Home » » Sakit bila menelan

Sakit bila menelan

Kebelakangan ini Hasan, 56, seperti fobia mahu makan. Bukan kerana paras gula, kolestrol atau tekanan darahnya naik mendadak tetapi dia tidak sanggup berdepan dengan cabaran besar menelan makanan.

Setiap kali menjamu selera, Hasan pasti akan berasa makanannya tersangkut di belakang dada hingga menyebabkan rasa ngilu dan sakit.

Senario yang berlaku pada Hasan merupakan kes yang seringkali dihadapi oleh golongan lanjut usia dan kanak-kanak yang gemar menelan benda asing seperti duit syiling, pin, alat permainan atau objek kecil yang boleh menyekat kerongkong mereka.

Dikenali sebagai disfagia, pesakit akan berdepan dengan kesukaran menelan makanan.

Menurut Profesor Surgeri dan Pakar Pembedahan yang juga Perunding Kanan Pembedahan Am dan Kemasukan Minima, Jabatan Surgeri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Jasmi Ali Yaakub, gejala disfagia ini boleh mengundang rasa sakit dan dalam beberapa kes, pesakit tidak boleh menelan langsung.

“Kebanyakan kes disfagia atau kesukaran menelan tidak begitu membimbangkan. Ia boleh terjadi apabila anda makan terlalu cepat atau tidak mengunyah makanan dengan sempurna.

“Bagaimanapun, jika ia dibiarkan berlanjutan dan kesukaran menelan menjadi semakin serius, ia mungkin menandakan ada sesuatu yang tak kena.

“Bagi golongan lanjut usia, kanser esofagus adalah penyebab utama disfagia,” katanya.

Terang Dr. Jasmi, disfagia terjadi apabila terdapat masalah dengan mana-mana bahagian proses menelan makanan.

“Apabila menelan, lidah menolak makanan ke bahagian belakang kerongkong dan otot-otot akan mengecut dengan cepat.

“Makanan kemudiannya dialihkan melalui farinks iaitu kawasan yang bersambung dari bahagian belakang kerongkong ke bahagian atas esofagus anda.

“Makanan kemudiannya akan bergerak masuk ke dalam esofagus iaitu tiub yang menyambungkan kerongkong ke perut anda.

“Lingkaran otot-otot sfinkter di bahagian atas dan bawah esofagus akan terbuka setiap kali anda menelan makanan untuk membiarkan makanan berlalu dan akan cepat-cepat tertutup.

“Bahagian bawah sfinkter pula akan membenarkan makanan memasuki perut anda dan menyimpan asid perut serta menghalangnya daripada naik semula ke dalam esofagus. Otot-otot di dinding esofagus akan membantu menolak makanan ke arah perut anda,” jelasnya.

Punca

Terdapat pelbagai punca yang boleh mendatangkan kesukaran untuk menelan sama ada di peringkat pangkal kerongkong atau dada.

Antara punca yang dominan ialah proses penuaan, penyakit achalasia iaitu kerosakan sfinkter bawah esofagus dan tumor esofagus.

Bahan asing seperti makanan atau alat permainan juga boleh menyebabkan disfagia, contohnya sebiji gula-gula keras, seketul daging yang besar atau objek-objek lain yang tidak sepatutnya dimasukkan ke mulut.

Bagi orang dewasa yang memakai gigi palsu, mereka terdedah kepada risiko sukar mengunyah makanan dengan betul dan ini bakal memberi risiko berlakunya penyekatan di kerongkong atau esofagus anda. atau objek-objek kecil yang boleh tersekat di kerongkong mereka.

Simptom

Bagi mengenal pasti sama ada anda memiliki penyakit kesukaran menelan ataupun tidak, anda boleh merasainya apabila rasa sakit ketika menelan, langsung tidak boleh menelan, tercekik atau tersedak sewaktu makan.

Perhatikan juga situasi makanan rasa tersekat di kerongkong, dada atau belakang dada dan tekanan atau rasa sakit pada bahagian dada.

Selain itu, simptom disfagia yang lain ialah pesakit muntah atau mengeluarkan semula makanan, sering rasa pedih ulu hati, sering mengeluarkan bunyi gogokan di kerongkong dan kehilangan berat badan luar biasa.

Risiko

Menurut Dr. Jasmi, kes disfagia banyak dilaporkan berlaku di Malaysia namun sekiranya penyakit itu dikenal pasti, ia boleh dirawat.

Bagi penyakit achalasia dan kanser esofagus, kaedah yang biasa digunakan ialah pembedahan.

“Apabila mendapat disfagia, anda tidak dapat mengambil makanan dan minuman yang secukupnya untuk kekal sihat dan kesannya pesakit berisiko untuk mengalami malnutrisi dan dehidrasi.

“Jika makanan atau cecair memasuki rongga udara sewaktu anda cuba untuk menelan, masalah respiratori atau jangkitan akan berlaku seperti pneumonia atau infeksi respiratori,” katanya.

Tambah beliau, jika wujud sesuatu halangan untuk pesakit menelan sehingga mengganggu kelancaran pernafasan, pesakit perlu diberi pertolongan cemas.

“Kesukaran menelan makanan yang sedikit atau jarang berlaku mungkin tidak perlu dirisaukan tetapi jika kesukaran menelan berlanjutan khususnya bagi warga emas ia menandakan masalah yang serius dan boleh membawa kepada kanser esofagus.

“Sekiranya anda mendapati orang sekeliling terutamanya warga emas dan kanak-kanak bermasalah sewaktu menelan, segera bawa mereka berjumpa dengan doktor.

“Ujian khusus dapat mengenal pasti jenis dan sebab disfagia dan merawatnya sebelum lebih melarat,” saran beliau.

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN



0 Komen:

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom