Home » » Tabiat pemakanan sihat

Tabiat pemakanan sihat

Mendidik anak mengamalkan tabiat pemakanan sihat akan membolehkan mereka memiliki berat badan yang menyihatkan. Tabiat pemakanan diamalkan sewaktu kecil akan membantu anak mengekalkan gaya hidup sihat apabila mereka dewasa.

Pendekatan lain yang boleh diamalkan ibu bapa untuk membentuk tabiat pemakanan sihat di kalangan anak mereka termasuk:

# Beri bimbingan kepada ahli keluarga dalam memilih makanan. Buat pilihan yang luas dari segi makanan menyihatkan kerana ia akan membantu anak mempelajari cara membuat pilihan makanan menyihatkan.

# Galakkan anak untuk makan dengan perlahan. Kanak-kanak boleh mengesan rasa lapar dan kenyang dengan lebih baik apabila mereka makan dengan perlahan.

# Makan bersama sebagai sebuah keluarga. Jadikan waktu makan sesuatu yang menarik dengan perbualan, bukannya waktu untuk bertelagah.

Pertelagahan akan hanya membuatkan kanak-kanak mengaitkan waktu makan dengan tekanan yang boleh menjejaskan tumpuan mental mereka di sekolah.

# Anak perlu turut serta sewaktu membeli-belah atau menyediakan makanan. Aktiviti sedemikian akan memberi petunjuk terhadap kecenderungan makanan anak-anak, sekali gus memberi peluang kepada ibu bapa untuk mendidik anak mengenai khasiat pemakanan.

Di samping itu, anak juga akan lebih bersedia untuk makan atau mencuba makanan yang turut disediakan itu.

# Rancang pengambilan hidangan ringan. Hidangan ringan yang dirancang pada waktu tertentu boleh menjadi sebahagian daripada diet menyihatkan tanpa merosakkan selera anak apabila waktu makan.

Sediakan makanan ringan yang menyihatkan tanpa menghalang anak daripada menikmati biskut terutama waktu keraian.

# Waktu makan atau sekadar menikmati makanan ringan tidak seharusnya dilakukan ketika menonton televisyen. Cuba makan hanya di kawasan yang ditetapkan di rumah seperti di ruang makan atau dapur. Makan di hadapan televisyen boleh menyebabkan sukar untuk memberi tumpuan terhadap rasa kenyang dan mungkin menyebabkan seseorang itu makan berlebihan.

# Galakkan anak memilih air kosong sebagai minuman. Pengambilan air manis dan soda berlebihan banyak dikaitkan dengan peningkatan kadar kegemukan di kalangan anak.

# Jika boleh, jangan gunakan makanan untuk menghukum atau memberi ganjaran kepada anak. Menjadikannya hukuman akan membuatkan anak bimbang mereka tidak mendapat makanan mencukupi. Contohnya, membiarkan anak tidur tanpa makan malam membuatkan mereka bimbang akan kelaparan. Ini menyebabkan mereka cuba untuk makan apabila mereka berpeluang untuk makan.

Memberi manisan kepada anak sebagai ganjaran pula menyebabkan mereka mengandaikan makanan itu lebih baik atau bernilai daripada makanan lain.

# Pastikan makanan anak di luar rumah adalah makanan menyeimbangkan. Jika mereka lazimnya dihidangkan dengan makanan kurang menyihatkan di sekolah, bekalkan anak dengan makanan dari rumah.

Makanan disediakan dari rumah seperti sandwic sama ada sandwic tuna, telur atau sardin berserta sayur-sayuran dan mayonis menjadikan hidangan lebih sihat serta lazat untuk pemakanan seharian mereka.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom