Home » » Kanak-kanak Melayu paling ramai tak bersarapan

Kanak-kanak Melayu paling ramai tak bersarapan

Kedengaran agak pelik, tetapi ramai kanak-kanak yang tidak bersarapan memberikan alasan tiada masa untuk makan.

Alasan lain mereka tidak bersarapan setiap hari termasuk tidak lapar, tiada selera, tiada makanan serta waktu terlalu awal untuk makan.

Kajian dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia yang tamat baru-baru ini, turut mendapati kira-kira 70 peratus daripada kanak-kanak di sekolah rendah bersarapan setiap hari manakala tiga daripada 10 kanak-kanak masih tidak bersarapan.

“Bukan sukar menyediakan sarapan mudah yang berkhasiat untuk anak-anak. Roti antara contoh mudah sarapan selain buah-buahan yang masih boleh dikunyah jika mereka terpaksa mengejar bas pada awal pagi. Selain itu, kanak-kanak juga perlu dilatih minum susu pada usia masih muda lagi,” kata Profesor Madya Dr Norimah A Karim.

Jika dilakukan perbandingan antara kaum, masyarakat India mencatatkan peratusan paling tinggi dari segi pengambilan sarapan setiap hari iaitu kira-kira 82 peratus, diikuti dengan masyarakat Cina (78.5 peratus) manakala pengambilan sarapan setiap hari untuk kanak-kanak Melayu pula kira-kira 63 peratus (peratusan lebih rendah berbanding pengambilan sarapan setiap hari di kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak).

Kanak-kanak Melayu juga didapati paling ramai tidak mengambil sarapan langsung (8.8 peratus) manakala kanak-kanak India pula mencatatkan peratusan paling rendah iaitu 4.2 peratus.

Menurutnya, tabiat pengambilan makanan ringan bukan sesuatu yang memudaratkan asalkan makanan terbabit disediakan secara berkhasiat.

Malah penyediaan makanan ringan juga boleh dilakukan dengan mudah, sama seperti penyediaan sarapan dengan mengutamakan jenis makanan yang lebih berkhasiat.

“Ramai yang menggemari makanan sejuk beku tetapi kebanyakannya perlu digoreng terlebih dulu. Sebaiknya, elakkan makanan sedemikian kerana ada makanan sejuk beku yang tidak perlu digoreng.

“Pau kukus antara pilihan lebih baik, begitu juga dengan apam kukus. Menyediakan sandwic juga mudah, ditambah pula dengan intinya yang berkhasiat seperti telur dan tuna,” katanya.

Menurut kajian berkenaan, tabiat pengambilan makanan ringan membabitkan makanan kurang berkhasiat menunjukkan peratusan paling tinggi iaitu sebanyak 37 peratus. Ini diikuti makanan ringan lain seperti biskut, roti, ais krim, coklat dan gula-gula.

Tidak ketinggalan, peratusan tinggi pengambilan makanan segera dengan kira-kira 20 peratus kanak-kanak menikmatinya lebih daripada dua kali seminggu manakala kira-kira 30 peratus daripada mereka menikmatinya sekali seminggu.



0 Komen:

Catat Ulasan

Affiliates

 
Chatroom