Home » » Risiko obesiti

Risiko obesiti

Apabila membincangkan tentang isu kesihatan dan kesejahteraan, berat badan yang berlebihan sering dikait dengan penyakit jantung.

Apatah lagi sekarang ini, bilangan rakyat yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti kian meningkat.

Faktor pemakanan yang tidak seimbang dan kurang melakukan senaman dikatakan antara punca masalah ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih satu bilion manusia seluruh dunia mengalami masalah berat badan dan jika berterusan kadar obesiti akan meningkat sehingga 1.5 bilion menjelang 2015.

Lebih membimbangkan, obesiti merupakan punca utama risiko penyakit jantung.

Tanpa kesedaran mengambil makanan sihat dan senaman, penyakit ini agak sukar dikawal.

Justeru itu, pendidikan tentang gaya hidup sihat perlu diterapkan sejak peringkat kanak-kanak lagi.

Menurut Pakar Diet Pusat Perubatan Sunway (PPS), Ho Wan Mi, walaupun risiko mendapat serangan jantung di kalangan kanak-kanak tidak tinggi, didikan pemakanan sihat amat penting.

"Trend kanak-kanak sekarang yang semakin gemuk, menyedarkan masyarakat tentang perlunya mengawal berat badan. Misalnya, jika golongan remaja yang berumur 15 tahun mempunyai berat 100 kilogram, ia merupakan petanda yang dia mudah mendapat serangan jantung kelak," jelasnya yang ditemui di PPS, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Jika kanak-kanak mempunyai berat badan berlebihan, mereka perlu mengurangkan pengambilan makanan manis atau berlemak tinggi.

Sebaliknya, jika mereka mempunyai berat badan normal, pemakanan seperti biasa adalah memadai.

Justeru itu, keluarga perlu memainkan peranan penting dalam mengawal pemakanan kanak-kanak.

"Di PPS misalnya, diwujudkan Lean Club yang terbahagi kepada dua kategori iaitu kanak-kanak dan dewasa. Bagi kanak-kanak, pendidikan tentang diet yang betul akan diterapkan melalui program ke sekolah yang terpilih.

Amat penting bagi kanak-kanak mengekalkan berat badan yang seimbang untuk mengurangkan risiko penyakit jantung.

Apabila masuk ke alam dewasa, ditakuti kanak-kanak tidak mampu mengawal berat badan yang mengundang serangan jantung," jelasnya.

Bagi golongan dewasa, mengawal kolestrol, darah tinggi dan diabetes amat perlu untuk mencegah diserang penyakit jantung.

Namun, pengambilan pemakanan yang sihat perlu untuk memberi tenaga.

"Orang ramai digalakkan mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi kolestrol dan lemak tepu.

Bagi mereka yang menghidap darah tinggi dan kencing manis, pesakit perlu mengurangkan pengambilan garam dan gula," katanya.

Secara keseluruhannya, golongan dewasa perlu mengambil diet sihat mengikut piramid makanan.

Mengulas tentang keperluan susu untuk kesihatan jantung, Wan Mi memberitahu, ia bergantung kepada kandungan susu tersebut.

Susu baik untuk kesihatan dan ia mungkin boleh dijadikan sebahagian pengambilan makanan diet.

Namun, gaya hidup yang sihat ditambah penjagaan pemakanan dapat mengurangkan risiko menghidap sakit jantung.

- RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom