Home » » Lelaki Dan Sukan

Lelaki Dan Sukan

Hampir semua lelaki suka bersukan. Tidak percaya, tanyalah rakan lelaki di sebelah. Rata-rata lelaki moden suka bersukan. Biar tidak mahir mengawal bola di padang futsal atau melakukan servis hebat di gelanggang tenis, peluh tetap mengalir setiap hari dek taksub dengan aktiviti fizikal ini.

Jika ditanya mengapa lelaki sukan bersukan, jawapan yang diterima tentunya berbeza. Bagi segelintir lelaki, jawapan yang mungkin diluahkan berkisar kepada budaya dan kecenderungan gaya hidup yang memperlihatkan ciri keperkasaan pemilik kromosom XY ini. Tidak macholah kalau lelaki tidak bersukan!

Dalam senario sekarang, persekitaran dan kelompok teman sebaya banyak mendorong lelaki bersukan. Daripada sukan bermusim hinggalah acara sukan utama seperti bola sepak, futsal, bowling dan badminton - semuanya menyaksikan diari lelaki saban hari dipenuhi aktiviti sukan selepas waktu kerja.

Andai memerhati atau meneliti tabiat lelaki, nyata acara sukan menjadi sebahagian daripada agenda wajib mereka saban hari. Malah, sesetengah lelaki memulakan hidup awal pagi dengan bersenam di gimnasium. Habis waktu kerja, berkunjung ke gimnasium sekali lagi atau mengikut teman bermain badminton atau futsal di gelanggang.

Tidak cukup beraksi di padang, di rumah, lelaki sanggup bersengkang mata demi menonton perlawanan bola sepak Liga Inggeris di kaca televisyen pula. Perlawanan yang disiarkan secara langsung dari benua Eropah itu wajib diikuti, malah tidak lengkap perjalanan hari tanpa menonton aksi pemain bola sepak pujaan.

Demam bola menolak istilah mengantuk atau tidur. Lelaki fanatik bola pasti tidak mahu ketinggalan biar seminit pun untuk menyaksikan detik menarik perlawanan bola sepak pasukan favourite. Jangan tidak, detik gol dijaringkan mesti disaksikan bagai diri berada dalam stadium.

Jika pasukan yang disokong menang, lain pula ceritanya. Mood lelaki fanatik bola pasti okay keesokannya - seolah-olah merekalah yang mewakili kelompok kesebelasan utama pasukan bola sepak yang disokong. Andai pasukan yang diminati tewas pula, faham-faham sajalah bagaimana pula reaksi mereka.

Keghairahan lelaki pada bidang sukan memperlihatkan perubahan besar dalam hidupnya. Sejak kecil hingga dewasa, persekitaran hidup lelaki terus berkisar dunia sukan. Tanyalah mana-mana lelaki, sudah tentu mereka mempunyai sukan kegemaran mereka.

Jika bukan sukan lazim seperti bola sepak, futsal dan bowling, ada banyak lagi acara sukan yang boleh disertai lelaki. Bagi lelaki, sukan mampu memberikan mereka tenaga dan aktif sepanjang masa.

Selain minat mendalam terhadap bidang sukan, ada juga lelaki yang menyertai acara sukan terutama gimnasium bagi memperoleh tubuh idaman. Bagi mereka, otot sasa menyerlahkan ciri kelakian dan maskulin.

Disebabkan itulah, ada kelompok lelaki sanggup menghabiskan masa berjam-jam di gimnasium. Mereka sanggup mendera diri mengangkat peralatan berat semata-mata mahu memiliki tubuh berotot. Namun, ada juga lelaki ‘mendera’ diri kerana mahu kelihatan hebat dan menjadi sebahagian daripada komuniti moden yang bersenam di gimnasium.

Menyentuh rutin senaman di gimnasium, lucu memikirkan ada juga lelaki terkena tempias cinta lokasi. Lelaki yang diserang penyakit cinta, sanggup menghabiskan masa berjam-jam di gimnasium demi niat mendekati gadis yang ditemui di premis sama.

Tidak kiralah gimnasium, pusat bowling atau gelanggang futsal - semuanya memungkinkan lelaki bertemu idaman hati. Daripada sekadar bersapa hinggalah bertukar nombor telefon, hubungan yang terjalin boleh membawa mereka ke jinjang pelamin.

Bagi lelaki berkahwin yang gemar bersukan, pantang bagi mereka andai waktu bersenam dihadkan isteri. Pantang juga bagi lelaki andai isteri atau teman wanita mempersoalkan hobi mereka semata-mata atas alasan kurang memberi perhatian kepada pasangan.

Begitulah kemaruk lelaki yang gemar bersukan. Masing-masing ada alasan sendiri. Namun, siapapun tidak boleh menafikan kebaikan melakukan senaman atau bersukan. Selain menyihatkan tubuh badan, kegiatan sukan dapat meredakan ketegangan, stress atau gangguan emosi yang andai dilayan, mampu menjadikan situasi bertambah buruk.

Lelaki disaran memilih acara sukan yang sesuai dengan minat dan kemampuan diri. Janganlah mendera diri melakukan senaman atau sukan ekstrim andai tubuh badan tidak mengizinkan. Bersukan secara rileks seperti berlari anak atau berjalan laju juga mampu memberi kesan baik kepada tubuh badan.

Jika suka bersenam di gimnasium pula, ada baiknya lelaki mendapat khidmat jurulatih supaya rutin yang dilakukan tidak menyeksa badan.

Selamat bersukan!

10 acara sukan pilihan lelaki

1. Bola sepak

Bukan saja di Malaysia, sukan ini mencipta fenomena dan menjadi antara sukan paling popular di seluruh dunia. Acara bola sepak sudah menjadi suatu jenama yang memberi impak besar terhadap ekonomi dan pelaburan. Lihat saja tiba detik Piala Dunia yang mencetuskan demam bola sepak sejagat.

2. Kriket

Sukan yang menggabungkan kerjasama sepasukan dan kecemerlangan lontaran ini menjadi sukan popular di lebih 25 negara. Kriket popular semestinya di India selain Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan Australia. Tidak ketinggalan, kriket mewarnai acara sukan di England, Afrika Selatan, Kenya dan New Zealand.

3. Tenis

Sukan popular ini menduduki lima tangga teratas senarai sukan pilihan di 50 negara. Antara negara yang sebati dengan sukan tenis ialah Amerika Syarikat (AS), Eropah, Australia, India dan negara lain di Asia. Malah, sukan ini antara yang memberikan imbuhan lumayan kepada bintangnya malah dilantik menjadi duta jenama sukan terkenal.

4. Hoki

Pengaruh sukan hoki di kalangan peminat di Asia Tenggara tercetus sejak lebih 50 tahun dulu. Selain menjadi sukan popular di seluruh dunia, hoki turut tersenarai sebagai lima sukan pilihan teratas di India, Bangladesh, Australia, Argentina, Belanda, Korea Selatan, Jerman dan Malaysia.

5. Besbol

Paling mendapat sambutan di sembilan negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Korea, Cuba dan Taiwan. Besbol menjadi antara acara sukan yang mempunyai peminat ramai. Jumlah peminat sukan ini mencapai 240 juta orang di seluruh dunia. Ini secara tidak langsung memberikan pendapatan lumayan di kalangan pemain hingga menjadikan mereka bintang sukan termewah dunia.

6. Bola keranjang

Sukan ini sinonim di Amerika Syarikat (AS) dan China. Banyak negara lain seperti Filipina juga mempunyai kelompok peminat ramai. Kejohanan NBA antara yang mendapat sambutan hangat dan disaksikan lebih 230 juta peminat seluruh dunia.

7. Bola tampar

Selain Amerika Syarikat (AS), kira-kira 100 negara lain di seluruh dunia menggemari sukan bola tampar. Tidak hairan, lebih 200 juta pengikut sukan bola tampar di seluruh dunia mengikuti perkembangan sukan ini. Kekuatan pukulan, merangka strategi dan semangat kesukanan antara tarikan utama sukan bola tampar.

8. Ping pong

Realitinya, ping pong menduduki tangga kedua sukan paling popular di China dan menjadi pilihan di kalangan lima sukan popular di banyak negara. Kepantasan dan kemahiran menjadi antara faktor utama dalam perlawanan ping pong. China semestinya mendominasi sukan popular ini.

9. Ragbi Kelompok negara seperti New Zealand, Fiji, Australia, Afrika Selatan, Wales, England, Perancis dan Argentina adalah nama gergasi yang mempunyai pemain hebat dalam sukan ragbi. Menjadi antara sukan kegemaran di kebanyakan negara, sukan ini mempunyai lebih 200 juta pengikut, sekali gus meletakkan ia sebagai sukan kesembilan paling popular di seluruh dunia.

10. Golf

Jumlah pengikut sukan ini merentasi Amerika Syarikat (AS) hingga ke Australia. Sukan golf dikatakan mempunyai lebih 200 juta peminat. Golf yang mendapat jolokan sukan orang kaya antara sukan profesional yang melahirkan ramai bintang terkenal, termasuk ikon golf, Tiger Wood.

Oleh Fairuz Zaidan



0 Komen:

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom