Home » » Jerat makanan ringan

Jerat makanan ringan

Sejauh mana ‘kecekalan’ hati si ibu apabila si kecil merengek meminta dibelikan makanan ringan yang nyata kurang menyihatkan? Mampukah pula si ayah ‘menepis’ permintaan manja si anak yang kerap menyebut keenakan ayam atau kentang goreng yang lazimnya menjadi mainan siaran iklan di televisyen?

Sukar menidakkan keinginan anak apatah lagi apabila ibu bapa punya kemampuan untuk memenuhi apa jua selera makan si kecil kesayangan. Ditambah pula dengan gaya hidup seisi keluarga yang lebih senang bersantai di hadapan televisyen atau komputer, tidak mustahil masalah kegemukan juga menjadi-jadi.

Lantas, bukan sesuatu yang mengejutkan jika ramai kanak-kanak kini terjebak dalam masalah berlebihan berat badan dan lebih parah, kegemukan yang keterlaluan atau lebih lazim disebut obes.

Jika kanak-kanak di Amerika Syarikat dianggap juara kanak-kanak gemuk berbanding rakan mereka di negara lain, kanak-kanak Malaysia turut mempamerkan aliran yang tetap membimbangkan.

Laporan awal kajian mengenai tabiat pemakanan dan corak aktiviti fizikal kanak-kanak sekolah rendah di Malaysia menunjukkan seorang daripada empat kanak-kanak didapati mengalami masalah berat badan berlebihan dan obes.

Berdasarkan kajian dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia bersama Nestle itu, lebih 25 peratus kanak-kanak (lelaki dan perempuan) di negara ini didapati mengalami masalah berat badan berlebihan dan obes. Ia lebih ketara di kalangan kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun membabitkan kira-kira 29.3 peratus berbanding 21.4 peratus masalah terbabit dikesan untuk kanak-kanak berusia enam hingga sembilan tahun.

“Kanak-kanak kini hidup selesa dengan bermacam pilihan makanan malah kebiasaannya, kanak-kanak menikmati apa saja makanan yang diberikan ibu bapa mereka.

“Justeru, kesedaran ibu bapa cukup penting malah mereka harus bertanggungjawab untuk menyediakan makanan yang menyihatkan untuk keluarga apatah lagi, anak-anak mungkin mudah tertarik pada pelbagai jenis makanan tidak berkhasiat yang banyak dijual di merata tempat khususnya di luar pagar sekolah,” kata Pensyarah Pemakanan, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Norimah A Karim, pada pembentangan laporan awal kajian terbabit di ibu negara, baru-baru ini.

Pada masa sama, menurutnya, kanak-kanak di peringkat usia antara enam hingga 12 tahun itu juga didapati tidak aktif.

“Baik dari segi pemakanan mahupun gaya hidup aktif, ia perlu bermula dari rumah. Kajian dijalankan Kementerian Kesihatan 2002-2003 menunjukkan hanya 14 peratus golongan dewasa melakukan senaman.

“Jika golongan dewasa sendiri kurang bersenam, bagaimana pula mahu mendidik generasi lebih muda khususnya anak-anak untuk bersenam?” katanya.

Turut memburukkan keadaan apabila sesetengah sekolah menggunakan waktu mata pelajaran Pendidikan Jasmani untuk mengajar mata pelajaran akademik khususnya di peringkat kelas yang bakal menduduki peperiksaan penting pada tahun berkenaan.

Hadir sama pada pembentangan laporan awal berkenaan adalah Profesor Dr Mohd Ismail Noor, Profesor Madya Dr Ruzita Abd Talib dan Profesor Madya Dr Poh Bee Koon.

Kajian bermula pada Ogos 2007 itu selesai dilaksanakan pada Mac 2009 membabitkan kira-kira 13,000 pelajar di seluruh negara. Bagaimanapun, laporan awal terbabit menunjukkan keputusan yang diperoleh daripada soal jawab bersama kira-kira 9,000 pelajar di seluruh negara, tidak termasuk Johor dan Melaka.

Masalah kanak-kanak berlebihan berat badan dan obes mungkin dianggap sering melanda kanak-kanak di bandar, namun menurut Prof Ismail yang juga Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, agak menarik apabila kajian turut mendapati kanak-kanak yang mengalami masalah berat badan dan obes lebih ramai di kawasan luar bandar.

“Ia mungkin berpunca daripada pelbagai faktor apatah lagi kawasan luar bandar kini bukanlah seperti zaman dulu. Kawasan luar bandar kini mempunyai pelbagai kemudahan termasuk sistem pengangkutan yang lebih baik. Bermacam jenis makanan boleh didapati dengan mudah manakala aktiviti fizikal pula kurang memberangsangkan.

“Pada masa sama, kesedaran terhadap gaya hidup yang menyihatkan juga mungkin agak rendah di kalangan penduduk di kawasan luar bandar,” katanya.

Berdasarkan kajian berkenaan, kanak-kanak di sekolah rendah nyata tidak begitu aktif sama ada pada waktu sebelum kelas bermula atau selepas kelas. Selepas waktu sekolah, kanak-kanak lelaki didapati lebih banyak melakukan pergerakan apabila kira-kira 30 peratus daripada mereka aktif bermain (sama ada berlari atau terbabit dalam permainan).

Namun, bagi kanak-kanak perempuan, 50 peratus daripada mereka lebih senang duduk membaca atau bersembang daripada terbabit dalam permainan manakala hanya 15 peratus aktif berlari atau bermain.

Pembabitan dalam bidang sukan di kalangan pelajar sekolah rendah di bandar dan luar bandar juga tidak jauh berbeza iaitu hanya 53.4 peratus pelajar di bandar yang bersukan dan 58.7 peratus di luar bandar.

Laporan penuh kajian berkenaan yang turut meliputi pengambilan sarapan, tabiat pengambilan makanan ringan dan aktiviti fizikal kanak-kanak sekolah rendah itu dijangka dibentangkan pada Ogos ini.

Oleh Rahayu Mohd Salleh



0 Komen:

Catat Ulasan

Affiliates

 
Chatroom