Home » » Amalan penutup pantang

Amalan penutup pantang

Kesilapan menguruskan diri ketika dalam pantang mungkin boleh membawa kesan yang tidak baik kepada wanita kemudian hari seperti mengalami lemah sendi, sakit kepala, pening, badan lesu dan lebih memburukkan keadaan, fikiran menjadi tidak menentu serta bayi yang baru dilahirkan mungkin akan turut terkena tempias penyakit yang dialami ibu.

Sehubungan itu, berpantang amat dititikberatkan terhadap wanita selepas bersalin tanpa mengira bangsa walaupun ia amat sukar dilakukan lantaran banyak peraturan perlu dipatuhi sepanjang proses berkenaan berlangsung kerana rutin itu membawa kebaikan kepada ibu.



Pengamal herba dan rawatan tradisional Shadira Post Natal & Beauty House (Shadira), Hazeera Banu Ramjan Din, berkata wanita lazimnya hanya mengamalkan proses berpantang saja tanpa mengetahui ‘penutup pantang’ juga termasuk dalam rawatan yang perlu dilakukan.

“Berpantang memang perkara yang sudah sekian lama dilakukan, tetapi rawatan penutup pantang yang saya maksudkan ini agak berbeza kerana ia perlu dilakukan dengan berhati-hati, terutama membabitkan langkah dan peraturan yang hendak dilakukan.

“Bahkan, bahan yang digunakan juga adalah yang terpilih kerana bukan semua herba boleh digunakan untuk dijadikan bahan penutup rawatan pantang,” katanya ketika ditemui di premis berkenaan, baru-baru ini.



Beliau berkata, rawatan penutup pantang adalah amalan tradisional yang sudah pupus dalam masyarakat walaupun rawatan berkenaan perlu dan membawa kebaikan kepada mereka yang melakukannya.

“Pada zaman dulu, bidan kampung akan memandikan ibu bersalin dengan menggunakan air kolah masjid yang direbus dengan herba seperti daun semambu, serai wangi, daun sirih, daun inai dicampur dengan ibu kunyit bertujuan memenuhi syarat menutup pantang selepas bersalin sekali gus mandi nifas.

“Tindakan itu juga dilakukan bertujuan menyucikan diri daripada darah kotor seperti darah bentan dan perkara lain yang mungkin memudaratkan diri wanita selepas bersalin,” katanya.

Hazeera berkata, setiap wanita perlu mengambil berat mengenai kebersihan diri baik secara lahir atau batin kerana apabila badan berada dalam keadaan bersih, fikiran menjadi tenang dan seterusnya memudahkan ibu menjaga anak atau menjalani kehidupan bersama bayi yang baru dilahirkan dalam keadaan yang lebih selesa.

“Wanita yang mengabaikan penjagaan diri yang rapi akan menjejaskan kesihatan diri pada masa akan datang. Kemungkinan akan berlaku kebas kaki dan tangan, urat kembang, urat timbul, sakit otot dan sendi, sakit pinggang serta tekanan.

“Lebih membimbangkan akan berlaku lelehan faraj yang berbau, tetapi tidak sewajar dialami wanita, daya kemutan yang tidak kuat, badan menjadi malas, perut boroi, payu dara kecut dan kendur serta pelbagai lagi masalah dalaman yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Katanya, selain gejala berkenaan, ada banyak lagi penyakit lain yang boleh menyerang wanita sekiranya tidak berpantang dengan betul atau melakukan rawatan penutup pantang yang sepatutnya. Keputihan yang ketara, pendarahan atau ketumbuhan fibroid antara yang mungkin terjadi.

”Sehubungan itu, Shadira sebagai pengamal rawatan tradisional memperkenalkan tiga jenis rawatan penutup pantang yang boleh dipilih oleh ibu yang ingin mendapatkan rawatan berkenaan, iaitu penutup pantang Diraja, penutup pantang Impiana dan Penutup Pantang Ibunda.

“Ketiga-tiga jenis rawatan ini berupaya menyempurnakan daya kemutan, merapatkan saluran faraj, memperkemaskan rahim yang kendur dan menjamin kepuasan perhubungan suami isteri,” katanya.

Impiana mempunyai tujuh langkah iaitu wap herba, lulur badan, mandi biasa, rendaman, mandi bunga sintok, urut tradisional sengkak peranakan dan tungku perut yang mana setiap langkah diiringi doa ketika proses rawatan dilakukan.

Sekiranya memilih Ibunda, rawatan yang akan dilakukan ialah tangas wap herba, lulur kampung, mandi biasa, mandi bunga dan urut tradisional sengkak peranakan, manakala Diraja pula mengandungi tujuh langkah, wap herba, lulur badan, mandi kerangka, rendaman, urut selasih ulung, tungku dan tangas.

Selain menyediakan rawatan penutup pantang, Shadira juga menawarkan perkhidmatan penjagaan ibu bersalin di rumah dengan penjaga pantang akan menetap bersama ibu bersalin mengikut tempoh keperluan ibu berkenaan.

“Ada banyak lagi rawatan dan perkhidmatan berkaitan kesihatan wanita yang boleh diperoleh di Shadira. Rawatan ini juga tidak terhad kepada pengunjung Melayu kerana kami mengalukan-alukan bangsa lain yang berminat mendapatkan rawatan di pusat kecantikan ini,” katanya.

Shadira


Lokasi: Brickfield, Kuala Lumpur

Rawatan: Spa, urutan, urutan bagi wanita selepas bersalin dan banyak lagi.

Telefon: 012-2141780, 017-4760197

Laman web: www.shadirabeauty.com.

Oleh Shaidah Shafie



0 Komen:

Catat Ulasan

Affiliates

 
Chatroom