Home » » Dunia artis dunia cantik

Dunia artis dunia cantik

Menjadi golongan yang sentiasa menjadi perhatian khalayak, selebriti tidak dapat lari untuk sentiasa tampil cantik dan jelita. Sejauh mana dunia glamor menuntut artis berkorban wang ringgit dan kekuatan menahan kesakitan untuk pergi jauh dalam mencantikkan diri?

Cantik untuk siapa dan cantik untuk apa sering menjadi persoalan. Hakikat, semua insan, wanita khususnya yang dilahirkan ke dunia mengimpikan paras rupa yang cantik dan bentuk tubuh yang mengiurkan. Masing-masing ada alasan dan motif tersendiri.



Golongan artis, pelakon, penyanyi, model atau selebriti paling menjadi tumpuan dalam soal keghairahan mengejar kesempurnaan dan menjadi cantik. Keperluan menjadi cantik untuk tampil di layar perak, kaca TV, pentas nyanyian, mengisi muka akhbar dan majalah, menyebabkan mereka dikatakan digolongan perintis dan obses kepada revolusi kecantikan menggunakan sains dan teknologi.

Yang pasti, obsesi kecantikan di kalangan artis kini tidak hanya menjadi milik selebriti Hollywood.

Kemajuan telah membawa pelbagai teknologi kecantikan ke serata dunia terutamanya ke India, Korea, Jepun dan Thailand.

Bahkan pembedahan plastik dan rawatan antipenuaan untuk cantik dan kekal jelita juga semakin meriah di kalangan artis Malaysia.

Nama-nama seperti penyanyi, pelakon dan pengacara Ifa Raziah, Azharina Azhar (penyanyi), Pian Cecupak (pelakon), Azzarima (pelakon) dan Zahida Rafik (pelakon) antara yang dirujuk sebagai artis yang pernah menjalani rawatan kosmetik untuk tampil cantik seperti yang diinginkan.

Percaya atau tidak, bukan mereka sahaja bahkan sebenarnya, ramai lagi di kalangan artis Malaysia sama ada bergelar pelakon, penyanyi atau selebriti yang sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata mahu mendapatkan wajah serta tubuh yang menarik. Cuma bezanya mereka lebih selesa menutup mulut.

OBSES cantik dan tidak mahu dianggap hipokrit. Azharina Azhar tidak berselindung bahawa pernah melakukan rawatan kosmetik untuk kelihatan lebih cantik dan berkeyakinan berdepan pasang-surut dunia hiburan.

"Sudah 10 tahun saya terlibat dalam bidang perubatan dan kecantikan. Sebenarnya, ramai artis termasuklah artis lelaki telah mendapatkan khidmat dan rawatan kecantikan daripada saya," beritahu Dr. Alice Prethima yang mengasaskan Dr. Alice Total Wellness Specialist ketika ditemui Kosmo! di cawangan kliniknya di Bangsar Baru, Kuala Lumpur.

Antara rawatan kecantikan yang popular di kalangan artis termasuklah sedut lemak, mencantikkan bentuk hidung, dagu, kening, mata, bibir dan tulang pipi serta rawatan antipenuaan seperti mencantikkan dan menegangkan kulit muka.

Menurutnya, terdapat juga artis popular yang menjadi pelanggan tetapnya sejak empat tahun lalu.

"Tetapi artis berkenaan tidaklah datang setiap hari untuk mendapatkan rawatan daripada saya. Sampai sekarang artis itu masih dalam industri dan masih popular," katanya tanpa mendedahkan identiti artis terbabit.

Bagaimanapun tegas Dr. Alice, istilah obsesi atau obses dengan kecantikan tidak sesuai ditujukan kepada golongan artis. Katanya, kecenderungan untuk tampil cantik kini dinikmati oleh semua orang, asalkan mereka mampu dan berani mengambil risiko.

"Cuma saya kurang bersetuju dengan penggunaan istilah obsesi atau obses. Setiap wanita dilahirkan dengan kecantikan. Sebab itulah, menjadi polisi saya untuk mengekalkan aset semula jadi yang dimiliki oleh pelanggan bukannya mengubah 100 peratus.

"Bagi saya artis bukan obses dengan kecantikan sebaliknya mereka perlu cantik dan kekal cantik, muda serta menarik untuk seiring dengan bakat yang dimiliki. Mungkin dengan cara ini, golongan artis akan lebih berkeyakinan dan boleh kekal lama dalam industri," katanya.

Pernah juga Dr. Alice didatangi beberapa orang artis yang meminta rawatan untuk mengubah bahagian tertentu anggota badan dan wajah mereka tanpa memikirkan kesan jangka panjang dan penerimaan masyarakat.

"Saya tidak menggalakkan rawatan sedemikian, rawatan saya untuk mencantikkan dan mengekalkan keremajaan pelanggan bukannya mengubah. Artis berkenaan tidak bersetuju dengan nasihat saya dan pergi mendapat khidmat doktor lain," katanya yang arif dengan tuntutan golongan artis.

Bezanya, teknik rawatan untuk artis perlu dilakukan secara lebih teliti dan menggunakan teknologi terbaik. Ia penting agar tidak mendatangkan sebarang risiko sehingga boleh menjejaskan karier dan reputasi artis terbabit.

Tambah Dr. Alice, tempoh rawatan yang singkat tetapi memberikan kesan maksimum selalu ditekankan apabila berdepan pelanggan bergelar artis memandangkan golongan terbabit diburu jadual padat setiap masa.

Bagaimanapun, pakar kecantikan itu menegaskan, setiap rawatan kosmetik tetap ada risiko dan perlukan rawatan susulan bagi mengekalkan hasil yang memuaskan.

"Itu semua bergantung kepada jenis rawatan yang diambil. Suntikan botox hanya bertahan untuk enam bulan tapi sekarang ada rawatan laser. Ia lebih berkesan dan tahan lebih lama sehingga dua tahun untuk rawatan seterusnya," perinci Dr. Alice sambil memberitahu, tidak semua rawatan untuk cantik memerlukan pembedahan.

Risiko dan bahana pembedahan plastik sering kali dipaparkan di dada akbar. Minggu lalu, akhbar Mingguan Malaysia menyiarkan pengakuan Pian Cecupak yang menyesali perbuatannya melakukan 'ubah-suai' wajahnya.

Gara-gara suntikan kolagen yang diambil, Pian bukan sahaja dipandang sebelah mata oleh masyarakat bahkan turut ditegur anak sendiri. Sudah banyak duit dihabiskan untuk kelihatan 'sempurna' dan sekarang terpaksa berhabis pula untuk mengembalikan wajah yang asal.

Seorang artis wanita jelita yang tidak asing lagi dalam kes pembedahan plastik, Zahida Rafik sedia berkongsi pandangan. Hampir sama situasi yang dihadapinya satu ketika dahulu dengan Pian, kata Zahida:

"Soal melakukan pembedahan plastik atau rawatan kosmetik adalah perkara peribadi dan ia bergantung kepada individu terbabit sahaja.

"Bagi saya, itu bukan tindakan yang salah kerana sudah lumrah, wanita mahu kelihatan cantik. Jadi tak salah kalau berusaha untuk cantik. Masalah akan timbul jika keterlaluan dan jangan terlalu obses.

Sudah hukum menjadi artis, setiap perlakuan yang menjadi perhatian, namun tidak semua artis mencari kesempurnaan dan kecantikan melalui rawatan kosmetik.

Penyanyi yang kini bergelar ahli perniagaan, Azharina Azhar mengakui, pengaruh keluarga serta penglibatan dalam dunia hiburan menjadikan kecantikan satu keperluan yang tidak harus dipinggirkan.

"Saya membesar bersama nenek saya yang wajib ke salon kecantikan paling kurang dua kali seminggu. Ia turut menjadikan saya seorang yang obses dengan kecantikan dan penjagaan diri," beritahunya jujur.

Pernah mengambil rawatan kosmetik seperti suntikan kalogen dan vitamin untuk mendapatkan wajah yang diinginkan termasuk mencantikkan dagu, Azharina juga mengakui harus berusaha sendiri jika kecantikan itu tidak datang sejak azali.

"Ada artis yang bertuah kerana datang dengan pakej, berbakat dan cantik. Semasa saya mula-mula menjadi artis, saya dikutuk kerana gemuk dan sukar didandan. Konflik itu menghantui saya, jadi saya harus jadi cantik walaupun terpaksa ambil risiko sakit dan berhabis ribuan ringgit," katanya.

Tidak goyang kaki selepas rawatan dilakukan sebaliknya ketahanan mental dan pengorbanan haruslah menjadi keutamaan. Kemampuan kewangan juga menjadi faktor penting kerana tanpa wang tidak mungkin kos rawatan yang mahal dapat dibayar.

Akui penyanyi dari Sabah itu, sejak mengambil rawatan kosmetik beberapa tahun lalu, sampai ke hari ini dan sampai ke akhir hayat rawatan susulan haruslah dilakukan.

Tidak mahu mendedahkan sudah berapa banyak wang dihabiskan demi tampil cantik namun beritahu Nina, paling banyak wangnya dibelanjakan untuk penjagaan rambut.

"Saya tidak mencuci rambut di rumah, untuk ke pejabat pun saya akan ke salon untuk mendandan rambut setiap hari. Setiap bulan belanja rambut saya mencecah ribuan ringgit," katanya.

Tetap menolak pembedahan plastik yang memudaratkan tubuh badan, katanya, cantik itu keperluan kerana wanita dilahirkan dengan sembilan nafsu dan salah satunya adalah cantik.

Hakikatnya, cantik itu universal dan subjektif untuk dinilai. Semuanya bergantung kepada individu dan persekitaran. Tidak salah untuk artis mengejar kecantikan dan mendapatkan kesempurnaan fizikal.

Setiap inci tubuh mereka diperhatikan masyarakat tetapi haruslah diingat, jangan keterlaluan sehingga keinginan hati itu meracun diri.

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT



1 Komen:

Nor berkata...

Kalau kamu berani melakukan pelbagai rawatan berat, pembedahan kosmetik, suntikan, menggunakan barangan unsur kimia, mengapa kamu tidak harus berani menjelajahi ilmu kecantikan ini?:

Ilmu Kecantikan Diri tanpa kosmetik, pembedahan, suntikan, laser treatment dan kimia

Berani ka dong?

Catat Ulasan

Affiliates

 
Chatroom