Home » » Kemalangan Motosikal - Kelajuan mengundang maut

Kemalangan Motosikal - Kelajuan mengundang maut

Berdasarkan satu kajian pada 1985 mendapati jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya berpotensi dikurangkan sebanyak 85 peratus jika masalah berpunca daripada penunggang dan pembonceng motosikal dapat diatasi.

Ini kerana golongan ini adalah penyumbang terbesar kepada statistik kemalangan dan kematian sepanjang tahun terutama menjelang musim perayaan utama. Kenapa masalah ini berlaku sedangkan di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Timur Tengah, kadar kemalangan motosikal sangat rendah.

Logiknya cukup mudah, mereka menggunakan motosikal berkuasa tinggi yang mementingkan aspek keselamatan sedangkan di Asia Tenggara termasuk Malaysia serta negara China dan India, kebanyakan motosikal adalah jenis ‘kapcai’ iaitu motosikal berkuasa kurang 250 cc.

Namun, jika aspek kejuruteraan jalan raya ditingkatkan iaitu menyediakan laluan khas motosikal seperti yang diumumkan kerajaan baru-baru ini untuk membina laluan dari Perlis ke Johor dilaksanakan sepenuhnya, kadar kemalangan mampu dikurangkan.

Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh menjelaskan, purata kematian akibat kemalangan pada hari biasa ialah 17 kes dan 13 daripadanya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Sebab itu kami tingkatkan kempen kesedaran menunggang pada had laju 60 kilometer sejam untuk penunggang motosikal. Hujahnya mudah, pada kelajuan itu, apabila berlaku sebarang kecemasan, penunggang masih mampu mengelak atau mengawal motosikal.

“Kedua, jika masih terlanggar, impak kelajuannya masih rendah iaitu kira-kira 40 kilometer sejam dan ketiga, mereka masih dilindungi daripada kecederaan parah

“Jika menunggang pada kelajuan 70 kilometer sejam, risikonya meningkat sekali ganda. Setiap hari, direkodkan 12 hingga 13 penunggang atau pembonceng motosikal maut akibat kemalangan. Daripada jumlah itu, 20 hingga 30 orang akan menjadi OKU (Orang Kurang Upaya)..adakah ini yang diinginkan?,” katanya.

Sehubungan itu, JKJR menyarankan penunggang dan pembonceng motosikal melengkapkan diri secara maksimum untuk memastikan keselamatan terjamin. Antaranya ialah menggunakan topi keledar berkualiti yang diiktiraf Sirim Berhad dan memakainya secara betul.

Bagi pemanduan pada waktu malam, mereka diwajibkan memakai pakaian mempunyai bahan pantulan cahaya supaya kedudukan dan pergerakan mereka mudah dilihat pengguna lain.

Tip: Topi keledar

# Jangan mencelah antara kenderaan kerana ia meningkatkan risiko kepada diri dan kenderaan lain

# Topi keledar digalakkan diganti sekiranya melebihi usia lima tahun atau pernah terhentak dalam kemalangan.

# Sentiasa memakai dan mengikat topi keledar dengan betul.

# Elakkan daripada menggunakan keledar separuh atau 'topi kura-kura' yang dijual pada harga RM20 hingga RM35 kerana membahayakan pengguna jika berlaku kemalangan.

Oleh Mohd Azis Ngah



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom