Home » » Manfaat Senaman Tai Chi

Manfaat Senaman Tai Chi

Mana lebih baik, senaman cergas atau yang ada pergerakan perlahan? Sukar membuat perbandingan untuk menentukan mana satu lebih baik kerana masing-masing ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

Pilihan ada di tangan anda, kedua-duanya akan memberi manfaat kesihatan asalkan ia dijadikan amalan harian.

Antara perkara yang perlu dipertimbangkan untuk memilih jenis senaman ialah keupayaan dan keadaan kesihatan anda. Ini penting, terutama bagi mereka yang mengalami masalah sakit sendi, sama ada disebabkan artritis, berat badan berlebihan atau penyakit lain.

Bagi kumpulan ini, pergerakan cergas boleh memburukkan lagi keadaan kerana ia memberi tekanan berlebihan kepada sendi bahagian kaki.

Untuk kes begini, jenis senaman yang ada pergerakan perlahan dan lembut seperti tai chi, yoga atau qigong lebih sesuai. Ia bukan saja boleh membakar lemak, tetapi pada masa sama membantu mengekalkan kestabilan dan memberikan ketenangan fikiran.

Berdasarkan sejarah, tai chi adalah sejenis seni mempertahankan diri yang diamalkan lebih 2,000 tahun dulu di China. Namun pergerakannya yang lembut dan kurang memberi tekanan pada kaki menjadi antara senaman yang boleh merehatkan badan dan minda, kata guru tai chi, Sim Eng Ket.

Ada banyak jenis pergerakan tai chi, tetapi semuanya dilakukan secara perlahan dan lembut yang disertakan pernafasan dalam serta meditasi. Ada yang menggelar tai chi sebagai meditasi bergerak. Tai chi sesuai diamalkan semua peringkat umur dan tahap kesihatan, tetapi lebih popular di kalangan orang tua kerana pergerakannya lembut dan kurang tekanan.

Ramai menjadikan tai chi antara cara mengawal masalah kesihatan. Menurut Sim, tai chi bukan bertujuan merawat masalah kesihatan, tetapi senaman ini jika diamalkan boleh membantu meningkatkan daya ketahanan, kekuatan badan dan ketenangan fikiran.

Walaupun tidak banyak penyelidikan klinikal dijalankan untuk mengetahui semua manfaat tai chi, beberapa kajian mengesahkan dakwaan kebanyakan pengamalnya melaporkan mereka berasa tahap kesihatan secara keseluruhan bertambah baik.

Ketika bersenam, fikiran anda tertumpu pada pergerakan dan pernafasan. Gabungan dua perkara ini secara tidak disedari membuatkan anda berasa tenang. Ini sebabnya ia baik untuk individu yang dalam keadaan resah atau tertekan. Malah, kesan tenang ini berlanjutan lama selepas sesi senaman tamat.

Guru tai chi terlatih dan bertauliah akan mengajar teknik pernafasan betul serta pergerakan tertentu bagi membantu mengurangkan masalah anda untuk diamalkan di rumah. Mereka juga boleh mengajar teknik senaman selamat jika anda mengalami kecederaan atau masalah kesihatan tertentu.

“Untuk melakukan tai chi, anda perlu menumpukan fikiran dan mesti ada keharmonian antara fikiran, pergerakan serta anggota badan. Tai chi tidak memerlukan pakaian khas asalkan selesa. Ia boleh dilakukan di mana saja, sama ada di dalam atau luar bangunan, namun ada kelebihan jika bersenam di taman kerana kita dikelilingi banyak tenaga (daripada tumbuh-tumbuhan).

“Semua pergerakan tai chi mesti dimulakan dengan merehatkan seluruh badan, termasuk fikiran. Fikiran mesti dikosong dan ditenangkan. Lupakan seketika semua masalah dan beri tumpuan pada senaman,” katanya pada Kongres Awam Kesihatan Tulang dan Sendi anjuran Yayasan Artritis Malaysia.

Antara ciri penting untuk melakukan tai chi ialah:

# Merehatkan badan dan fikiran. Mulakan dengan mengosongkan fikiran, perlahan-lahan rehatkan bahu, badan, tangan dan beralih ke kaki

# Memberi tumpuan dan berfikiran positif. Sim berkata, pesakit perlu ada semangat kuat dan berfikiran positif. Jangan sentiasa memikirkan diri sendiri sebagai pesakit kerana ia hanya membuat mereka berasa sedih. Pemikiran negatif seperti ini boleh menjejaskan semangat dan tindak balas badan terhadap rawatan. Sentiasa beritahu diri sendiri, anda boleh menjalani kehidupan seperti atau lebih baik berbanding orang sihat.

# Pergerakan perlahan — Pergerakan perlahan sebenarnya ada rahsia tersendiri kerana ia boleh mengumpulkan tenaga atau chi pada pengamalnya. Apabila melakukan satu-satu pergerakan secara perlahan-lahan, anda berasa seolah-olah tenaga ‘mengalir’ ke dalam badan atau anggota digerakkan. Pergerakan perlahan juga boleh membantu memperbaiki dan melancarkan aliran darah.

# Keharmonian — Ini adalah ciri penting kerana pergerakan, pernafasan, tumpuan dan tenaga perlu dilakukan secara harmoni. Ia dapat dicapai melalui latihan. Jika diamalkan, tai chi boleh membuatkan seseorang menjadi ketagih untuk meneruskannya.

Sama seperti senaman lain, pergerakan tai chi merangsang badan untuk menghasilkan hormon endorfin yang membuatkan seseorang berasa ‘selesa dan gembira’. Ini yang dinamakan ketagih positif kerana ia mampu membantu pengamalnya lebih sihat, tenang dan bertenaga.

# Seni mempertahankan diri. Seperti disebut di atas, tai chi adalah seni mempertahankan diri dan bukan senaman. Bagaimanapun, pergerakannya yang lembut dan perlahan membuatkan ia juga sesuai dijadikan senaman, terutama bagi orang tua dan individu yang tidak boleh melakukan senaman cergas.

“Ramai tidak percaya bagaimana tai chi yang mempunyai pergerakan perlahan boleh dijadikan seni mempertahankan diri. Ramai tidak sedar, setiap pergerakan tai chi boleh dijadikan pergerakan untuk menahan dan menyelamatkan diri apabila diserang. Bagaimanapun, teknik ini perlu dipelajari dengan tekun dan sabar.

“Yang lebih penting ialah melindung dan melawan penyakit. Ini sebabnya sesetengah orang menggelar tai chi sebagai ‘tinju bayang-bayang’. Jika dijadikan amalan, tai boleh membantu anda mengawal penyakit di samping pengambilan ubat secara teratur seperti diarah doktor.

“Tai chi bukan penawar atau penyembuh penyakit. Individu yang menghidap penyakit mesti mengambil ubat seperti dijadualkan. Kebergantungan terhadap ubat mungkin boleh dikurangkan melalui senaman yang teratur, asalkan ia dilakukan dengan sabar,” katanya.

Walaupun pergerakannya lembut dan perlahan, seseorang disaran tidak melakukan senaman tai chi dalam beberapa keadaan iaitu sejurus selepas makan, terlalu penat, ketika mengalami jangkitan atau jika penyakit dalam keadaan aktif.

Tai chi juga boleh dijadikan cara mudah untuk berehat iaitu dengan berdiri tegak, tangan lurus di tepi dan lidah menyentuh lelangit. Pada masa sama rehatkan kepala, bahu, dada dan seluruh badan. Perlahan-lahan bengkokkan lutut, tahan seketika dan kembali ke posisi asal (berdiri). Lakukan beberapa kali mengikut kemampuan.

Manfaat

# Memperbaiki kekuatan, koordinasi dan keanjalan sendi

# Mengurangkan kesakitan dan ketegangan sendi

# Menambah kestabilan badan dan mengurangkan risiko jatuh

# Membantu tidur dengan lebih baik (tidur lebih lena dan tidak mengantuk pada waktu siang)

# Memperlahankan proses kehilangan tulang pada wanita selepas menopaus

# Melancarkan aliran darah

# Merendahkan tekanan darah

# Meningkatkan fungsi fizikal

# Mengurangkan rasa sakit

# Mengurangkan tekanan

# Meningkatkan kepekaan fikiran dan deria secara keseluruhan

# Menjadikan fikiran lebih tenang



1 Komen:

Anonymous said...

Youг сurrent article offers verified helpful to
myѕelf. Іt’s very educatіonal and you are certаinly verу well-іnformеd in this areа.
You have got exрosed my own eyes to be able to varying thoughts about thiѕ subjeсt using intгiquing, notаble and sound writtеn contеnt.
My web site :: Buy Xanax

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom