Home » » Kebersihan diri lelaki

Kebersihan diri lelaki

Tidak pernah tertakluk dalam mana-mana buku bahawa bab kecantikan dan kebersihan adalah hak mutlak golongan wanita. Namun entah mengapa apabila acap kali soal kecantikan dibicarakan tumpuan sepenuhnya ditujukan khas kepada wanita.

Situasi tersebut bagaikan berat sebelah dan menunjukkan seolah-olah jejaka tidak menitikberatkan kecantikan dan kebersihan. Tapi itu cerita antara dua hingga lima tahun lepas. Ini kerana realitinya kini lelaki tidak ketinggalan mendapatkan perkhidmatan kecantikan di spa mahupun salon.

"Jika fesyen dan stail rambut berubah mengikut zaman, maka tidak mustahil selera lelaki terhadap kecantikan turut berubah. Sebelum ini saya mendapati lelaki malu untuk bercakap mengenai kecantikan. Apatah lagi untuk mengunjungi spa bagi menjalani rawatan wajah, badan dan urutan.

"Ramai lelaki dilihat lebih berminat berkunjung ke salon untuk menggunting rambut. Selebihnya dari segi cucian wajah, badan dan proses rawatan kuku kaki serta tangan jarang sekali dilakukan. Selain itu kesalahan yang paling besar dilakukan oleh lelaki ialah apabila menggunakan sabun badan untuk mencuci wajah dan rambut," ujar pemilik Kimie Sri Andaman & Spa, Kimie sambil melakukan lulur pada seorang pelanggan lelaki.

Kata Kimie lagi, apa yang membanggakan jejaka pada hari ini sudah berfikiran terbuka dan mula memikirkan tentang kecantikan dan kebersihan diri. Ini terbukti apabila spa Kimie yang turut menawarkan rawatan kecantikan kepada golongan wanita mendapat sambutan menggalakkan daripada kaum lelaki.

Kunjungi spa


Biasanya kehadiran pelanggan lelaki di spa tersebut lebih gemar mendapatkan rawatan sauna, lulur dan rawatan wajah. Memahami gaya hidup lelaki lebih aktif daripada wanita, Kimie banyak menggunakan ramuan-ramuan semula jadi bagi mengurangkan bau badan dan melegakan otot-otot yang tegang.

Dalam proses lulur dan skrab tubuh badan, bahan-bahan seperti kunyit, temulawak, mengkuang, sengkuang dan rempah asli yang digunakan mampu menanggalkan sel kulit mati. Proses lulur banyak diberi tumpuan pada bahagian bawah lengan dan siku yang menjadi tempat daki-daki kotor berkumpul.



Sementara itu, bagi proses mandian dan rendaman badan pula, Kimie menggunakan air suam yang dicampur bersama krim mandian, terapi dan air mawar. Gabungan bahan istimewa tersebut membantu memberi ketenangan minda dan merehatkan otot-otot badan yang keletihan.

"Selain mandi rempah, lulur dan sauna golongan lelaki juga disaran mengunjungi spa dua kali sebulan untuk proses cucian wajah. Ini penting bagi menanggalkan kotoran yang melekat pada wajah memandangkan kulit wajah kita sentiasa terdedah pada habuk dan persekitaran yang tidak sihat," terang Kimie ketika ditemui.

Justeru, kepada mereka yang tidak berpeluang mengunjungi spa, jangan ambil sikap sambil lewa. Seharusnya anda perlu mengunjungi farmasi berhampiran untuk mendapatkan set penjagaan kulit wajah, badan dan rambut yang bersesuaian dengan personaliti.

Sekurang-kurangnya sebelum ke luar rumah dan tidur, pastikan wajah anda sudah dicuci, disapu krim sinaran matahari dan pelembap muka.

Mandi

Begitu juga apabila menyentuh soal mandian. Jangan ala kadar saja, sebaliknya mandi dengan bersih. Pastikan air mengalir ke seluruh badan dan gosok menggunakan berus badan yang sudah dititiskan krim mandian. Tapi, jangan lupa bersihkan di bahagian kaki terutamanya kuku jari kaki.

PROSES mandian perlu dilakukan dengan sebaiknya menggunakan krim mandian dan berus badan.

Salon

Sekiranya mendapati gaya rambut anda sudah tersasar daripada potongan asal segeralah ke salon. Di sana pendandan rambut akan trim semula rambut anda, di samping melakukan proses cucian dan merawat kelemumur, keguguran rambut serta kegatalan kulit kepala.

Jangan terlalu kerap bercukur

Menerusi blog kecantikan antarabangsa beauty-and-the-bath, golongan lelaki tidak digalakkan melakukan proses mencukur jambang dan misai terlalu kerap. Ini kerana ia boleh menyebabkan kecederaan pada kulit wajah khususnya bagi individu yang memiliki jenis kulit sensitif. Paling utama gunakan alat pencukur yang bersih dan tidak berkarat bagi menggelakkan sebarang jangkitan bakteria.

Bau badan

Bermacam-macam cara boleh diaplikasikan bagi mengelakkan bau badan. Selain mandi, penggunaan deodaran, losen badan dan minyak wangi turut membantu melenyapkan bau badan yang kurang menyenangkan itu.

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF



0 Komen:

Catat Ulasan

Affiliates

 
Chatroom