindahan bakteria yang datangnya dari papan pemotong, perkakasan memasak dan juga jenis makanan yang berbeza apabila ia tidak dikendalikan dengan betul.

Salah satu kelengkapan di dapur yang bertindak sebagai agen penyebaran bakteria adalah 'kain buruk' yang sering digunakan untuk mengelap permukaan kaunter dapur.

Kain yang sering digunakan berkali-kali sebelum dibasuh itu juga menjadi rumah untuk pelbagai jenis bakteria.

Antara langkah lain yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini adalah dengan:

* Sering mencuci papan pemotong, pinggan mangkuk dan perkakasan seperti garpu dan sudu dengan air panas dan bersabun selepas ia digunakan untuk memotong daging mentah, produk ayam dan juga makanan laut.

* Amalkan mencuci tangan dengan sabun dan air hangat yang bersih sekurang-kurangnya selama 20 saat selepas setiap kali memegang bahan makanan mentah, keluar dari tandas, memegang haiwan peliharaan, atau menukar lampin anak.

* Gunakan papan pemotong yang berlainan untuk memotong barangan segar (sayur dan buah) dengan makanan lain (daging, ayam dan makanan laut).

* Asingkan daging mentah, ayam dan makanan laut daripada makanan lain dalam troli beli-belah. Letakkan makanan ini dalam beg plastik bagi mengelakkan airnya menitik dan terkena makanan lain. Pengasingan juga penting ketika membungkus di kaunter bayaran.

* Gunakan tuala kertas atau kain lap bersama sabun dan air hangat untuk membersihkan permukaan kaunter dapur. Bagi penyelesaian pembersihan dapur dan perkakasan berkaitan, campurkan satu sudu makan cecair peluntur klorin dengan satu gelen air bersih.

* Amalkan memerap makanan dalam peti sejuk, dan bukannya atas kaunter dapur. Sos yang dikhaskan untuk memerap daging mentah, ayam atau makanan laut tidak boleh digunakan pada makanan yang telah dimasak, melainkan ia sudah dididih terlebih dahulu.

* Apabila menghidang makanan, gunakan pinggan yang bersih. Jangan sesekali meletakkan makanan yang baru dimasak ke pinggan yang telah digunakan, ataupun ke atas papan pemotong yang telah bersentuhan dengan daging mentah.

* Simpan baki makanan ke dalam ruangan sejuk beku peti sejuk dalam tempoh selewat-lewatnya dua jam setelah ia terdedah. Gunakan bekas makanan yang bersih dan bertutup.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom