Home » Ilmu hitam di Selangor

Ilmu hitam di Selangor

Mungkinkah negeri paling maju di Malaysia, Selangor, sedang bergelut untuk membersihkan minda rakyatnya daripada pemikiran mundur iaitu mempercayai bomoh yang ramai bilangannya di negeri itu?

Baru-baru ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dilaporkan sedang giat memburu 20 orang bomoh yang dikesan menawarkan pelbagai khidmat seperti menilik nombor ekor, menjual tangkal pelaris perniagaan dan ubat pengasih untuk memikat wanita.

Pegawai Perhubungan Awam JAIS, Mohd. Hidayat Abd. Rani memberitahu Jurnal, 20 bomoh itu akan terus dipantau oleh pihaknya dan tindakan keras pasti diambil jika terbukti mereka melakukan penyelewengan.

"Selangor negeri maju yang menjadi tumpuan golongan perantau termasuk dari Indonesia. Mereka mungkin sudah memiliki ilmu itu sebelum sampai ke sini.

"Selain itu, faktor persekitaran dan permintaan juga memainkan peranan. Mereka tidak akan bergiat aktif kalau perkhidmatan mereka tidak mendapat sambutan daripada orang ramai.

"Lagipun bomoh juga mengikut perkembangan semasa terutama dari segi alatan dan khidmat yang ditawarkan bagi meyakinkan pelanggan," katanya.

Hukum pengamalnya

Selasa lalu, Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid pula berkata, negeri itu sedang menimbangkan untuk mewujudkan satu enakmen bagi menyekat amalan sihir dan ilmu hitam.

"Ilmu sihir bercanggah dengan kehendak syarak. Masalahnya adalah untuk mendapatkan bukti bagi tujuan perundangan memandangkan ilmu sihir tidak dapat dilihat oleh pancaindera.

"Maka, kita harapkan cadangan yang dibincangkan di peringkat pakar membolehkan pembuktian dilakukan bagi melaksanakan apa-apa hukuman," katanya selepas merasmikan Muzakarah Pakar: Bentuk-bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis di Shah Alam.

Tambah Tamyes, enakmen sedemikian perlu diwujudkan di negeri itu bagi membanteras penggunaan ilmu hitam yang semakin berleluasa terutama dalam perkahwinan dan aktiviti jenayah.

Jelasnya, sekiranya tiada enakmen tersebut, ia akan membolehkan pasangan suami isteri, bomoh atau penjenayah yang mengamalkan ilmu sihir dan melakukan jenayah serta menganiayai orang lain terlepas daripada hukuman kerana tiada peruntukan undang-undang.

Berdasarkan pengalaman penulis menemui beberapa 'pengamal perubatan tradisional' di Selangor, mereka dikenali kerana kepakaran tertentu seperti mampu mencari jodoh, merawat gangguan jin, urutan seksual lelaki malah mengubati sakit jantung.

Alatan-alatan yang digunakan untuk menjalankan upacara perbomohan itu pula agak pelik. Ini termasuk limau nipis, beras kunyit, daun sirih, pinang, kain kuning, keris kecil, gunting, pisau, tuala, telur dan bunga.

Persoalannya, bagaimanakah benda-benda tersebut mampu memberi manfaat apatah lagi mengubati orang yang sakit?

Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berpendapat, sesuatu yang ada pada alam ghaib yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera dan tidak terdapat dalam al-Quran dan hadis adalah amalan yang mirip kepada nujum.

"Rasulullah sendiri melarang sesiapa daripada menggunakan khidmat nujum kerana mempercayai kata-kata mereka bagaikan mendustai ajaran Nabi Muhammad sendiri.

Ayat al-Quran diharuskan

"Malah ia membawa kepada amalan sihir yang merupakan tujuh amalan dosa besar yang membinasakan," kata Mahmood Zuhdi tegas.

Bicaranya lagi, Allah telah menjelaskan bahawa iblis dan syaitan itu tidak berupaya menguasai manusia, kecuali mereka yang tunduk menurut kehendak makhluk ini, yang terdiri daripada orang yang sesat.

"Penggunaan ayat-ayat al-Quran oleh mereka yang melibatkan diri dalam rawatan tradisional tidak membuktikan amalan mereka tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

"Dalam jampi serapah Melayu yang sebahagian daripadanya dituturkan ketika melakukan rawatan melibatkan sebutan bismillah, salam, menyebut nama nabi, nama khalifah dan sebagainya, termasuk sebutan syahadah di akhir pertuturan tersebut," jelasnya.

