Home » » Cekodok.com - Pilih makanan anda

Cekodok.com - Pilih makanan anda

Melonggokkan pelbagai menu di atas meja semata-mata memenuhi selera makan bukanlah satu disiplin yang baik untuk diamalkan.

Pemakanan yang tidak terkawal serta tabiat gemar menikmati makanan 'asal sedap' tanpa memikirkan risiko kepada badan di kemudian hari, boleh memudaratkan kesihatan.

Apatah lagi jika mengamalkan pemakanan yang tidak seimbang serta sering menikmati makanan segera yang sudah diketahui mengandungi kandungan lemak dan kalori yang tinggi.

Hakikatnya, walau apapun hidangan yang ingin dinikmati, seseorang itu perlu memikirkan mengenai kandungan nutrisi di sebaliknya bagi memastikan ia baik untuk tubuh badan.

Jurulatih merangkap penceramah kecergasan serta pengasas laman web berkaitan panduan pemakanan, cekodok.com, Kevin Zahri Abdul Ghaffar, 30, berkata merangka pelan yang memenuhi keperluan peribadi serta melakukan perubahan gaya hidup amat penting untuk membantu seseorang mendapatkan tubuh badan yang sihat.

Kevin yang muncul dengan buku Fitness 24/7 tahun lalu itu berkata, amat penting bagi setiap individu untuk mengetahui kandungan hidangan yang diambil dalam memastikan pola pemakanan sepanjang hari dimanfaatkan, sekali gus mengimbangi keperluan diet sepanjang hari.

Kebanyakan anggota masyarakat masih tidak mengetahui keperluan sebenar badan mereka dan mengambil makanan tanpa memilih apa yang terbaik untuk kesihatan.

Justeru, dia cuba membantu masyarakat mendapatkan amalan pemakanan yang betul serta panduan data kalori menerusi laman web cekodok.com yang diasaskannya.

"Laman web ini diwujudkan sejak November lalu dan objektif utamanya adalah untuk memberi maklumat berguna kepada masyarakat berkaitan kesihatan, nutrisi serta kecergasan secara percuma.

"Selain itu, cekodok.com juga berfungsi sebagai tempat rujukan mengenai nutrisi makanan tempatan serta Barat yang sering dinikmati masyarakat di negara ini," katanya.

Jurulatih kecergasan peribadi dengan kelayakan Latihan Kecergasan Atlit Amerika (Afta) ini berkata, biarpun baru tiga bulan diwujudkan, laman web berkenaan mendapat sambutan positif dan dikunjungi ribuan pengunjung setiap hari.

Menurut Kevin, ia adalah petanda positif masyarakat di negara ini semakin peka dengan apa yang mereka nikmati dan mengetahui kandungan nutrisi serta kalori sebenar makanan berkenaan.

Laman web berkenaan menyediakan maklumat lengkap mengenai nutrisi terhadap lebih 26 jenis makanan antaranya sayur-sayuran, produk tenusu, pencuci mulut, makanan segera, ais krim, makanan Jepun, minuman, makanan mamak, hidangan berasaskan mi, kek, roti, daging serta buah-buahan.

"Di cekodok.com, pengunjung bukan saja boleh mendapatkan maklumat berguna mengenai nutrisi makanan malah dapat mempelajari dengan lebih mendalam mengenai kalori di ruangan Sekolah Nutrisi yang disediakan.

"Ruang ini memberi jawapan yang diperlukan masyarakat mengenai soalan berkaitan kalori seperti jumlah kalori yang diperlukan sehari, bagaimana kalori boleh mempengaruhi pengurangan atau kenaikan berat badan, bagaimana membaca label nutrisi yang disediakan dan banyak lagi.

"Lebih daripada itu, laman web ini turut menyediakan perancangan pemakanan, analisis kecergasan (yang akan dimulakan tidak lama lagi) serta perkongsian perancangan pemakanan sesama pengunjung. Ia menyediakan pelbagai maklumat pemakanan yang diperlukan menerusi satu klik di laman web ini saja," katanya.

Dalam pada itu, Kevin berkata, kejayaan mengawal berat badan dan menjaga kecergasan akan membawa kepada perubahan berkekalan dalam gaya hidup dan isunya bukan kuantiti tetapi sebaliknya adalah kualiti.

Kevin berkata, rahsia pemakanan adalah seseorang itu perlu bersikap memilih apa yang dimakan.

"Sebagai contoh, menjalani senaman secara berlebihan, mungkin tidak membawa keputusan diharapkan dan begitu juga memakan buah-buahan secara berlebihan juga boleh menyebabkan seseorang mengalami kenaikan berat badan.

"Saya tidak boleh memberikan anda satu pelan pemakanan yang memaksa anda makan apa yang tidak digemari tanpa mengetahui terlebih dulu apa makanan yang anda gemari.

"Sebaliknya, anda perlu belajar membuat pilihan yang lebih bijak berdasarkan apa yang anda gemar," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai buku Fitness 27/7, Kevin berkata, dia mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan buku berkenaan sepenuhnya.

Kevin berkata, kandungan buku itu menumpukan kepada kecergasan sebagai antara isu gaya hidup.

"Buku ini adalah buku kecergasan pertama yang ditulis khusus untuk gaya hidup orang Malaysia dan Asia. Ia sebuah buku praktikal yang mengajar anda bagaimana mengamalkan gaya hidup praktikal," katanya.

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus



0 Komen:

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom