Home » » Anak Sindrom Down

Anak Sindrom Down

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak Sindrom Down (satu anomali atau masalah genetik yang dikenali juga sebagai Trisomi 21), masalah yang meresahkan mereka ialah kesukaran anak mereka untuk menelan makanan walaupun dalam bentuk cecair.

Bagi ibu bapa yang menghadapi masalah ini, mereka agak keberatan untuk melaporkannya melainkan hanya bila ditanya secara khusus oleh pakar pediatrik tentang isu itu.

"Pakar pediatrik terpaksa menanyakan secara spesifik sama ada komplikasi dari masalah (Sindrom Down) itu wujud atau tidak pada anak mereka," menurut Dr Nelly Lim ,seorang pakar kanak-kanak di sebuah institusi kesihatan di sini.

Kata beliau, pertanyaan itu perlu untuk mengenali bentuk serta kaedah rawatan bagi anak-anak yang mengalami masalah berkenaan.

MULUT KECIL, LIDAH BESAR

"Anak Sindrom Down mempunyai masalah terhadap fungsi motor (pergerakan) oral (mulut) dan ini menyebabkan mereka mempunyai risiko terhadap gerak menelan dan disfagia (kesukaran menelan) akan berlaku.

"Bila terjadinya situasi sebegini, pemakanan bagi anak itu akan terencat", kata beliau.

Dr Lim berkata anak Sindrom Down biasanya mempunyai mulut yang kecil serta lidah yang secara relatifnya lebih besar. Lidah yang besar ini mempunyai tonus (tegangan) otot yang lemah dan biasanya lidah ini akan terjelir keluar dari mulut. Ini ialah antara faktor yang menyebabkan disfagia", kata beliau.

Semasa peringkat bayi, anak Sindrom Down mengalami kesukaran untuk menyusui sama ada daripada ibu atau botol susu.

RAWATAN

Dr Lim menarik perhatian bahawa disfagia bukan hanya masalah bagi anak Sindrom Down tetapi anak-anak yang normal juga mungkin mengalami masalah yang sama dengan faktor penyebab yang lain.

"Bawalah anak anda berjumpa dengan pakar pediatrik supaya dapat dijalankan penilaian serta ujian seperti Kajian Penelanan Barium (BSS) untuk mengetahui faktor penyebab masalah ini," kata beliau.

Ujian BSS ialah untuk mengetahui sama ada masalah ini berlaku kerana kelemahan dagu atau fungsi lidah.

"Pakar pediatrik kemudiannya akan merujuk anak anda kepada pakar patologi pertuturan serta menelan untuk satu jadual latihan yang mengandungi senaman gerak mulut, lidah dan menelan.

"Bagi anak-anak yang mengalami masalah ini, masa yang agak lama diperlukan sebelum mereka berupaya untuk menelan dengan betul. Jadi mereka (ibu bapa) hendaklah bersabar untuk melihat keputusannya," kata beliau.

Dr Lim berkata untuk memastikan terapi ini berkesan, ibu bapa dinasihati memberi kerjasama erat dengan pakar-pakar pediatrik dan patologi pertuturan/menelan dan juga melakukan latihan itu bersama anak mereka di rumah.

PAKAR PATOLOGI PERTUTURAN MENELAN

Seorang pakar terapi pertuturan di sebuah institusi kesihatan pediarik swasta, Junie Ooi berkata bagi anak yang mengalami Sindrom Down, perubahan kepada makanan yang lebih bertekstur akan mengalami masalah.

Tegangan otot lidah yang lemah akan mendatangkan masalah untuk anak itu menggerakkan lidahnya dan ini juga menganggu pertuturan anak itu.

Situasi sebegini menghalang anak itu memanipulasikan lidahnya untuk menerima makanan dan ini akan menyebabkan anak itu berasa tercekik, muntah serta tidak dapat menerima makanan.

"Kalau situasi sebegini berlaku, janganlah paksa anak anda untuk makan makanan yang mulut mereka masih belum bersedia untuk menerimanya.

"Apa yang ibu bapa perlu lakukan ialah untuk merujuk kepada pakar pediatrik serta juga bantuan daripada pakar patologi dalam masalah pemakanan dan menelan tentang terapi yang diperlukan oleh anak mereka," kata Ooi.

Selepas menjalani terapi, anak yang mengalami masalah itu akan dapat menambahkan kekuatan kepada otot lidah yang mebolehkan mereka menelan makanan.

Ooi menasihati ibu bapa agar jangan putus asa kerana mereka boleh mendapatkan bantuan serta kaunseling daripada institusi kesihatan awam dan juga swasta.

"Mereka boleh merujuk kepada hospital awam kerana ada beberapa hospital yang besarn ada mempunyai pakar-pakar berkenaan. Apa yang penting ialah jika anak anda ada masalah itu, nutrisi (pemakanan) mereka janganlah sampai terencat atau terganggu," kata beliau.

Organisasi bukan kerajaan seperti SpeecHelp Clinic dan Pusat Nasional Yayasan Sindrom Down Kiwanis (KDSF), kedua-duanya di Petaling Jaya, Selangor, mempunyai kepakaran untuk membantu anak-anak Sindrom Down yang mempunyai masalah menelan. BERNAMA



0 Komen:

Catat Ulasan

Affiliates

 
Chatroom