Katanya lagi, lebih malang, mereka yang tidak mengetahui bahasa Arab meyakini orang yang menggunakan ayat-ayat al-Quran itu, pada hal sesetengah ayat itu telah diseleweng daripada ayat yang sebenar, pada barisnya atau kalimah tertentu.

"Penggunaan ayat-ayat al-Quran atau doa-doa diharuskan. Namun, sekiranya ia disertai dengan sihir, iaitu melibatkan jin, perbuatan tersebut adalah salah kerana amalan itu termasuk dalam kategori dosa besar iaitu sihir," terang beliau.


Mahmood Zuhdi juga menegaskan, sesuatu penyakit atau masalah berlaku disebabkan oleh faktor fizikal, mental juga saintifik.

"Lakukan semuanya dahulu. Demam bukan disebabkan gangguan jin tetapi ia terjadi disebabkan faktor fizikal badan yang lemah seperti perubahan cuaca.

"Seseorang juga harus berusaha sebaik mungkin dan diselarikan dengan tawakal sejak awal dan bukannya berserah semata-mata pada bomoh dan pawang," ujarnya.



1 Komen:

Zul Johar said...

Kisah benar berhubung dengan nombor ramalan ini saya paparkan dalam internet sebagai tatapan bersama, terpulanglah samada anda mahu percaya atau tidak. Bermula dengan sejarah ayah saya yang asalnya seorang polis dan dibuang kerja kerana berkahwin tiga. Mengalami sejarah kesusahan, merempat, bertukar ganti lokasi kerja akhirnya menetap di mampan, negeri9. Bekerja sebagai pekebun dan sesekali memburu ayam hutan bukanlah mudah. Menampung 3 isteri menyebabkan poket seringkali kering, tak berduit. Sehinggalah akhirnya bersama 2 orang sahabat menemui seorang guru di kampong Belahan Tampok, Rengit, Batu Pahat, Johor. Sebenarnya guru tersebut adalah dukun perubatan traditional bukan ‘ustaz nombor ekor’ tetapi jenis orang yang sentiasa suka menolong orang.
Diringkaskan cerita, setelah mereka bertiga berjumpa ‘guru yang juga pengusaha bakso medan’ tersebut maka masing-masing berceritalah tentang masaalah dan kerumitan masing-masing. Tentunya masaalah ekonomi menjadi agenda utama. Akhir sekali setelah akhir becerita mereka minta Pak Ustaz tadi member nombor kerana itulah sahaja jalan mendapatkan rezeki dengan segera. Pak Ustaz tu tersenyum dan cerita lagi berpusing-pusing, sambil sentuh sedikit bab agama kemudian cerita umum lagi...
Sampai waktu hendak pulang ayah saya dan seorang rakannya berjabat salam sambil selit duit dalam tangan pak Ustaz tu. Seorang kawan lagi tidak memberi kerana pada anggapannya ‘ustaz tu tak berguna langsung, tak beri pun mereka nombor ekor yang diminta’. “Alaaa... apa susah2 tadi kata takde duit, ni kan duit ni. Awak ambillah...” katanya sambil pulangkan wang kertas merah note sepuluh yang mereka berdua bagi.
Kisah ini mungkin tidak menarik jika ayah tidak meneliti wang yang dikembalikan oleh Pak Ustaz. Ayah hulur RM33 tetapi ustaz tu pulangkan sehelai note 10 sahaja. Tak mungkinlah Ustaz tu ambil duit sebarangan. Tiba-tiba dia dapat ilham :ayat akhir ustaz ialah “...ni kan duit ni, awak ambillah...” lalu ditikamnya nombor duit yang ustaz pulangkan. Rezeki ayah saya memang baik. Nombor yang ditikam mengena tepat di tangga pertama.Sekarang ayah saya dapat membayar hutang dan membuka projek lembu feedloat di Jalan Seri Belahan , Batu Pahat (berhampiran Dewan Warisan) tanpa meminjam sesen pun duit bank. Mereka pergi bertiga tetapi hanya ayah seorang yang mendapat rezeki terpijak. 1 kawan tak meneliti kerana dia hanya memberi sehelai wang merah RM10, 1 kawan lagi tidak mendapat apa-apa kerana sifat lokeknya.
Moralnya disini, rezeki empat atau enam angka bukan bergantung pada dukun, bomoh, paranormal semata-mata tetapi juga kepada orang-orang yang pemurah dan mahu berfikir.

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom