Home » » 10 sebab henti merokok

10 sebab henti merokok

10 sebab henti merokok

Ada lebih 10 sebab mengapa anda perlu berhenti merokok. Masih ada masa untuk menyambut tahun baru dengan perubahan positif yang memberi manfaat kepada semua orang terutama diri sendiri dan orang tersayang.

# Alzheimer - Merokok menyebabkan fungsi otak merosot lima kali lebih cepat terutama bagi perokok berumur. Berdasarkan kajian ke atas 9,200 perokok lelaki dan wanita berumur 65 tahun ke atas yang disiarkan dalam jurnal Neurologi, didapati fungsi otak perokok merosot lebih cepat walaupun mereka tidak mempunyai sejarah keluarga mengalami masalah dementia (nyanyuk).

Bagaimana ini boleh berlaku? Merokok memberi kesan kerosakan berpanjangan terhadap salur darah, menyebabkan darah boleh membeku yang meningkatkan risiko serangan strok dan kemerosotan daya ingatan.

# COPD dan kanser paru-paru - Satu-satunya punca kepada dua penyakit kronik ini ialah rokok. Risiko penyakit ini boleh dikurangkan dengan berhenti merokok seawal mungkin. Perokok tegar yang merokok sejak muda akan mengalami kerosakan paru-paru yang lebih teruk dan sedihnya kerosakan ini tidak boleh dipulihkan. Ada banyak kes pesakit terpaksa bergantung kepada bekalan gas oksigen untuk bernafas yang perlu dibayar dengan harga mahal sedangkan kita sememangnya dikelilingi oksigen percuma!

# Kanser mulut - Banyak kajian menunjukkan antara punca utama kanser mulut ialah merokok selain tabiat makan sirih. Risiko kanser mulut akan hilang jika anda berhenti merokok dan semua masalah lain seperti ulser juga akan sembuh.

# Lupus - Sistemik Lupus Eritematosus atau lupus adalah penyakit auto imun di mana sistem imun tersilap tafsir dan menganggap badan sendiri sebagai bahan asing yang perlu dihapuskan. Ini adalah penyakit auto imun yang kronik dan boleh mengakibatkan keradangan, kesakitan dan kerosakan tisu badan.

Penyelidik Universiti Harvard mendapati perokok mempunyai risiko yang agak tinggi untuk mendapat lupus. Ini bukanlah penemuan yang menghairankan kerana asap rokok mengandungi lebih 4,000 jenis racun yang boleh menukar mana-mana fungsi badan termasuklah sistem imun. Bagaimanapun risiko ini boleh dihilangkan dengan berhenti merokok.

# Sindrom bayi mati mengejut (SIDS) - Kajian yang dijalankan penyelidik Eropah ke atas 2,400 bayi mendapati daripada 745 kes SIDS, kurang daripada separuh (50 peratus) kematian disebabkan bayi tidur meniarap atau mengiring. Hampir 16 peratus kematian dikaitkan tidur bersama ibu terutama yang merokok dan risikonya dikatakan 17 kali ganda lebih tinggi.

# Bayi alami masalah sakit perut - Pendedahan kepada asap rokok boleh meningkatkan risiko masalah kolik atau sakit perut. Inilah rumusan dari lebih 30 kajian di seluruh dunia. Masalah sakit perut bermula beberapa minggu selepas bayi dilahirkan dan kes paling tinggi dicatatkan apabila bayi berumur lima hingga lapan minggu yang boleh berlarutan sehingga umur mencapai empat bulan.

Asap rokok boleh menaikkan paras hormon dalam darah dan usus yang dipanggil motilin. Hormon ini akan membuat pengecutan otot perut dan usus menjadi laju; yang secara tidak langsung mempercepatkan pergerakan makanan. Inilah sebabnya bayi boleh mengalami sakit perut dan berasa tidak selesa.

# Risiko mati pucuk - Pasti ada perokok yang mendakwa walaupun kuat merokok, mereka tetap ramai anak. Itu bagi perokok yang bertuah dan anda perlu bersyukur dikurniakan cahaya mata. Kurniaan itu seharusnya dipelihara sebaiknya dengan tidak mendedahkan anak-anak anda kepada racun asap rokok.

Prestasi di bilik tidur memang penting bagi lelaki dan untuk mengekalkannya, anda perlu berhenti merokok. Soal selidik ke atas hampir 5,000 lelaki di China mendapati mereka yang merokok lebih sekotak sehari mempunyai kecenderungan sebanyak 60 peratus mengalami masalah mati pucuk berbanding bukan perokok.

Secara keseluruhan 15 peratus perokok mengalami masalah ereksi berbanding 12 peratus lelaki tidak merokok seperti yang dilaporkan dalam Seminar Pencegahan dan Epidemiologi Penyakit Kardiovaskular di Miami, Amerika Syarikat.

Mati pucuk bukan sekadar masalah di bilik tidur saja. Ia sebenarnya menjadi petanda paling penting kepada pelbagai masalah kesihatan lain dan merokok akan menyebabkan tahap kesihatan anda bertambah buruk.

# Hilang penglihatan - terutama perokok berumur. Perokok mempunyai risiko empat kali lebih tinggi untuk menjadi buta disebabkan kemerosotan makular akibat penuaan. Lebih 25 peratus kes kemerosotan makular yang boleh membawa kepada kebutaan berkaitan dengan tabiat merokok. Berhenti merokok boleh merendahkan risiko ini dan memanjangkan hayat penglihatan anda.

# Artritis Reumatoid - Individu yang mempunyai genetik lemah akan lebih mudah mendapat artritis reumatoid jika mereka merokok. Kajian penyelidik Sweden mendapati risikonya ialah 16 kali lebih tinggi berbanding individu tidak merokok.

# Berdengkur - Masalah yang memalukan ini biasanya lebih buruk di kalangan perokok. Bahkan pasangan anda yang tidak merokok juga akan mendapat kesannya. Lebih 24 peratus perokok tidur berdengkur berbanding 20 peratus kumpulan yang sudah berhenti merokok dan hanya 14 peratus bagi golongan tidak pernah merokok.



Perokok sekunder (orang yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok) juga mendapat tempiasnya. Kajian mendapati 20 peratus individu yang menghidu asap rokok di rumah berdengkur.

# Kanser payudara - Wanita yang mula merokok sebelum berumur 20 tahun atau sekurang-kurangnya lima tahun sebelum mereka hamil dan merokok bagi tempoh yang lama mempunyai risiko yang jauh lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara.

Kadar kelaziman kanser payudara di kalangan perokok dan perokok sekunder ialah 30 peratus dan ini adalah jumlah yang membimbangkan kerana jumlah perokok wanita kian bertambah setiap tahun. Kanser payudara pula adalah antara penyakit yang belum ada cara untuk mencegahnya.

Biasanya ibu amat marah dan kecewa jika bayi mereka digigit nyamuk tetapi ramai yang tidak sedar dengan merokok mereka sebenarnya mendedahkan anak kesayangan kepada lebih banyak ancaman kesihatan. Jadi jika anda benar-benar sayangkan anak, berhentilah merokok.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom