Home » » Remaja Singapura obses kurus

Remaja Singapura obses kurus

Kecenderungan golongan remaja di republik itu yang mahu kurus mengakibatkan ramai yang menghidap anoreksia sekali gus menimbulkan kebimbangan pakar-pakar perubatan.

Bagi sebahagian besar remaja Singapura, Fauzi Rassull merupakan idola mereka. Lelaki bertubuh langsing yang berumur 20 tahun dengan ketinggian 1.73 meter dan berat badan 60 kilogram (kg) itu turut meletakkan gambar dalam laman webnya. Beliau dianggap antara blogger popular dalam di kalangan remaja yang hidup mewah dan mempunyai cita rasa dalam berfesyen di kota Singa.

Melalui laman webnya, para pengikut Fauzi dapat berkongsi tip-tip pemakanan beliau. Fauzi mengamalkan makan dua kali sehari iaitu roti, mi segera dan salad.

Bertubuh langsing kini menjadi kegilaan sebahagian remaja dan lelaki dewasa Singapura, namun pakar-pakar memberi amaran bahawa sindrom tersebut menimbulkan kebimbangan lebih ramai yang menghidap masalah gangguan pemakanan.

"Saya tidak menganggap diri saya kurus dan saya tidak rasa saya kurus sekarang," ujar beliau yang masih berusaha menurunkan berat badannya daripada 60 kg ke 53 kg.

Anoreksia

Bagaimanapun, berat badan impian Fauzi itu di bawah paras julat sihat Indeks Tubuh Keseluruhan (BMI) yang digunakan di kebanyakan negara untuk mengukur lemak dalam badan.

Lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu tetapi hanya menjual iklan menerusi blognya mungkin berdepan dengan risiko penyakit kekurangan nutrisi dan osteoporosis berdasarkan skala BMI Lembaga Promosi Kesihatan Singapura.

Fauzi yang memiliki laman blog The Male Bitch dan dipilih sebagai laman blog paling popular selama empat tahun berturut-turut pada tahun 2009 turut menafikan yang dia mempromosi corak pemakanan anoreksia.

"Saya hanya inginkan tubuh yang kurus, bagaimanapun ramai yang tersalah anggap mereka kurus kerana menghidap anoreksia," kata Fauzi yang merujuk kepada surat-surat yang menuduhnya menggalakkan penyakit gangguan pemakanan dalam kalangan remaja.

Kajian mendedahkan anoreksia menjadi satu endemik di kebanyakan negara di Asia termasuklah Jepun, Korea Selatan dan India.

Tanpa mengecualikan Singapura, Program Gangguan Pemakanan Hospital Besar Singapura melaporkan menerima lima kes baru setiap bulan. Sebahagian besar kes-kes seumpamanya dikendalikan oleh klinik-klinik swasta.

Menurut pakar psikiatri, Ken Ung yang membuat kajian berhubung anoreksia daripada 3.64 juta populasi Singapura, 13.4 peratus terdiri daripada mereka yang berumur di antara 15 hingga 24 tahun. Kelompok itu katanya berisiko tinggi menghidap penyakit tersebut.

Ung berpendapat, masalah gangguan pemakanan yang dianggap unik itu menyebabkan ia menjadi tarikan di kalangan remaja.

Beliau juga tidak bersetuju dengan laman web-laman web dan blog yang dipercayai mempengaruhi remaja.

"Laman web seperti ini harus dibekukan kerana ia mendatangkan kemudaratan kepada golongan remaja yang mudah terpedaya dengan dakyah media," tegas beliau. Begitu juga dengan laman web sosial seperti Facebook.

Fauzi yang mempunyai kumpulan maya di dalam laman web Facebook iaitu Get Thin or Die Trying dengan pengikut kumpulan terbabit seramai 900 orang. Bagaimanapun, Facebook telah mengharamkan kumpulan Fauzi pada April lalu.

Beliau turut diberi amaran dan larangan untuk membentuk kumpulan maya selepas beberapa kali cubaan.

Antara satu salinan yang dihantar kepada Fauzi ialah laman tersebut sama sekali tidak membenarkan kumpulan maya yang dibenci, memberi ancaman dan tidak bermoral.


Skeptikal

Fauzi yang juga pengasas kumpulan maya melalui laman web sosial Friendster iaitu The Thinspo Club menyatakan bahawa dia hanya berniat untut membentuk kumpulan di mana ahli-ahlinya berkongsi pendapat yang sama untuk mempelajari tip-tip mengurangkan berat badan.

"Saya juga mahu seluruh rakyat Singapura menjalani gaya hidup yang sihat," tegas beliau.

Sebaliknya Lee Huei Yen, seorang pengarah Program Gejala Pemakanan Tidak Sihat agak skeptikal dengan pandangan Fauzi dan menyuarakan keraguannya terhadap diet yang diamalkan lelaki itu.

"Saya merasakan beliau tidak mengamalkan diet yang betul dan seimbang dan kemungkinan individu ini menghidap penyakit gangguan pemakanan yang tidak sihat," ujar beliau secara terus-terang.

Seorang model sambilan, Braberry Paula Elizabeth juga turut menyuarakan kebimbangan terhadap obsesi Fauzi untuk kurus.

"Bagi saya, susuk tubuh beliau sangat kurus tapi saya kurang pasti sama ada beliau mahu kelihatan kurus lagi," kata model yang berumur 19 yang memiliki susuk tubuh ideal. Elizabeth juga pernah menyertai pertandingan ratu cantik yang dianjurkan oleh majalah bikini FHM Singapura.

"Melangsingkan tubuh satu perkara, tetapi ada had untuk apa juga yang kita lakukan," katanya.

Fauzi kini tekad untuk mengejar impiannya untuk menjadi seperti idolanya iaitu sosialis terkenal Amerika Syarikat (AS), Paris Hilton.

"Dia merupakan personaliti kegemaran saya, dia sangat cantik dan sebab itu saya mahu menjadi sekurus mungkin.

"Semua ini adalah semata-mata mahu mengejar glamor." - AFP



0 Komen:

Catat Ulasan

Affiliates

 
Chatroom