Home » » Lagu Kita, luahan cinta Aizat?

Lagu Kita, luahan cinta Aizat?

Populariti lagu Hanya Kau Yang Mampu ternyata berjaya membawa nama anak muda ini ke puncak populariti sebagai salah seorang penyanyi yang berpotensi besar pada masa depan.

Sebagai bukti, impak yang lahir daripada kekuatan lagu itu telah menjadikan caller ringtone lagu berkenaan sudah terjual lebih daripada 100,000 unit.

Malah, untuk penyanyi baru sepertinya juga boleh berbangga dengan penjualan albumnya yang kini sudah pun mencecah 3,000 jika diukur dalam keadaan pasaran album masa kini.

Kejayaan itu lantas meletakkan namanya kini sebaris dengan artis popular yang lain lantas menjadikan dirinya antara bintang baru yang sewajarnya diberi perhatian.

Muhammad Aizat Amdan atau lebih dikenali sebagai Aizat mempunyai 1,001 alasan untuk berasa puas dengan kejayaan yang dimilikinya kini.

Selepas meledaknya lagu Hanya Kau Yang Mampu, single yang menyusul kini adalah Lagu Kita yang dilihat mampu mengukuhkan lagi kedudukan Aizat di persada seni tanah air.

Seperti mana Hanya Kau Yang Mampu, Lagu Kita kini juga semakin mendapat tempat di corong radio tempatan.

Apabila mendengarkan Lagu Kita yang mempunyai melodi yang cukup indah serta ditambah dengan liriknya yang puitis bagaikan memberi gambaran seolah-olah lagu tersebut merupakan luahan cinta Aizat kepada seseorang yang amat dicintainya.

Bertemu dengannya sewaktu rakaman rumah terbuka Wanita Hari Ini dan Nona di Restoran Seri Melayu, baru-baru ini, Aizat hanya mampu tergelak saat diajukan kaitan lagu tersebut dengan kisah cintanya.

“Saya belum lagi merasai nikmat cinta itu sendiri kerana saya belum ada pengalaman bercinta. Kasih sayang saya masa ini hanyalah untuk keluarga sahaja.

“Tetapi, saya tidak menafikan Lagu Kita itu sebenarnya ada kaitannya juga dengan diri saya. Ia menceritakan perasaan saya terhadap seorang gadis yang amat saya minati dalam diam sejak sekian lama,” luah Aizat memulakan bicaranya pada petang itu.

Tambahnya lagi, gadis yang diminatinya merupakan kenalannya sejak dari bangku sekolah lagi dan jelas Aizat, Lagu Kita merupakan sebuah lagu yang jujur lahir dari hatinya sementelah lagu itu juga merupakan hasil ciptaan Aizat sepenuhnya.

“Malah, untuk mencipta lagu tersebut juga mudah dengan hanya petikan gitar sahaja dan ilham itu datang di kala saya tengah berbaring di atas katil.

“Seandainya lagu tersebut di terima dengan baik, saya bersyukur kerana apa yang saya mahukan orang mengenali dan menerima bakat saya seadanya,” katanya penuh kesyukuran.

Lagu Kita kini sudah pun memasuki carta Muzik-Muzik dan berjaya menduduki tangga ketiga sebaik sahaja dicalonkan.

Bercerita pula tentang karier seninya yang semakin menyinar, Aizat menyifatkan ia semuanya adalah berkat sokongan padu daripada semua pihak yang menjadikan impiannya satu realiti.

“Saya sedar ramai lagi rakan-rakan saya dari Akademi Fantasia (AF) yang belum berpeluang merakamkan album tetapi saya menganggap ini sebagai satu rezeki. Kita sendiri tidak tahu apakah yang akan menanti kita di sebalik kegagalan yang pernah kita tempuhi,” tuturnya penuh ikhlas.

Malah, tekad Aizat, dia mahu terus berusaha dan memberikan yang terbaik dalam usahanya menjadi seorang penyanyi dan penghibur yang cukup disegani.

Untuk itu, perancangan telah pun dilakukan kini olehnya dalam melahirkan album keduanya yang bakal menjengah pasaran seawal tahun hadapan.

Sebelum itu, Aizat turut memberitahu album pembungkusan semula Percubaan Pertama akan dipasarkan tidak lama lagi dengan menyelitkan sebuah lagu baru dan juga muzik video.

“Saya tidak mahu tunggu lama untuk kelahiran album kedua dan apa yang boleh saya katakan bingkisan terbaru saya kelak akan menjadi berbeza tetapi masih lagi mengekalkan identiti saya.

“Berkemungkinan besar juga saya mahu menyelitkan lagu duet bersama seorang penyanyi wanita dan nama Shila (OIAM) menjadi pilihan saya. Pada saya, dia mempunyai vokal yang unik dan saya percaya kami mampu mencipta keserasian,” katanya.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom