Home » » Jaga apa masuk perut

Jaga apa masuk perut

Membaca dan mendengar laporan harian perkembangan jangkitan penyakit influenza A H1N1 menyebabkan ramai bimbang untuk ke luar negara, termasuk tiga rakan penulis yang membatalkan hasrat untuk bercuti, apatah lagi destinasi pilihan termasuk dalam senarai negara yang ada jangkitan itu.

Sememangnya ia langkah baik untuk mengelak risiko jangkitan selain usaha kerajaan menjalankan saringan menyeluruh di semua pintu masuk ke negara ini. Bagaimanapun, ia masih belum cukup kerana sebagai individu kita bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri.

Antara cara yang boleh diambil ialah meningkatkan daya ketahanan badan melalui beberapa langkah mudah iaitu meningkatkan amalan kebersihan, menjaga pemakanan, minum air secukupnya, mengambil makanan tambahan dan bersenam.

Apabila bercakap mengenai daya ketahanan badan, sesetengah pihak percaya ada makanan tertentu boleh meningkatkan sistem pertahanan itu.

Namun pendapat ini kurang tepat kerana semua makanan ada khasiat tersendiri yang saling melengkapi antara satu sama lain, kata Perunding Diet Pusat Perubatan Tropicana, Catherine Kong.

Menurutnya, langkah pertama untuk meningkatkan daya ketahanan badan pada tahap optimum ialah mengamalkan tabiat pemakanan sihat dan seimbang yang mampu membekalkan keperluan khasiat harian.

“Ramai pakar percaya 60 hingga 70 peratus sistem pertahanan badan ada di usus iaitu tempat berlakunya pencernaan dan penyerapan khasiat makanan. Justeru, kita perlu mempunyai usus sihat supaya ia berfungsi dengan baik.

“Bagi mendapatkan usus sihat, kita boleh mengambil makanan probiotik sama ada dalam bentuk pil makanan tambahan, yogurt atau minuman berkultur yang mengandungi bakteria laktobasilus.

“Makanan lain terutama bijirin tidak diproses, buah-buahan dan sayur-sayuran atau sumber serat lain dikelaskan sebagai prebiotik yang bertindak sebagai perangsang kepada pertumbuhan dan aktiviti bakteria baik di dalam usus.

“Usus kita seperti span, yang menyerap semua jenis makanan dimakan. Ini sebabnya kita perlu memberi perhatian kepada apa yang dimakan.

“Sebenarnya bukan susah memberi rangsangan kepada bakteria baik di dalam usus kerana ia boleh dilakukan melalui amalan pemakanan harian dengan mengambil lima hidangan sayur dan buah setiap hari.

“Ada yang bertanya, tidakkah ia terlalu banyak? Jangan risau, masalah berlebihan serat tidak akan atau sukar berlaku kerana secara purata pengambilan serat harian kebanyakan rakyat Malaysia adalah rendah iaitu kira-kira lima gram sehari berbanding jumlah disarankan 20 gram sehari,” katanya.

Walaupun secara teorinya makanan seimbang boleh membekalkan semua zat yang diperlukan badan, tetapi berdasarkan gaya hidup kebanyakan orang yang sibuk dan lebih banyak makan di luar, perkara itu sukar dicapai. Justeru, ambil makanan tambahan seperti multivitamin atau vitamin A, C dan E yang boleh mencegah selesema.

Keperluan pil makanan tambahan berbeza antara setiap individu, tetapi secara umumnya ramai wanita di negara ini kekurangan zink, kalsium dan zat besi. Pengambilan makanan tambahan dapat mengatasi masalah kekurangan khasiat makanan tertentu.

“Dalam keadaan sekarang, kita perlu bertenang dan jangan cepat panik atau terpengaruh dengan dakwaan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.

“Contohnya dengan mengatakan ada produk tertentu boleh meningkatkan ketahanan badan kerana ia sebenarnya boleh diperoleh daripada makanan harian.

“Prinsipnya mudah saja iaitu mesti seimbang, pelbagai dan sederhana. Makanan kita perlu seimbang dengan melebihkan pengambilan sayur dan buah serta pelbagaikan sajian harian anda.

“Ambil pelbagai jenis makanan daripada semua jenis kumpulan makanan secara bersederhana kerana hanya dengan cara ini kita akan mendapat khasiat yang diperlukan badan.

“Buat masa ini elak makanan mentah atau separa masak bagi mengurangkan risiko jangkitan. Minum banyak air masak, mulakan bersenam dan sentiasa patuhi panduan Kementerian Kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga, walaupun masih tiada kes jangkitan virus influenza H1N1 di negara kita,” katanya.

Sehingga artikel ini ditulis, virus influenza A H1N1 merebak ke 21 negara dengan catatan lebih 1,000 kes di seluruh dunia. Bermacam isu dibincangkan dan antara yang menarik ialah tulisan doktor osteopatik dan aktivis kesihatan di Amerika Syarikat yang juga penulis buku kesihatan, Dr Joseph Mercola yang mempunyai pandangan berbeza mengenai jangkitan ini.

Dalam artikelnya, beliau menyebut wabak ini mungkin dicetuskan pihak tertentu (terutama syarikat farmaseutikal) bagi merangsang industri ubat dan vaksin untuk merawat jangkitan selesema dan influenza.

Dakwaan itu dibuat berdasarkan pengalaman lalu yang menyaksikan syarikat farmaseutikal mengaut keuntungan berlipat ganda setiap kali berlakunya jangkitan influenza.

Malah Menteri Kesihatan Indonesia, Siti Fadilah Supari pernah mengatakan influenza A H1N1 mungkin buatan manusia untuk meningkatkan keuntungan syarikat pengeluar ubat.

Berdasarkan laporan Associated Press, penganalisis kewangan menganggarkan jualan vaksin oseltamivir bagi melawan jangkitan virus influenza A dan B akan melonjak ke RM1,358 juta dan jumlah ini adalah anggaran dalam keadaan ketiadaan wabak.

Bayangkan keuntungan yang bakal dikaut dengan adanya wabak seperti sekarang apabila negara di seluruh dunia mula membeli vaksin ini sebagai langkah berjaga-jaga. Bahkan, jumlah kematian akibat dipanah petir jauh lebih tinggi berbanding jangkitan virus ini (juga wabak terdahulu) yang digembar-gemburkan sebagai ‘sangat berbahaya’.

Beliau secara terang-terangan menyatakan kebimbangan kesan negatif vaksin berbanding manfaatnya serta menyarankan beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk kekal sihat tanpa mengambil ubat atau vaksin iaitu:

# Tingkatkan tahap vitamin D (sumber utama ialah cahaya matahari pagi)

# Elak atau kurangkan pengambilan gula pasir serta makanan berproses. Kedua-dua jenis makanan ini boleh merendahkan daya ketahanan badan dengan cepat. Jika anda kurang sihat, minum banyak jus buah tanpa gula yang disediakan sendiri.

# Rehat secukupnya dan tangani tekanan dengan baik.

# Bersenam. Apabila anda bersenam, aliran darah lebih lancar. Komponen sistem imun kita juga diagihkan dengan lebih baik ke seluruh badan. Ini bermakna ia dapat menentang jangkitan dengan lebih cepat sebelum merebak.

# Cuci tangan sekerap mungkin. Kurangkan menyentuh hidung, mata, mulut dan orang lain.

# Masukkan bawang putih dalam masakan. Bawang putih mempunyai ciri antibiotik yang boleh menentang bakteria dan protozoa di dalam badan.

Kekal sihat

> Tingkatkan tahap vitamin D (sumber utama ialah cahaya matahari pagi)

> Elak atau kurangkan pengambilan gula pasir serta makanan berproses.

> Rehat secukupnya dan tangani tekanan dengan baik.

> Bersenam. Apabila anda bersenam, aliran darah lebih lancar.

> Cuci tangan sekerap mungkin. Kurangkan menyentuh hidung, mata, mulut dan orang lain.

> Masukkan bawang putih dalam masakan. Bawang putih mempunyai ciri antibiotik yang boleh menentang bakteria dan protozoa di dalam badan.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN



1 Komen:

sempurnahealth said...

Babi pun dah kena selsema. Sekali bersin, manusia pula mat.. huhu
_____________________

Jemput datang ke blog saya - http://sempurnahealth.wordpress.com
Your source of beauty|healthy|wealthy blog's

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom