Home » » Glamor si gempal

Glamor si gempal

Keyakinan kunci utama: Langkah penuh bergaya dengan fesyen terkini walaupun bertubuh besar

Melihat gaya anak muda hari ini yang cantik mengenakan apa saja fesyen terkini, membuatkan hati turut tertarik untuk bergaya seperti mereka. Baju sendat digayakan dengan jeans atau, blaus beropol labuh digayakan dengan legging tampak begitu memikat apabila disarungkan pada tubuh yang langsing.

Namun, apabila melihat diri di dalam cermin, lebihan lemak pada pinggang dan pinggul, membuatkan sesiapa saja akan berfikir dua kali untuk bergaya sebegitu. Apatah pula, jika kita tergolong dalam kumpulan ‘ bertubuh besar’ atau gempal.

Bimbang menjadi bahan ejekan ramai, akhirnya seseorang itu akan bergaya ala kadar dengan persalinan hitam gedoboh memenuhi gerobok kamarnya. Jauh sekali menyenaraikan baju kebaya pendek dalam busana pilihan. Itu mungkin andaian biasa diberikan kepada wanita bertubuh besar.


Tetapi, tidak bagi Syariffah Mariam Syed Abdullah. Gadis berusia 25 tahun itu tidak membataskan gayanya hanya kerana memiliki tubuh besar.

Dengan ketinggian 172 cm, timbangan berat badan 101 kilogram, beliau sememangnya layak dikategorikan sebagai obesiti kerana ‘body mass index’ atau BMI sesuai untuknya ialah antara 55 hingga 68 kilogram saja.

Sebaliknya beliau selesa mengikut aliran fesyen terkini. Tidak cuak buatnya memakai celana sendat atau leggings, dipadankan dengan blaus singkat. Menggayakan rompi atau tali pinggang besar sebagai aksesori, kasut bertumit tirus halus atau potongan ‘gladiator’ amat beliau senangi.

Melengkapkan lagi gaya, jelapang wajahnya akan diwarnakan dengan rona sepadan busananya. Pemerah pipi, gincu, pembayang mata tidak kurang alis lentik palsu, beliau merasakan itulah nikmatnya bergelar wanita walapun tubuhnya jauh lebih berisi daripada saiz gitar idaman wanita.

“Saya melangkah penuh yakin walaupun sedar ada mata yang tidak senang dengan gaya ‘glamor’ ini. Saya tidak mahu tubuh badan besar dijadikan isu atau penghalang untuk saya bergaya. Kalau nak tunggu tubuh kurus macam model, entah bilalah saya boleh bergaya macam ini,” katanya bersahaja sambil mengenakan kasut kala melangkah ke taman berdekatan kediamannya untuk sesi fotografi Sabtu.

Berbicara dengan Syariffah atau lebih senang digelar Sherry, memang menyeronokkan kerana keyakinan dirinya menyebabkan anda terlupa mengenai tubuh besarnya itu, sebaliknya mengalih perhatian kepada wajah dan ramah butir bicaranya.

“Saya jadikan Queen Latifah dan Jeniffer Hudson sebagai idola. Mereka amat yakin dengan apa saja dilakukan termasuk bab gaya. Mereka bagaikan pemangkin untuk saya meninggalkan persalinan besar dan gedoboh semata-mata untuk melindungi tubuh besar.

“Kunci kepada gaya ialah keyakinan diri. Kalau kita tidak yakin dengan apa yang kita gayakan, maka kita akan kelihatan canggung, tidak yakin, malah untuk berdiri pun kita rasa malu walaupun tubuh kita kurus, atau memiliki sedikit saja kekurangan seperti buncit,” katanya.



Sherry berkata, memenuhi keinginan bergaya, beliau sanggup berhabis ratusan ringgit kerana sering kali pakaian untuk wanita bersaiz XXL jauh lebih mahal daripada pakaian bersaiz S.

“Pakaian seperti baju kurung saya gemar menempah kerana lebih selesa. Kalau membeli pakaian siap pula, saya selalu mengunjungi butik khas untuk pakaian besar. Malah pekerja butik selalunya sudah arif mengenai keinginan saya. Kalau berbelanja selalunya saya akan diiringi rakan-rakan sekuliah. Menariknya mereka tidak kedekut membantu dan memberi pandangan mana yang sesuai mana yang kurang serasi.

“Tetapi ada kalanya saya pergi membeli berseorangan. Kalau ada yang berkenan sangat di hati saya akan capai, walaupun mungkin secara peribadi saya pun rasa tidak sesuai seperti terlalu terang warnanya. Malah tidak malu juga saya katakan, ada beberapa helai saya beli, tetapi tersimpan kemas dalam almari kerana tidak tahu nak pakai ke mana. Saya fikir ramai wanita menghadapi ‘masalah’ sama. Tetapi dalam seronok bergaya itu, saya amat berhati-hati dalam ‘peraturan’ bergaya wanita bertubuh besar, umpamanya dari segi pemilihan corak dan warna.

“Motif besar seperti bunga besar dengan warna terlalu terang, saya elakkan kerana ia akan membuat saya bertambah besar. Pakaian saya banyak daripada polos. Begitu juga daripada segi potongan. Yang bertingkat dan banyak helai saya elakkan. Kiranya saya jenis teliti juga dalam bergaya, bukan ikut suka saja,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Teater Aswara ini.

Sesuai dengan dirinya sebagai pelajar, Sherry lebih gemar suai padan setiap pakaiannya supaya tidak nampak sama sepanjang masa dan paling mustahak, cara itu lebih menjimatkan.

Katanya, beliau turut dihujani persoalan bahawa ‘tidak malu ke bergaya macam orang kurus?’ tetapi beliau selalu tekankan aspek keyakinan diri.

“Kelebihan buat saya apabila saya tidak pernah berasa malu tidak bertempat. Seingat saya ketika kecil dulu, selalu juga rakan sekelas gelar gemuk, tetapi saya tidak pernah rasa rendah diri, sebaliknya akan membalas semula kata-kata nakal itu dengan “eleh..macam lah awak bagus sangat”.

“Saya juga jenis yang ceria, jadi apabila orang mengusik saya tidak pernah ‘simpan dalam hati’. Bohonglah kalau saya langsung tidak terasa, tetapi saya cepat melupakan,” kata anak bongsu daripada empat beradik ini.

99 peratus lelaki suka Sherry bertubuh besar

“BOLEH saya katakan 99 peratus daripada kawan-kawan lelaki, suka saya begini. Mereka kata kalau saya kurus, saya jadi ‘poyo’, berlagak divalah dan macam-macam lah. Mereka suka keadaan saya begini kerana katanya kalau saya kurus saya tidak lagi seceria Sherry sekarang, saya mungkin jadi ‘Sherry yang lain’. Dua teman lelaki istimewa saya dulu pun kurus, tetapi mereka selesa dengan keadaan saya, malah tidak pernah pun mereka menyuarakan, lebih baik saya kurus kerana lebih cantik.

“Berbeza pula dengan rakan perempuan saya yang lebih gemar saya kurus. Alasan mereka pula lebih cantik macam model sebab saya tinggi. Justeru saya menyimpulkan lelaki tidak terlalu kisah bentuk tubuh berbanding wanita asalkan kita yakin dengan diri sendiri,” katanya.

Sungguhpun begitu, Sherry tidak bermaksud untuk terus berada dalam keadaan gempal. Sebaliknya beliau mempunyai keinginan untuk mengurangkan berat badan, tetapi katanya keputusan untuk mengurangkan berat badan, biarlah datang dari lubuk hatinya sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak.

“Kalau nak kurus saya akan lakukan atas alasan kesihatan. Takut juga bila tengok orang muda boleh kena kencing manis dan tekanan darah tinggi. Tetapi saya tidak berniat kurus dengan mengambil pil atau ubat kurus, sebaliknya akan giatkan senaman dan kurangkan pengambilan karbohidrat. Adik beradik saya yang lain semua kurus kecuali saya, justeru saya yakin saya mudah kurus kalau berkeinginan,” katanya.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof



0 Komen:

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom