Home » » Barah pangkal rahim: pasangan perlu terbuka

Barah pangkal rahim: pasangan perlu terbuka

Sesebuah rumah tangga lazimnya dibina atas dasar kasih sayang dan saling mempercayai antara suami dan isteri.

Namun tidak semua suami atau isteri mengetahui secara mendalam tentang latar belakang pasangan masing-masing sebelum mendirikan rumah tangga terutama dalam hal yang terlalu bersifat peribadi seperti kehidupan masa lampau dan sebagainya.

Sedangkan hal ini kadang kala sangat penting bagi mengelakkan diri daripada merana ekoran penglibatan pasangan dalam perlakuan yang boleh memudaratkan kesihatan di kemudian hari.

Tidak ada salahnya jika selidiki dulu latar belakang pasangan yang bakal dikahwini seperti adakah dia seorang yang pernah terlibat dalam pergaulan seks bebas, gemar bertukar-tukar pasangan atau pernah dijangkiti penyakit kelamin.

Maklumat-maklumat seperti ini bakal membantu untuk mengenal pasti penyakit yang mungkin dihadapi setelah menjadi suami isteri.

Pakar Obstretrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. S. Silvam berkata, melayari hidup suami isteri memang mempunyai onak dan duri, bukan sahaja dari segi kehidupan seharian tetapi penyakit yang mungkin dihidapi.

Ramai pasangan berkahwin dihidapi penyakit yang tanpa disedari berpunca daripada hubungan kelamin. Namun puncanya bukanlah datang daripada hubungan kelamin pasangan yang halal itu, tetapi dari latar belakang yang lalu iaitu sebelum berkahwin.

Antara jangkitan yang selalu dihadapi pada isteri ialah jangkitan kuman Human Papiloma Virus (HPV).

"Hanya wanita yang melakukan hubungan seks boleh mendapat penyakit ini, kalau belum pernah melakukan seks memang tiada risiko.

"Apabila bercakap dengan suami isteri agak susah untuk berbincang kerana ia menjadi masalah kepada rumah tangga tersebut apabila latar belakang kehidupan seksual antara punca wanita boleh dijangkiti kuman HPV," ujar beliau ketika ditemui di kliniknya di Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Dr. Silvam berkata, ini terjadi kerana setiap pasangan mempunyai sejarah perhubungan seksual sebelum mereka mendirikan rumah tangga dengan pasangan yang tidak mengetahui tentang latar belakang mereka sebelum ini.

"Apabila penyakit ini terjadi pada pasangan yang telah berkahwin, kadang-kadang susah hendak berbincang. Di pihak doktor, kami tidak mahu pasangan suami isteri berselisih faham disebabkan perkara ini sebab setiap orang ada sejarah tersendiri.

Bertukar-tukar pasangan

"Perlu juga diingatkan di sini, bukan sahaja isteri yang banyak pasangan boleh mendapat virus HPV tetapi suami yang bertukar-tukar pasangan juga berisiko tinggi untuk mendapat kuman ini. Kuman ini boleh berpindah pada isteri pula.

"Jika pasangan setia antara satu sama lain dan tidak pernah membuat hubungan seks bertukar-tukar pasangan, risiko amat rendah," ujar Dr. Silvam.

"Justeru, apabila isteri disahkan mempunyai kuman ini, maka janganlah salahkan diri atau pasangan.

"Paling penting, ialah rawatan awal untuk memastikan kuman tersebut bukan punca barah. Dan jika kuman tersebut berbahaya sekalipun, pasangan suami isteri harus memandang ke depan demi menjaga kerukunan rumah tangga dan berusaha mendapat rawatan terbaik,'' katanya.

Dr. Silvam mengingatkan, kuman HPV adalah sejenis kuman berbahaya yang menyebabkan barah pangkal rahim.

Bagi yang belum mengetahui kenyataan ini, barah pangkal rahim adalah pembunuh kedua wanita dan setiap tahun seramai lebih 500,000 wanita di seluruh dunia meninggal dunia kerana penyakit ini.

Maka sebab itu, Dr. Silvam menyeru setiap orang dewasa untuk mendapat seberapa banyak ilmu tentang penyakit ini melalui medium yang ada.

"Kini banyak pendedahan yang telah dilakukan, kempen kesedaran menerusi media cetak dan elektronik banyak memberi informasi tentang bahaya dan cara untuk mengelakkan penyakit ini," tambah beliau.

Dr. Silvam berkata, sikap dan gaya hidup perlu berubah untuk memastikan diri terhindar dari dijangkiti virus HPV.

"Seperti yang kita maklum, barah pangkal rahim disebabkan oleh kuman yang dinamakan HPV Human Papiloma Virus.

"Penyakit ini mengambil masa untuk ke tahap yang berbahaya. Tahap prakanser ialah apabila HPV berada selama lima hingga lapan tahun di dalam rahim.

"Terdapat 100 jenis kuman HPV dan hanya 10 sahaja yang boleh menyebabkan kanser, yang lain itu akan menyebabkan ketuat atau genital warts," jelas beliau.

Dr. Silvam berkata, sebanyak 70 peratus daripada kanser pangkal rahim yang berlaku adalah dari jenis HPV 16 dan 18.

"Justeru itu perlu diingatkan kepada pasangan suami isteri, kalau ada kuman HPV tidak semestinya ada kanser, tetapi jika lama bertahun-tahun kuman tersebut di dalam rahim baru ada perubahan sel mengikut peringkat. Jika dikesan lebih awal ia memang boleh dirawat," ujar beliau.

Dr. Silvam menyarankan setiap wanita yang telah berkahwin untuk membuat ujian Pap Smear iaitu dengan mengadakan ujian berasaskan air atau liquid base cytology. Cara terbaru ini lebih sensitif dan ketepatannya juga lebih tinggi.

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom