Home » » Info Diet - Kesilapan memilih makanan sihat

Info Diet - Kesilapan memilih makanan sihat

Sebagaimana orang dewasa, kanak-kanak berdepan pelbagai masalah berkaitan pemakanan. Walaupun secara amnya kanak-kanak di negara kita tidak menghadapi masalah kekurangan makanan, ramai tidak sedar kita memberi jenis makanan kurang baik kepada anak.

# Kekurangan makanan bertenaga dan protein — Kekurangan pengambilan protein dan tenaga boleh menyebabkan pelbagai masalah tumbesaran, termasuk tumbesaran terbantut, kekurangan berat badan dan kurang daya tahan terhadap jangkitan penyakit.

# Anemia akibat kekurangan zat besi — Zat besi penting untuk menghasilkan sel darah merah yang mengandungi hemoglobin, iaitu protein yang berfungsi mengangkut oksigen. Kekurangan zat besi bermakna kanak-kanak mengalami masalah kekurangan darah dan menjadi cepat penat.

Tanda anemia ialah selalu berasa letih, tidak bermaya, tidak dapat menumpukan perhatian dan kelihatan pucat. Untuk mengatasi masalah ini, anak perlu diberi makanan kaya zat besi seperti daging, ikan, kuning telur, sayur berdaun hijau, bijirin, bijian, kekacang dan makanan yang diperkaya zat besi.


# Masalah tulang rapuh akibat kekurangan kalsium — Kalsium diperlukan untuk tulang dan gigi yang kuat. Ibu bapa sepatutnya terus menggalakkan anak minum susu walaupun sudah bersekolah.

Anggapan susu hanya untuk kanak-kanak adalah tidak tepat kerana semua orang memerlukan bekalan kalsium sepanjang hayat.

Selain itu, kikis tanggapan bahawa susu boleh menyebabkan seseorang gemuk kerana kegemukan bukan disebabkan susu tetapi tabiat pemakanan tidak seimbang, gaya hidup tidak sihat dan jarang bersenam.

Bagi kanak-kanak pula pengambilan susu sangat penting untuk pembentukan tulang, terutama bagi mendapat ketumpatan tulang tinggi pada usia remaja.

Ia juga mampu mencegah dan mengurangkan risiko osteoporosis, terutama bagi kanak-kanak perempuan apabila tua kelak.

# Penyakit akibat kekurangan vitamin A — Vitamin A diperlukan untuk penglihatan baik, kulit sihat dan perlindungan terhadap jangkitan. Antara masalah yang dihadapi akibat kekurangan vitamin A ialah rabun malam (yang boleh membawa kepada kebutaan jika berterusan).

Sumber vitamin A ialah minyak ikan, kuning telur dan sayur berdaun hijau, buah berwarna kuning-jingga.

# Obesiti disebabkan berlebihan tenaga daripada makanan dan kurang aktiviti fizikal — Kanak-kanak obes mempunyai kecenderungan mendapat pelbagai penyakit orang tua seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, strok dan sesetengah jenis barah.

Jika anak anda obes, bermakna ada kesilapan pada tabiat pemakanan anda sekeluarga. Sebagai penjaga, anda bertanggungjawab pada pemakanan dan kesihatan anak. Hadkan pengambilan makanan terutama yang banyak lemak, gula dan garam.

Anda perlu tegas dalam menentukan pemakanan anak dan jangan jadikan makan di restoran makanan segera sebagai aktiviti keluarga atau ‘hadiah’ jika mereka berkelakuan baik. Bagaimanapun makanan segera masih boleh diberi sekali sekala.

Kurangkan makan di luar, sebaliknya masak makanan di rumah kerana hanya dengan cara ini anda boleh mengawal jumlah lemak, garam dan gula yang digunakan dalam masakan.

# Karies gigi — Berpunca daripada makanan dan minuman manis yang menggalakkan pembiakan bakteria di dalam mulut hingga menyebabkan masalah gigi.

Kehilangan gigi susu yang lebih awal daripada sepatutnya akibat kerosakan gigi juga boleh memberi kesan pada pertumbuhan dan susunan gigi kekal.

Sebaik gigi susu tanggal, ruangnya diambil oleh gigi kekal. Namun oleh kerana saiz gigi susu adalah kecil, ruang yang ditinggalkan sempit untuk menempatkan gigi kekal yang lebih besar saiznya. Ini menyebabkan gigi kekal tumbuh menyerong, senget atau tumbuh di depan mahupun belakang gusi.

Selain itu, jika tabiat pemakanan dan penjagaan gigi tidak berubah, gigi kekal juga berisiko mengalami kerosakan. Ingat, jika gigi ini rosak dan tanggal, ia tidak akan diganti kecuali menggunakan gigi palsu.

# Pengambilan vitamin dan mineral berlebihan — Memang diakui bahawa vitamin dan mineral sangat penting, tetapi ia hanya diperlukan dalam kuantiti kecil.

Pengambilan vitamin dan mineral yang berlebihan, terutama daripada pil makanan tambahan, boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Contohnya vitamin larut lemak iaitu A, D, E dan K boleh mendatangkan kesan toksik kepada badan jika diambil berlebihan. Ia tidak sama dengan vitamin yang larut air kerana jika berlebihan, vitamin ini dibuang bersama air kencing.

Amalan pemakanan seimbang perlu dipupuk dari kecil. Ibu bapa perlu menjadi contoh baik kepada anak dengan melebihkan pengambilan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan dalam pemakanan seharian.

Kebanyakan kanak-kanak tidak suka sayur, tetapi ia boleh diatasi. Jadilah ibu bapa yang bijak dan kreatif untuk menggalakkan anak makan sayur dan buah tanpa disedari.

Ia boleh dilakukan dengan menjadikan buah-buahan kering sebagai snek, campurkan hirisan buah segar ke dalam bijirin sarapan pagi dan yogurt atau masak nasi goreng bersama sayur yang diracik halus.

Pada peringkat ini kanak-kanak tidak perlukan pil makanan tambahan. Hanya beri makanan tambahan atas nasihat doktor. Tanamkan kefahaman mengenai amalan pemakanan yang baik di kalangan kanak-kanak sejak mereka kecil.



0 Komen:

Catat Ulasan

Affiliates

 
Chatroom