Home » » Merasai kemanisan iman

Merasai kemanisan iman

Dalam kehidupan setiap umat Islam diberikan nikmat iman oleh Allah s.w.t. Dalam mencari kedamaian dan keharmonian hidup seharian, sebagai umat Islam kita mestilah mempunyai prinsip hidup murni dan sihat.

Tingkat nikmat iman dan kemanisan iman yang dikecapi seseorang bergantung kepada prinsip hidup ini iaitu kasih kepada Allah dan Rasul-Nya mengatasi segalanya di samping kasih kepada manusia, dengan tujuan menuntut keredaan Allah dan benci kekufuran.

Seruan dan peringatan Allah kepada manusia supaya beriman kepada-Nya. Rasulullah s.a.w bersabda Allah ‘azza wajalla berfirman yang bermaksud: “Anak Adam mendustakan Aku padahal tidak seharusnya dia berbuat demikian.

Dia mencaci Aku padahal tidak seharusnya demikian. Adapun mendustakan Aku adalah dengan ucapannya bahawa Allah tidak akan menghidupkan aku kembali sebagaimana menciptakan aku pada permulaan. Ketahuilah bahawa tiada ciptaan (makhluk) pertama lebih mudah bagi-Ku daripada mengulangi ciptaan. Adapun caci-makinya terhadap Aku ialah dengan berkata, ‘Allah mempunyai anak’. Padahal Aku Maha Esa yang bergantung kepada-Ku segala sesuatu. Aku tidak beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada seorang pun setara dengan-Ku.” (Riwayat Bukhari)





Manusia yang tidak beriman akan selalu lupa akan nikmat ciptaan Allah terhadapnya. Manusia yang tidak bersyukur akan menjadi kufur dan lupa akan tujuan mereka dihidupkan di dunia ini sebagai khalifah Allah.

Hal ini terdapat pada manusia yang sering melakukan maksiat dan lupa akan nikmat yang dikecapi.

Dalam hadis Qudsi dijelaskan bahawa Allah berfirman yang bermaksud: “Hai anak Adam, kamu tidak adil terhadap-Ku. Aku mengasihimu dengan kenikmatan-kenikmatan tetapi kamu membenci-Ku dengan berbuat kemaksiatan. Kebajikan-Ku turunkan kepadamu dan kejahatan naik kepada-Ku. Selamanya malaikat yang mulia melaporkan mengenai kamu setiap siang dan malam dengan perbuatanmu yang buruk. Tetapi hai anak Adam, jika kamu mendengar perilakumu daripada orang lain dan kamu tidak tahu siapa disifatkan pasti kamu akan cepat membencinya.” (Ar-Rafii dan Ar- Rabii’)

Begitulah perilaku manusia tidak beriman yang digambarkan Allah.

Sebagai manusia beriman, perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku dalam kehidupan di dunia ini.

Bagi memperkukuh keimanan dan mengecap kemanisan iman, Rasulullah menjelaskan dalam sabdanya yang bermaksud: “Tiga perkara menyebabkan terasa kemanisan iman, Allah dan Rasul-Nya hendaklah dicintai lebih daripada yang lain, mencintai manusia kerana Allah semata-mata dan benci kembali kepada kekufuran sebagaimana bencinya seseorang untuk dicampakkan ke dalam api neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menerusi hadis di atas dapat difahamkan bahawa begitu tingginya tahap kemanisan iman yang harus dicapai setiap umat Islam, yakni merasai betapa bahagianya hidup menjadi umat Islam yang beriman dalam ketenangan dan kedamaian.

Sementara dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Iman terbahagi dua, separuh dalam sabar dan separuh lagi dalam syukur.” (Riwayat Al-Baihaqi).

Seterusnya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Iman paling afdal ialah apabila kamu mengetahui bahawa Allah selalu menyertaimu di mana sahaja kamu berada.” (Riwayat At Tabrani)

Beberapa contoh keimanan kental antaranya Nabi Ayub a.s dilanda musibah selama tujuh tahun, semua harta kekayaan musnah, semua anaknya terkorban, baginda ditimpa penyakit serta disisihkan masyarakat, akhirnya ditinggalkan isterinya, namun baginda tetap bahagia dan merasai kelazatan iman dan lidahnya sentiasa berzikir mengingati Allah.

Contoh lain, Bilal Ibnu Rabbah r.a apabila memeluk Islam, dia didera secara kejam oleh tuannya. Dia dijemur di tengah panas terik dan disebat berkali-kali supaya kembali kepada kekufuran dan menyembah berhala.

Namun kerana kekentalan iman, Bilal tidak meninggalkan Islam yang dianuti. Dengan hati tenang dia merasai nikmat kemanisan iman.

Sebagai ibu bapa, pendidikan keimanan kepada anak sejak kecil lagi sangat penting. Al-Quran petunjuk yang sentiasa memberi pendidikan dan pengajaran bagi manusia supaya dapat membentuk keimanan sempurna.

Proses pendidikan iman manusia haruslah diterapkan sejak manusia mengenal perkara baik dan buruk di peringkat kanak-kanak. Pendidikan keimanan mendidik manusia mengenal dan meyakini adanya perkara ghaib yang wajib dipercayai melalui rukun iman, hari akhirat, qada dan qadar serta syariat Islam.

Tujuan pendidikan keimanan antara lain untuk memberi keyakinan bahawa manusia perlukan pertolongan Allah dalam segala urusan duniawi dan ukhrawi.

Firman Allah yang bermaksud: “Hanya Engkaulah (ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami minta pertolongan. Tunjukkanlah (hati) kami ke jalan yang lurus.” (Al-Fatihah: 5)

Selain itu, untuk mengambil peringatan mengenai hukum Allah dan kewajipan mentaatinya. Seterusnya mendidik manusia supaya mencintai Allah, Rasulullah dan keluarganya dengan membiasakan diri membaca al-Quran.

Pendidikan keimanan juga mendidik manusia meyakini kekuasaan dan segala ciptaan-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang berbuat kebaikan seberat zarah akan melihat (balasannya) dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarah akan melihat (balasannya).” (Az-Zalzalah: 7-8)

Pendidikan keimanan juga memberi motivasi dengan semangat tekun berusaha, supaya manusia tidak bergantung kepada takdir semata-mata untuk mencapai kejayaan hidup.”

Melalui keimanan mantap akan mengingatkan manusia supaya tidak melupakan kepentingan hidup di akhirat ketika hidup di dunia.

Fiman Allah yang bermaksud: “Dan carilah apa-apa yang dikurniakan Allah kepada kamu (kebahagiaan) akhirat dan janganlah kamu melupakan kebahagiaan dari (nikmat) dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik terhadap kamu.” (Al-Qasas: 77)

Kesimpulannya, pendidikan keimanan faktor penting yang mendidik dan membentuk sahsiah manusia yang teguh iman dan berakhlak mulia, berakal budi murni serta memperlihatkan teladan baik.



0 Komen:

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom