Home » » Otak lesu jejas prestasi senaman

Otak lesu jejas prestasi senaman

Kelesuan otak boleh mencacatkan prestasi senaman seseorang, satu penemuan oleh penyelidik di Britain yang mungkin menerangkan punca adanya rasa malas untuk bersenam.

Hasil penyelidikan mendapati, mereka yang melakukan tugasan memenatkan fikiran sebelum bersenam lebih cepat letih berbanding mereka yang telah merehatkan minda.

Tiga penyelidik dari Universiti Bangor di Wales, Samuele Marcora, Walter Staiano dan Victoria Manning menjelaskan bahawa kelesuan mental sebenarnya tidak menjejaskan prestasi jantung atau otot, namun memberi kesan kepada “usaha mencapai sasaran.”

“Kajian kami menunjukkan kelesuan mental mengehadkan ketahanan manusia dalam usaha mencapai sasaran mereka,” demikian menurut laporan penyelidikan mereka dalam Journal of Applied Physiology.

Penyelidikan itu melibatkan 16 individu yang dikehendaki menjalani ujian selama 90 minit yang memerlukan perhatian dan memori, seterusnya menyebabkan mereka berasa penat dan lesu.

Mereka kemudiannya diarahkan mengayuh basikal senaman, sementara penyelidik memeriksa kadar denyutan jantung dan tanda-tanda penting lain.

Pada satu hari lain, kumpulan yang sama diminta menonton filem dokumentari selama 90 minit sebelum mengayuh basikal senaman.

Penyelidik mendapati kumpulan itu berhenti melakukan senaman 15 peratus lebih awal ketika fikiran mereka lesu, walaupun tidak banyak perbezaan dalam fungsi jantung, paru-paru dan otot. – Reuters



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom