Home » Rawatan Sedut Lemak

Rawatan Sedut Lemak

Sudah beberapa kes kematian dicatatkan gara-gara mahu menjadi lebih cantik. Penyanyi terkenal, Ning Baizura, pernah berkata di dalam dunia ini tiada wanita yang tidak cantik; yang ada hanya wanita malas. Malas untuk menjaga diri dengan cara sihat dan selamat. Ramai mahu jalan pintas untuk kurus dan cantik sehingga sanggup mempertaruhkan nasib di tangan orang yang tiada kepakaran.

Antara kaedah popular untuk nampak cantik dengan cepat ialah rawatan sedut lemak. Rawatan ini untuk menghilangkan benjolan kecil lemak yang terkumpul di bawah kulit dan memperbaiki bentuk badan. Bahagian yang selalu diberi rawatan sedut lemak ialah ialah pinggul, abdomen (perut dan pinggang), paha, punggung dan muka. Bagaimanapun, kaedah ini hanya untuk membuang lemak dan tidak dapat mengatasi masalah selulit.

Bagaimanapun perlu diingat, rawatan sedut lemak hanya untuk tujuan kosmetik iaitu memperelokkan bentuk badan yang sekali gus membuatkan seseorang berasa lebih yakin dengan diri sendiri. Ia tiada kesan ke atas tahap kesihatan.

Walaupun ia proses membuang lemak, ia tidak menurunkan paras kolesterol dalam darah kerana lemak yang disedut terletak di bawah kulit.

Malah bagi individu yang alami gejala lemak viseral akibat kegemukan di pinggang (ukuran pinggang melebihi 90 sentimeter bagi lelaki dan 80 sentimeter bagi perempuan), rawatan sedut lemak tidak menghilangkan masalah anda kerana lemak penyebab masalah ada di dalam abdomen.

Walaupun ia kaedah popular di seluruh dunia, bukan semua orang sesuai menjalani prosedur ini. Antara calon terbaik untuk rawatan sedut lemak ialah:

# Mempunyai berat badan normal atau lebih sedikit

# Mempunyai kulit anjal dan tegap. Individu yang ada masalah selulit tidak sesuai kerana kulit boleh alami ketidaknormalan akibat penyedutan terlalu banyak atau sedikit lemak pada bahagian tertentu

# Tahap kesihatan keseluruhan yang baik. Individu yang ada penyakit seperti kencing manis tidak dibenarkan menjalani kaedah ini kecuali jika penyakit mereka terkawal.

# Mengalami masalah pengumpulan lemak pada bahagian tertentu yang sukar atasi melalui diet dan senaman

Menurut Perunding Pembedahan Plastik dan Kosmetik Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Dr Lim Chai Leng, beberapa perkara perlu dipertimbangkan sebelum anda menjalani rawatan sedut lemak, antaranya ialah mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan memilih doktor yang ada kelayakan atau kepakaran dalam bidang ini.

Ini kerana individu yang menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi mempunyai risiko tinggi mengalami komplikasi, terutama jika penyakit tidak terkawal.

Tidak dinafikan ramai keliru untuk memilih doktor, apatah lagi dengan kemunculan banyak pusat kecantikan dan klinik persendirian yang menawarkan rawatan membuang lemak.

“Jangan perjudi nasib anda di tangan orang yang tiada kepakaran atau ada kepakaran dalam bidang lain tetapi menawarkan perkhidmatan sedut lemak.

“Ini sangat berbahaya kerana menyedut lemak di bawah kulit memerlukan kemahiran. Pakar bedah plastik dan kosmetik boleh diumpamakan seperti ‘pengukir’ untuk mengubah keadaan seseorang menjadi lebih baik.

“Saya pernah menerima pesakit muda yang mempunyai paha tidak simetri. Bahagian dalam pahanya melengkung gara-gara rawatan sedut lemak tidak dilakukan dengan teliti. Ia bukan saja memalukan, tetapi pahanya kelihatan cacat dan tidak sama besar.

“Antara cara terbaik untuk mengetahui pakar dalam bidang ini ialah bertanya doktor di klinik yang sering anda kunjungi bagi masalah kesihatan keluarga. Biasanya doktor mempunyai kawan di kalangan pakar atau kenal pakar bedah plastik dan kosmetik.

“Ia dapat mengelak kita mendapatkan perkhidmatan individu yang tiada kepakaran,” katanya.

Setiap orang yang mahu menjalani rawatan ini perlu berbincang dengan doktor dan faham prosedur yang akan dilakukan. Doktor akan memberitahu pilihan terbaik untuk masalah anda, kos dan hasil yang boleh dijangka. Malah ketika ini anda berhak melihat sijil dimiliki doktor.

Apa yang dibimbangkan sekarang ialah adanya segelintir pihak mahu cepat untung dengan mengamalkan strategi pemasaran tidak bertanggungjawab — mengupah orang untuk memasarkan perkhidmatan di klinik mereka.

Antara cara dilakukan ialah memberi rawatan percuma jika seseorang itu mampu membawa sejumlah pelanggan baru.

“Ramai tidak mendapat maklumat secukupnya, terutama doktor yang benar-benar pakar untuk melakukan prosedur sedut lemak. Cari pakar yang tersenarai dalam daftar Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Majlis Perubatan Malaysia (MMC) atau Persatuan Persatuan Pakar Bedah Plastik, Estetik dan Kraniomaksilofasial Malaysia (Mapacs),” kata Dr Lim.

Hospital atau klinik?

Pilihan sama ada mahu menjalani rawatan sedut lemak bergantung kepada jenis rawatan — sama ada membabitkan bahagian kecil atau besar. Secara umumnya, rawatan sedut lemak adalah selamat selagi ia dijalankan pakar yang ada peralatan lengkap iaitu sistem pemantauan (bagi memantau tekanan darah dan nadi), elektrokardiogram (ECG), alat intravena (IV) dan cecair titis sehingga sekurang-kurangnya dua liter.

Prosedur sedut lemak boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu menyedut kurang satu liter, satu liter atau lebih dua liter lemak. Bagi prosedur kecil (satu atau kurang daripada satu liter lemak) boleh dilakukan di klinik yang ada semua kemudahan di atas.

Bagi prosedur besar (melebihi dua liter lemak), disaran dijalankan di hospital kerana bagi setiap liter lemak yang disedut, individu berkenaan kehilangan kira-kira 200 mililiter darah. Untuk prosedur besar (dua liter lemak), seseorang kehilangan sehingga 500 militer darah dan kehilangan ini perlu diganti dengan cecair titis sepanjang tempoh rawatan.

Sebelum pembedahan, anda diberi ubat bius (setempat atau menyeluruh). Sebaik ubat bius bertindak, pembedahan dimulakan menggunakan alat penyedut yang dilekatkan dengan kanula (alat besi kalis karat).

Lebihan lemak disedut menggunakan pam penyedut atau jarum besar. Tempoh rawatan berbeza mengikut jumlah lemak disedut.

Selain itu jika berlaku komplikasi akibat penyakit lain, pesakit boleh dihantar terus ke unit rawatan rapi dengan segera untuk dipantau sepanjang masa. Jadi isu lambat mendapat rawatan susulan tidak timbul jika dijalankan di hospital walaupun kosnya lebih sedikit berbanding di klinik.

“Rawatan sedut lemak hanya untuk mencantikkan bentuk badan. Bagi individu yang ada masalah kesihatan akibat lemak berlebihan dalam badan, pergi bersenam dan kawal makan. Ia memperbaiki tahap kesihatan, sekali gus mengurangkan kandungan lemak dalam badan.

“Rawatan sedut lemak kali kedua hanya boleh dilakukan enam bulan selepas rawatan pertama. Ia bertujuan memberi peluang kepada badan untuk stabil dan semua kesan ubat bius, terutama ubat bius menyeluruh, hilang sepenuhnya. Tidak boleh jalani rawatan sedut lemak berulang kali dalam tempoh singkat. Mesti beri masa untuk badan berehat dan sembuh kerana ketika proses sedut lemak ada banyak sel yang cedera,” katanya.

Seperkara lagi, rawatan sedut lemak bukan kaedah me ngurangkan berat badan dengan segera. Dr Lim berkata, berat badan sebelum dan selepas rawatan sedut lemak tidak banyak berbeza.

“Perut buncit atau boroi menandakan otot perut (abdomen) lemah. Ini sebabnya lemak cepat berkumpul di sini. Satu cara untuk mengatasinya ialah dengan jaga makan dan bersenam untuk menguatkan otot itu semula,” katanya.

Bagi yang ingin menjalani kaedah ini, Dr Lim menyarankan untuk lebih banyak membaca maklumat daripada sumber yang dipercayai. Untuk memilih doktor anda boleh melayari laman web www.mapacs.org.my — yang menyenaraikan nama doktor pakar, hospital dan nombor untuk dihubungi.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN



7 Komen:

Anonymous said...

tak payah malu mmliki badan yg lebih besar dri org lain.untung ape.org bli bju saiz 'xs' kte 'xl'.byar sme.diaorg yg rgi.xyah nk sksa dri lpar sbb nk krus.bktikan msia ade rkyat shat.bkn krus kring x ckp mkn.

Anonymous said...

risaulah kamu jika tak berlemak daripada risau memiliki lemak sbb x cntk pun bdn krus kreng ni.pkai bju pn saiz bdk2.bersyukur dgn apa yg ada.org nk kte ape biarkan mreka.dse dpt kt diaorg phla kt kte.

Anonymous said...

jangan menghina yang kurus kering tu.. tak semestinya semua yang kurus kering itu adalah disebabkan keinginan individu tersebut. genetik juga memainkan peranan. begitu juga yang bersaiz besar. jadi dalam kes ini, kedua-dua jenis individu ini tidak bersalah..tak perlulah nak menghina mereka yang kurus atau mereka yang berbadan besar..

Anonymous said...

slm nk tny u ni doctor ke..?ada buat sedut lemak x? bleh pm to me at ciara3103@gmail about info and the cost..i amat brminat

Anonymous said...

saya saran kan agar pihak wanita hari ini mengulas semula mengenai kaedh sedut lemak,sebab hari tu tak seberapa detail lah penerangan pasal tue..lurve rancangan wanita hari ini banyak memberi manfaat dan kebaikan bagi golongan remaja seperti kami.. by zella Al-Ghodal(kampung sungai Tamang,tawau)

Anonymous said...

Boleh sya tahu effect dia?

Anonymous said...

untuk kurus tak payah makan nasi je..ubat-ubatan ...INI SEMUA POYOOO
...ikut cara saya dari 109kg saya dapat kurang kan sehingga 30kg hanya menggunakan cara yang senang..

tempoh 1-14hari (kurang makan nasi) (ambil luncH)..JE..(AIR TEMBIKAI XMO AIS)
tempoh 15-30hari ( ambil lunch tapi 1/2 nasi lebihnya sayur dan ikan bakar)(AIR TEMBIKAI XMO AIS)
tempoh sterusnya ( amal sistem ini ) jika anda terlalu lapar banyakkan minum AIR TEMBIKAI ...
ANDA AKAN DAPAT HASIL DALAM 2 BULAN.

YANG PALING PENTING MAKAN MALAM SEBELUM PUKUL 8..SELEBIHNYA MINUM AIR TEMBIKAI SAHAJE..

DALAM MASA 2 BULAN BERAT ANDA AKAN TURUN 10-20KG.

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom