Home » » » Khasiat Kolagen

Khasiat Kolagen

Jenama penjagaan kecantikan saban hari mendedahkan ramuan yang dahulunya disimpan sebagai rahsia industri, terutamanya apabila permintaan pengguna semakin tinggi dari segi keberkesanan dan kejelasan kandungan produk.

Bukan itu sahaja, malah pakar bedah kosmetik turut tidak ketinggalan setelah dokumentari televisyen di seluruh dunia menyiarkan proses dan aktiviti yang terlibat ketika pembedahan, langkah demi langkah.

Kini, ramuan khas seperti kolagen, yang juga digunakan secara meluas dalam pelbagai barangan penjagaan kecantikan, bukan lagi sesuatu yang baru, terutamanya di kalangan mereka yang arif dan mementingkan kecantikan.

Kolagen merupakan ramuan yang lazimnya terkandung dalam kebanyakan produk awet muda.

Kajian klinikal telah menunjukkan keberkesanan kolagen mengurangkan bilangan, kepadatan dan kejelasan kedutan, serta memastikan keanjalan dan kesegaran kulit.

Bagaimanapun, ramai yang cuma mempunyai pemahaman terhad tentang kolagen dan tidak sedar akan potensi sepenuhnya terhadap badan kita, mahupun bantuan kecantikan.

Mendalami kolagen

Sebenarnya, kolagen merupakan struktur protein yang berfungsi sebagai perekat dalam badan.

Lebih kurang satu per tiga daripada keseluruhan protein dalam badan terdiri daripada kolagen, memberikan struktur kepada badan, melindungi dan menyokong tisu-tisu lembut serta menyambungkannya dengan tulang badan.

Ketika usia remaja dan awal 20-an, terdapat pertumbuhan hormon yang aktif bagi menyokong pertumbuhan struktur dan menggalakkan perkembangan otot, tendon dan ligamen.

Kolagen digunakan untuk menghasilkan protein bagi membantu pertumbuhan ini serta mengaktifkan penjanaan semula sel badan baru.

Ketika usia 25 tahun dan ke atas, kolagen mula menyusut dalam badan pada kadar 1.5 peratus setahun.

Sehingga usia 45, badan kita dijangka kehilangan sebanyak 30 peratus daripada kolagen semula jadi.

Memandangkan kepentingan kolagen terhadap struktur badan, kejadian ini dianggap agak memudaratkan, ditambah pula dengan kadar pengurangan pertumbuhan hormon.

Dari perspektif pakar terapi kecantikan, penyusutan ini akan menimbulkan kesan yang ketara ke atas kulit, iaitu kulit mula hilang keanjalan semulajadinya dan tanda-tanda awal kedutan mula jelas apabila mencapai pertengahan umur 20-an.

Tambahan pula, pengurangan kolagen boleh mengganggu bahagian badan lain, terutamanya dalam penjanaan semula tisu-tisu lembut.

Apabila kolagen dalam tisu lembut semakin berkurangan, ini mengakibatkan kesukaran pengangkutan toksin dari sel ke sistem limfa.

Ia juga menghalang pergerakan nutrisi dan hidrasi yang mempunyai kesan ke atas kesihatan keseluruhan, langsung mempengaruhi keadaan kulit dan sel lain. Pada masa yang sama, keadaan tulang, kuku dan rambut akan turut menunjukkan tanda-tanda awal penuaan.

Apa pula berita baiknya? Susutan kolagen kini boleh diganti menerusi proses yang dipanggil kaedah sintesis kolagen (collagen synthesis).

Terapi sintesis kolagen

Menurut laporan daripada Sekolah Perubatan Harvard, pengambilan kerap makanan tambahan kolagen mampu menggantikan kolagen yang hilang dalam badan, serta merangsang penjanaan kolagen baru.

Satu lagi penyelesaian yang lebih radikal merupakan terapi suntikan kolagen, apabila wanita dan lelaki memilih bahagian tertentu bagi suntikan yang menunjukkan kesan serta-merta.

Tidak kira apa jua kaedah penggunaannya, sebenarnya kolagen hanya boleh diserap ke dalam badan dalam bentuk molekul ringan yang cuma boleh diperoleh daripada 100 peratus protein kolagen terhidrolisis tulen (hyrolysed collagen protein, HCP).

Oleh itu, kualiti HCP amat kritikal bagi memastikan proses penggantian kolagen yang berkesan.

HCP merupakan kolagen tulen yang telah diproses daripada sumber semula jadi, menyumbangkan asid amino yang diperlukan badan.

Sehingga kini, kebanyakan kolagen diekstrak daripada sumber biomarin (ikan jerung), burung (ayam) atau bovin (lembu), tetapi ketiga-tiga sumber mengandungi tahap penyerapan dan keberkesanan sintesis kolagen yang berlainan.

HCP daripada rawan jerung selalunya dijual pada harga yang tinggi, dengan kandungan kalsium berlebihan yang mempengaruhi tahap penyerapannya.

Kolagen tumbuh-tumbuhan pula, biasanya protein soya, mempunyai struktur yang berlainan berbanding kolagen haiwan, dan dengan itu lebih sukar untuk menyerap ke dalam sel badan manusia.

Kolagen bovin setakat ini mempunyai keberkesanan yang lebih mujarab kerana strukturnya yang hampir dengan badan manusia, dan juga kandungan kalsium yang rendah.

Oleh kerana sifat-sifatnya ini, kolagen bovin mampu menawarkan kadar penyerapan sebanyak 80 peratus, membolehkan sintesis kolagen yang efektif dalam badan.

Hasil kekuatan teknologi, kolagen kini boleh diekstrak, diasing, dipadat dan disulingkan ke dalam bentuk yang paling tulen. Hasilnya, HCP atau ringkasnya sumber kolagen yang paling tulen, tanpa bendasing kimia atau asidik.

Kualiti kolagen sendiri turut mempengaruhi tahap penyerapannya. Ini diukur dalam tahap Bloom, ukuran bagi menentukan kualiti kolagen.

Untuk menggambarkan proses ini, cuba bayangkan proses perahan tebu, yakni jus daripada perahan pertama merupakan hasil yang paling tulen, serta mengandungi rasa dan kualiti terbaik. Air boleh ditambah agar mendapat lebih banyak perahan, dan gula boleh dimasukkan untuk memperbaiki rasa.

Ekstrak kolagen menuruti prinsip yang sama, dan kolagen pada tahap ekstrak pertama adalah yang paling tulen dan memiliki kadar Bloom tertinggi, iaitu Bloom 300.

Kaedah yang digunakan bagi menyaring kolagen amat penting untuk memastikan kehadiran Bloom, atau kualitinya.

Kolagen Bloom 300 dihasilkan menerusi proses yang mengambil masa selama tiga bulan, iaitu 12 bulan lebih lama berbanding proses asidik digunakan di pasaran.

Jelasnya, kebanyakan produk hari ini mengandungi kolagen yang berbeza dari segi tahap Bloom. Sesetengah produk pula langsung tidak mengandungi nilai Bloom.

Khasiat kolagen

Pengambilan kolagen bukan sahaja dapat membantu mengekalkan kecantikan dan mengawet muda, tetapi juga kajian turut membuktikan kekayaan faedahnya terhadap kesihatan kita.

Kini, kolagen bukan sahaja digunakan dalam pelembab kulit dan serum kecantikan, malah merupakan ramuan penting dalam pelbagai barangan seperti syampu dan pemakanan pengurusan berat badan.

Kesihatan kulit

Oleh sebab kolagen membentuk 75 peratus daripada kulit badan, kehadiran kolagen amat penting untuk membina dan mengekalkan kulit yang sihat.

Susutan kolagen yang melembabkan pembentukannya bukan sahaja menyebabkan perkembangan kedutan dan kulit yang kelihatan tua, tetapi juga membantut proses pertumbuhan sel dan pembaharuan kulit. Akibatnya, kulit kehilangan serinya dan menjadi tidak bermaya.

Kini, para fanatik kecantikan terutamanya sedar akan penggunaan kolagen menawar, mengekal dan juga mengembalikan kekuatan dan ketahanan kulit bagi memastikan wajah yang kelihatan muda.

Oleh sebab fungsinya yang dapat menyokong kulit kita, kolagen mengukuh dan meningkatkan keanjalan kulit, tanpa perlu menjalankan operasi face-lift.

Selain itu, dengan memastikan penjanaan semula kolagen dalam badan yang menyumbang kolagen yang diperlukan kulit juga membantu pengisian sel kulit dan menggalakkan pemulihan cepat apabila berlakunya kecederaan, terutamanya luka yang bakal menyebabkan parut.

Oleh sebab itu, kolagen amat mujarab untuk menghalang parut yang berpunca daripada jerawat.

Kuku dan rambut

Hasil kajian Klinik Perubatan Universiti Wurzburg di Jerman pada tahun 1995 menunjukkan, penggunaan jangka panjang kolagen meningkatkan kestabilan dan ketahanan struktur protein.

Ini memperbaiki kualiti kuku rapuh dan menghalang keguguran rambut. Ini menjelaskan kenapa kolagen didapati dalam syampu komersial, selain daripada kenyataan bahawa kolagen turut merupakan antara ramuan penting yang menentukan kepekatannya.

Pengurusan berat badan


Ketika tidur, asid amino yang dihasilkan oleh kolagen digunakan oleh badan untuk membina tisu otot.

Apabila badan mendapat khasiat daripada protein kolagen ini, ia menguatkan lagi tisu otot nipis bagi membantu pembinaan bentuk badan dan otot yang lebih kukuh, jelas dan menarik.

Kini, terdapat banyak produk pengurusan berat badan yang mengesyor pengambilan kolagen sebelum waktu tidur.

Sendi dan tulang

Prof. R. Moskowitz, Pengarah Institut Artritis Universiti Cleveland dan Presiden Persatuan Penyelidikan Osteoartritis Antarabangsa menawarkan bukti selanjutnya berkenaan keberkesanan kolagen dalam rawatan osteoartritis.

Penyelidikan Moskowitz juga menunjukkan kolagen mampu mengurangkan kesakitan dan melancarkan pergerakan sendi bagi mereka yang sedang menghidapi osteoartritis.

Sesetengah kajian bebas dari Jerman dan Czechoslovakia turut mencadangkan pemakanan 7 hingga 10 gram kolagen sehari, selama 30 hingga 90 hari akan mengurangkan kesakitan dan ketegangan akibat artritis.

Kesimpulan

Kini, pakar dan saintis sedang menjalankan lebih kajian dan penyelidikan ke atas kolagen dari pelbagai sudut kerana khasiatnya kepada kesihatan kita.

Hakikatnya, kepentingan kolagen dalam badan hampir bersamaan dengan memastikan badan memperoleh kandungan air bagi kelembapan yang berpatutan.

Bagaimanapun, pastikan anda memilih rangkaian produk sesuai yang mengandungi kolagen dengan kualiti yang tidak terhingga.

- Dr. Joe Shigemoto merupakan seorang pakar bedah kosmetik terkemuka di Jepun yang telah menjalankan kajian luas berkenaan kolagen dan khasiatnya ke atas penjagaan kecantikan dan kesihatan. Beliau ditemui ketika berada di Kuala Lumpur baru-baru ini untuk merasmikan pelancaran produk kecantikan terbarunya, Etsu.



1 Komen:

Gie Din berkata...

good info...

Catat Ulasan

Affiliates

 
Chatroom